Sabtu, 29 Disember 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jodoh pemuda kudung Iraq

Posted: 28 Dec 2012 01:30 PM PST

LONDON: Tanpa kedua-dua tangan yang terpaksa dibuang akibat perang Iraq, tuah dialami Ali Abbas memang sangat menggembirakannya.

Dalam serba kekurangan itu, Ali berpeluang mengahwini gadis yang menjadi pujaannya sejak kecil. Kini menetap di Britain, Ali, 21, berkahwin dengan Ankam Hamza, 18, dalam majlis penuh emosi yang dilangsungkan selama dua hari di bumi kelahirannya.


Menceritakan pengalaman itu untuk kali pertama, Ali berkata, dia bukan saja tidak menyangka dapat menikahi Ankam, malah tidak menyangka terselamat dalam serangan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) di Baghdad sembilan tahun lalu.

Sebagai seorang daripada mangsa paling parah dalam perang Iraq, Ali tidak diberi banyak harapan untuk hidup bagi meraikan ulang tahun ke-13. Banyak pihak juga tidak menjangkakan Ali berpeluang menjadi seorang suami. Selain kehilangan kedua-dua tangan, Ali juga mengalami kesan melecur pada 60 peratus badannya.


Ali juga kehilangan 16 anggota keluarga, termasuk ibu bapanya. Gambar penderitaan Ali itu tersebar ke seluruh dunia dan dia menjadi wajah ikon bagi konflik berkenaan. Kata Ali, dia tidak sangka diberi peluang untuk terus hidup.


"Saya tak pernah membayangkan dapat mencintai seorang wanita dan yang paling pasti, tidak sangka ada peluang berkahwin," katanya. Menurut Ali, pada hari pernikahan, emosinya bercampur-baur antara sedih dan gembira.

Bagaimanapun, katanya, dia lebih terfikir bahawa dia sangat bertuah kerana dapat bertemu seorang wanita seperti Ankam.


"Memang saya tahu Ankam adalah pilihan tepat kerana dia tidak pernah membiarkan saya terfikir bahawa saya memiliki kekurangan.

"Apabila bersama Ankam, saya berasa seperti lelaki normal," katanya. Menurut Ali, dia sentiasa dibayangi tragedi pada 2003 itu dan ia turut mengubah hidupnya. Katanya, pada ketika tertentu, dia terdengar jeritan ahli keluarganya ketika bumbung dan siling rumah runtuh menimpa mereka akibat peluru berpandu AS. Ali bernasib baik kerana dikesan seorang jiran masih bernafas di bawah runtuhan bangunan berkenaan.


Selepas dikeluarkan, dia dikejarkan ke hospital.


Penderitaan Ali menyentuh perasaan berjuta orang di seluruh dunia apabila anggota perubatan di Iraq merayu supaya dia diterbangkan ke Kuwait bagi menjalani pembedahan menyelamatkan nyawanya. Akhirnya Ali diterbangkan ke Britain dan diberi bantuan tangan palsu di Hospital Ratu Mary di selatan London. Pada Jun 2010, Ali lulus ujian kewarganegaraan dan disahkan sebagai warga Britain. Sejak itu, Ali pulang ke Iraq beberapa kali untuk bertemu saudara-maranya yang terselamat dalam perang. Dalam kesempatan itu Ali diperkenalkan kepada Ankam yang pernah menjadi temannya ketika zaman kanak-kanak. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29



Wanita bersalin selepas kereta dirempuh perompak di depan rumah

Posted: 28 Dec 2012 10:17 AM PST

LONDON: Seorang wanita bersalin selepas kereta dinaikinya dirempuh perompak yang melarikan diri dari rumahnya, lapor media semalam.

Ceri Fiddes, 33, sebelum itu dinasihati kakitangan hospital supaya pulang dan menunggu beberapa jam lagi walaupun dia mengalami tanda bakal bersalin.


Ketika Ceri dan suaminya, Daniel Fiddes menghampiri rumah mereka, seorang perompak menyerbu keluar, manakala rakan penjenayah itu menunggu di halaman.

Jurucakap polis berkata, Fiddes keluar dari kereta dan cuba menahan perompak terbabit.


Bagaimanapun, perompak terbabit melompat masuk ke kereta dan merempuh kenderaan Fiddes walaupun ketika itu Ceri ada di dalamnya. Jurucakap polis berkata, penjenayah terbabit melanggar kereta Fiddes berulang kali sebelum dapat melarikan diri dari rumah mangsa di Stoney Stratton.


"Apabila polis selesai membuat siasatan, Ceri mengalami kesakitan dan terpaksa dikejarkan ke hospital semula dua jam kemudian," katanya.

Dia akhirnya selamat melahirkan anak lelaki yang diberi nama Jude pada 6 Disember lalu. Menceritakan pengalaman itu, Ceri berkata, ia memang mengerikan.


Katanya, ketika keretanya dirempuh berkali-kali, dia terhuyung-hayang dan Jude hampir dilahirkan di dalam kenderaan.

"Selepas bersalin di hospital pun, saya terpaksa kembali semula ke situ kerana uri saya tidak keluar.


"Anda mungkin dapat membayangkan bagaimana kecohnya hari kami," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29



Tiada ulasan:

Catat Ulasan