Rabu, 26 September 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Kapal tentera baharu China

Posted:

Kapal tentera baharu China

KAPAL pengangkut pesawat pertama milik China berlabuh di Dalian, timur laut China pada Ahad lalu.


BEIJING - Kapal pengangkut pesawat pertama China mula beroperasi semalam, kata Kementerian Pertahanan di sini.

Ia digunakan selepas China memperbesarkan lagi armada tentera lautnya ketika ketegangan maritim di Laut China Selatan terus meningkat.

Media negara berkenaan melaporkan, upacara pentauliahan kapal induk sepanjang 300 meter itu dihadiri oleh Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao.

Kapal induk itu dibeli dari Ukraine dan dinamakan semula sebagai Liaoning sempena nama wilayah timur laut China yang menempatkan bandar pangkalan tentera laut utama di negara itu, Dalian.



Sebelum dijadikan kapal pengangkut pesawat, Liaoning merupakan kapal separa siap milik tentera laut bekas Kesatuan Soviet.

Kapal tersebut ditunda dari Ukraine tanpa enjin, persenjataan dan sistem navigasi pada tahun 1998.

Kapal itu dibeli daripada pemerintah Ukraine pada harga sekitar AS$20 juta (RM61.4 juta).

Kerja pengubahsuaian mengambil masa selama beberapa tahun.

Liaoning memiliki kapasiti untuk membawa sekitar 26 buah pesawat dan 24 buah helikopter.

Dalam perkembangan berkaitan, Beijing masih belum mendedahkan peranan sebenar kapal induk tersebut selain membantu melindungi perairan China.

"Kapal induk itu juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pertahanan negara dan keupayaan ketenteraan," kata bekas pegawai tentera laut China, Yang Yi kepada akhbar China Daily yang disiarkan semalam. - Agensi

Bekas presiden Olympus mengaku bersalah

Posted:

Bekas presiden Olympus mengaku bersalah

TOKYO - Bekas Presiden Olympus Corporation, Tsuyoshi Kikukawa (gambar) mengaku bersalah semalam kerana menyembunyikan kerugian besar syarikat pembuat kamera dan peralatan kesihatan Jepun itu.

Syarikat tersebut mengalami kerugian pelaburan sebanyak AS$1.5 bilion (RM4.58 bilion) sejak tahun 1990-an.

Skandal tersebut didedahkan pada tahun lalu apabila Ketua Pegawai Eksekutif Olympus di Britain, Michael Woodford mempersoalkan tentang bayaran bagi mendapatkan nasihat kewangan dan pemerolehan yang diragui.

Woodford kemudian dipecat.

Tiga eksekutif Olympus lain juga mengaku bersalah semalam.

Mereka boleh dikenakan hukuman 10 tahun penjara, denda AS$128,000 (RM391,002) atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Olympus boleh didenda sehingga AS$9 juta (RM27.49 juta). - AP

Ketua Hamas akan letak jawatan

Posted:

Ketua Hamas akan letak jawatan



BANDAR GAZA, Wilayah Palestin - Ketua pergerakan Hamas, Khaled Meshaal (gambar) sekali lagi mengesahkan keputusannya untuk melepaskan jawatan tertinggi tersebut, kata beberapa pegawai Hamas semalam.

Pada Januari lalu, pergerakan berkenaan pernah mengumumkan bahawa Khaled yang kini hidup dalam buangan bersedia untuk melepaskan jawatannya.

Namun, Hamas memberitahu, anggota-anggota pergerakan itu berharap beliau akan menimbang semula keputusan tersebut.

Dalam perkembangan terbaharu semalam, beberapa pegawai Hamas di sini dan di luar wilayah Palestin berkata, Khaled kini bertekad untuk melepaskan kepimpinannya. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan