Khamis, 15 November 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Ketegangan Israel, Gaza kian memuncak

Posted: 15 Nov 2012 01:07 PM PST

Gaza: Pejuang Hamas membedil berpuluh-puluh roket ke selatan Israel, menyebabkan tiga orang terbunuh ketika rejim Zionis itu melancarkan serangan udara di seluruh Semenanjung Gaza, mengancam serangan lebih besar untuk menghalang tindakan Palestin.

Polis Israel berkata, tiga maut apabila roket Palestin terkena bangunan empat tingkat di bandar Kiryat Malachi, kira-kira 25 kilometer ke utara Gaza. Mereka adalah mangsa Israel pertama dalam konflik terbaru yang melanda wilayah berkenaan.

Israel kelmarin membunuh tokoh tentera Hamas dan menyerang wilayah berkenaan dari darat, udara dan laut, meragut 15 nyawa, termasuk lima pejuang, tiga kanak-kanak dan seorang wanita hamil.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar lewat kelmarin untuk membincangkan serangan Israel itu. Ia menggesa keganasan dihentikan tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.

Menjangkakan serangan akan berlanjutan, Israel memberi amaran kepada Hamas bahawa semua anggotanya diperhatikan dan menggugurkan risalah di Gaza meminta penduduk supaya menjauhkan diri daripada pejuang dan kemudahan Hamas.

Risalah menegaskan Hamas menyeret wilayah itu ke arah keganasan dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bersedia mempertahankan penduduknya sehingga keamanan dikembalikan ke wilayah itu, kata tentera dalam kenyataan.

Israel berdepan kecaman hebat negara Arab berpengaruh seperti Mesir dan Qatar. Hamas menegaskan pembunuhan salah seorang komander kanannya, Ahmed Al-Jaabari, akan membuka pintu neraka kepada Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelmarin berkata, operasi ke atas Gaza akan ditingkatkan.

Serangan dilancarkan seminggu selepas keganasan merentasi sempadan dan menafikan harapan Mesir yang menjadi orang tengah gencatan senjata
Kerajaan Mesir baru berasaskan Islam yang berjanji menghormati perjanjian damai 1979 dengan Israel, mengutuk serangan baru Israel sebagai ancaman kepada keselamatan rantau itu. Ia memanggil balik dutanya dari Israel dan mendesak diadakan sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB.

Reuters

Komputer teman wanita Petraeus ada maklumat sulit

Posted: 15 Nov 2012 01:04 PM PST

Washington: Sebuah komputer milik Paula Broadwell, wanita yang mempunyai hubungan sulit dengan pengarah Ejen Risikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), David Petraeus sehingga menyebabkan peletakan jawatan beliau, mengandungi maklumat yang sepatutnya dirahsiakan, kata pegawai keselamatan kebangsaan dan penguatkuasaan undang-undang.

Kandungan dan bilangan bahan terbabit serta persoalan mengenai bagaimana Broadwell mendapatnya adalah amat penting untuk siasatan seterusnya, kata pegawai terbabit. Mereka enggan mendedahkan nama kerana tidak berhak untuk bercakap kepada umum.

Maklumat lanjut mengenai bahan yang diperoleh Broadwell, seorang pegawai simpanan dalam risikan tentera, muncul pada Rabu ketika Pentagon menangguhkan kelulusan keselamatan terhadap beliau.

Ada kebimbangan di kalangan pegawai tentera dan penguatkuasaan undang-undang mengenai kemungkinan berlaku dari hubungan antara Petraeus dan Broadwell yang turut menulis biografi jeneral bersara itu.

Lewat kelmarin, jawatankuasa risikan dewan mengumumkan bahawa Petraeus akan memberi keterangan tertutup pada Jumaat mengenai serangan terhadap Konsulat Amerika Syarikat di Benghazi, Libya.

Pemimpin jawatankuasa risikan Senat dan dewan diberi taklimat mengenai Petraeus oleh FBI dan CIA.

Ketika satu sidang media di Rumah Putih pada Rabu, Presiden Barack Obama berkata tiada petunjuk setakat ini untuk sebarang maklumat yang didedahkan berikutan hubungan terbabit.
Obama berkata setakat ini beliau akan menjauhkan diri daripada sebarang penghakiman sama ada beliau perlu dimaklumkan lebih awal sebelum Rabu mengenai siasatan membabitkan ketua CIA yang meletak jawatan Jumaat lalu sebelum hubungan intim terbabit diketahui umum.

Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan