Rabu, 12 Disember 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Stesen radio bayar RM1.6 juta

Posted:

Stesen radio bayar RM1.6 juta

Stesen radio bayar RM1.6 juta

CHRISTIAN (kiri) dan Greig meninggalkan sebuah studio televisyen selepas diwawancara di Sydney kelmarin.


SYDNEY - Sebuah stesen radio Australia berjanji menyalurkan sekurang-kurangnya AS$523,600 (RM1.6 juta) semalam untuk membantu keluarga seorang jururawat yang menjadi mangsa panggilan telefon palsu susulan kontroversi berhubung penipuan tersebut.

Pada Jumaat lalu, jururawat berkenaan, Jacintha Saldanha ditemui mati di apartmen yang menempatkan kakitangan Hospital King Edward VII di London kerana membunuh diri.

Kematian tragis ibu dua anak yang berasal dari India itu berlaku selepas dia menyambungkan panggilan palsu oleh dua penyampai stesen radio 2Day FM dari sini ke hospital berkenaan.

Saldanha menyambungkan panggilan itu kepada seorang rakan sekerjanya yang mendedahkan bahawa isteri Putera William, Kate Middleton semakin sembuh selepas dimasukkan ke hospital berkenaan ekoran mengalami alahan mengandung yang teruk.

Stesen radio itu pada awalnya membekukan semua bentuk pengiklanan ekoran kematian tragis Saldanha tetapi kemudian menyatakan, siaran iklannya akan disambung semula esok.

Bagaimanapun, semua keuntungan siaran iklan stesen radio itu sehingga penghujung tahun ini akan disalurkan kepada sebuah dana bagi membantu keluarga Saldanha.

Dana itu berjumlah sekurang-kurangnya AS$523,600.

"Kami meminta maaf di atas apa yang berlaku," kata ketua eksekutif syarikat induk 2Day FM, Rhys Holleran dalam satu kenyataan.

"Kami berharap sumbangan kepada dana memorial tersebut dapat membantu keluarga Saldanha mengharungi detik-detik yang amat sukar ini," tambahnya.

Dalam satu wawancara penuh emosi kelmarin, penyampai radio 2Day FM, Mel Greig dan Michael Christian berkata, walaupun mereka yang membuat panggilan dengan menyamar sebagai Ratu Elizabeth II dan anakanda baginda, Putera Charles ke Hospital King Edward VII, keputusan untuk menyiarkan segmen itu dibuat oleh orang lain tanpa pembabitan mereka.

William ialah cucunda ratu tersebut dan anakanda kepada Charles.

"Bukan kami yang membuat keputusan menyiarkan jenaka panggilan palsu itu. Kami cuma merakamnya dan ia diserahkan ke beberapa jabatan lain untuk diputuskan," kata Greig dalam temu bual bersama saluran televisyen Australia, Nine Network.

Holleran sebelum ini menyatakan, stesen radio tersebut telah lima kali menelefon Hospital King Edward VII untuk berbincang tentang rakaman itu sebelum ia disiarkan.

Di bawah undang-undang Australia, kebenaran pihak yang menjadi mangsa jenaka radio perlu dipohon sebelum segmen itu disiarkan.

Namun, pihak pengurusan hospital yang terletak di London itu menafikan mereka dihubungi berhubung perkara tersebut.

Suami jururawat itu ialah Benedict Barboza yang bertukas sebagai akauntan dan salah seorang anaknya ialah Lisha yang berusia 14 tahun.

Kelmarin, Greig dan Christian menyatakan kekesalan mereka dalam dua program televisyen di Australia kerana melakukan penyamaran itu. - Agensi

Empat maut termasuk bayi di Narathiwat

Posted:

Empat maut termasuk bayi di Narathiwat

Empat maut termasuk bayi di Narathiwat


SEORANG lelaki membawa mayat bayi berusia 11 bulan yang mati ditembak di Narathiwat semalam.


BANGKOK - Empat termasuk bayi berusia 11 bulan terbunuh manakala empat yang lain cedera parah apabila beberapa lelaki melepaskan tembakan ke arah sebuah kedai kopi di Narathiwat semalam.

Ketua Polis Ranget, Kolonel Jiradech Pornsawan berkata, tembakan itu dilepaskan ke arah semua mangsa semasa mereka sedang bersarapan di kedai kopi di Kampung Dama Buah, Tanjung Lima, Ranget, Narathiwat pada kira-kira 7.30 pagi.

Tiga yang terbunuh dikenal pasti sebagai Pakngah Rimae, 79, Kabari Hak, 37, dan Amizi Chekdo, 23, manakala identiti bayi itu masih belum dikenal pasti.

Jiradech berkata, seorang lagi bayi berusia lapan bulan, Muhd Rishakimi Yaena, adalah antara empat yang cedera selain Siti Rohimah Mamat, 70, Tuanma Tingi, 61, dan Misbah Musa, 25.

Mangsa yang cedera telah dipindahkan dari Hospital Ranget ke Hospital Narathiwat berikutan keadaan mereka yang kritikal.

Polis menemui 40 butir kelongsong peluru daripada tiga jenis raifal iaitu M-16, AK-47 dan HK yang digunakan oleh penyerang yang tiba dengan menaiki pikap, katanya.

Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan pemisah dikatakan menyambung semula kempen bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala, lapan tahun lepas.

Dalam satu lagi kejadian berasingan, seorang guru besar dan guru lelaki mati ditembak selepas mereka makan di kantin sebuah sekolah di Pattani.

Menurut polis, sekumpulan enam lelaki bersenjata mencuri sebuah kenderaan sekolah untuk melarikan diri. - Agensi

Penduduk Syria cipta kereta berperisai kawalan jauh

Posted:

Penduduk Syria cipta kereta berperisai kawalan jauh

Penduduk Syria cipta kereta berperisai kawalan jauh


SEBUAH kereta berperisai yang dicipta oleh kumpulan penentang Bashar.


DAMSYIK - Kumpulan penentang rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad memperkenalkan kereta perisai buatan sendiri yang menggunakan alat kawalan.

Dinamakan Sham II, kenderaan perang tersebut dibina dalam tempoh kurang satu bulan.

Kereta perisai itu yang menggunakan rangka badan sebuah kereta diesel dan beberapa bahagian badannya diambil dari sebuah kawasan besi lusuh.

Ia boleh dikawal dengan alat permainan video Sony Playstation.

Kenderaan tersebut dicipta oleh sekumpulan penduduk yang menyertai kumpulan Briged Al-Ansar.

Memiliki panjang sekitar empat meter dan lebar dua meter, Sham II dilengkapi sebuah mesingan di atas bumbung.

Kenderaan perang buatan sendiri itu menyertai pasukan penentang untuk bertempur dengan kebal kebal T-72 yang digunakan oleh rejim Bashar.

Pertempuran antara kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan askar-askar Bashar bermula sejak Mac tahun lalu.

Kumpulan tersebut mahu Bashar meletakkan jawatan kerana beliau gagal membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan bersuara.

Lebih 40,000 orang terbunuh sejak pertempuran tersebut berlaku. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan