Selasa, 22 Januari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Gempa bumi landa barat Indonesia

Posted: 22 Jan 2013 11:26 AM PST

Kanak-kanak maut, rumah musnah gegaran magnitud 6 skala Richter

Banda Aceh: Penduduk bahagian barat Indonesia panik dan segera keluar rumah masing-masing semalam, selepas gempa bumi magnitud 6.0 skala Richter melanda diikuti gegaran pada kekuatan 4.7 beberapa minit kemudian.

Gempa mengorbankan seorang budak perempuan berusia sembilan tahun dan mencederakan beberapa orang lagi selain mencetuskan suasana kelam kabut di kalangan penduduk.
Gempa itu menakutkan. Kami masih trauma dengan gempa bumi. Isteri saya menjerit, anak menangis," Masriadi, Penduduk Tangse

Sekurang-kurangnya 30 rumah dan sebuah masjid musnah, kata pihak berkuasa.

Tiada tsunami

Agensi meteorologi dan geofizik Indonesia berkata, gempa di kawasan pedalaman itu tidak mencetuskan tsunami.

Ia berpusat di barat daya Banda Aceh dan 16.1 kilometer di bawah kerak bumi, menurut Biro Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gempa berlaku pada jam 5.22 pagi (22.22 GMT Isnin), menyebabkan penduduk terjaga di beberapa bandar dan perkampungan utara pulau Sumatera diikuti gempa susulan.

Ketua Daerah Pidie, Sarjani Abdullah, berkata budak perempuan itu maut selepas dihempap runtuhan rumah. Sekurang-kurangnya tujuh lagi termasuk kanak-kanak tiga tahun cedera.

Agensi pencegahan bencana wilayah Aceh berkata, berpuluh-puluh rumah dan sebuah masjid runtuh di Pidie Jaya.

Penduduk pindah

Selain itu, penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara ketika pihak berkuasa meninjau kerosakan.

Beberapa tiang elektrik tumbang di perkampungan Tangse, menyebabkan bekalan terputus.

"Gempa itu menakutkan. Kami masih trauma dengan gempa bumi. Isteri saya menjerit dan anak menangis," kata Masriadi, seorang penduduk Tangse. - AP

17 korban cuaca sejuk

Posted: 22 Jan 2013 11:21 AM PST

Kabul: Cuaca sejuk melampau mengorbankan 17 orang, kebanyakannya kanak-kanak di khemah pelarian Afghanistan, kata Amnesty International semalam. Kematian itu berlaku dua minggu pertama bulan ini di sini dan Herat, yang menempatkan setengah juta pelarian perang. "Kematian mereka dapat dielakkan," kata timbalan pengarah Amnesty Asia Pasifik, Polly Truscott dalam kenyataan.

Musim sejuk lalu, 100 orang kebanyakannya kanak-kanak dan orang tua maut di khemah pelarian dan kerajaan Afghanistan serta penderma antarabangsa digesa menghalang tragedi itu berulang.

Kematian terbaru itu menunjukkan bantuan musim sejuk kepada ratusan ribu penduduk yang tinggal di kem pelarian di seluruh negara ini tidak cukup, kata Truscott.

"Kematian kanak-kanak dan orang tua antara yang maut menunjukkan adalah penting melindungi mereka daripada cuaca sejuk," katanya lagi. AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan