Jumaat, 15 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Lagi kematian di Syria

Posted:

Lagi kematian di Syria

Lagi kematian di Syria

GAMBAR menunjukkan kawah dan sebuah kenderaan hangus dalam letupan bom di pinggir Damsyik semalam.


DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam keganasan di seluruh Syria termasuk 10 orang di wilayah Homs, tengah negara berkenaan semalam.

Mangsa yang lain pula maut dalam beberapa serangan bom kereta di sini dan di bandar Idlib, barat daya Syria.

Beberapa saksi berkata, seorang pengebom berani mati meletupkan sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan di pinggir bandar raya ini dengan menyebabkan 14 orang cedera dan sebuah makam suci pengikut Syiah mengalami kerosakan.

Agensi berita rasmi SANA melaporkan, kenderaan itu meletup di dalam sebuah garaj pada jarak 50 meter dari makam Saidatina Zainab.

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Syria menyatakan, sebuah bom kereta yang meletup di bandar Idlib disasarkan ke atas sebuah pos kawalan tentera menyebabkan sejumlah askar terbunuh dan cedera.

Menurut pertubuhan berkenaan, seramai lapan orang termasuk tiga pejuang pemberontak maut dalam beberapa pertempuran dengan tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad di bandar Homs.

Perkembangan itu berlaku ketika Setiausaha Luar Britain, William Hague menggesa Rusia dan Iran menggunakan pengaruh masing-masing di Syria bagi membantu menamatkan pemberontakan di negara itu.

Pemberontakan itu berlaku sejak 15 bulan lalu bagi menentang kepimpinan Bashar.

Hague membuat gesaan tersebut dalam satu pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Rusia dan Iran di Kabul, Afghanistan semalam.

Russia yang merupakan sekutu kuat Syria, enggan berhenti membekalkan senjata kepada rejim Bashar yang terbabit dalam pertempuran berdarah dengan para pemberontak sejak kebangkitan rakyat Syria bermula pada Mac 2011.

Setakat ini beberapa pemerhati menyatakan, lebih 14,000 orang terbunuh dalam konflik di negara Asia Barat itu. - Agensi

Lukisan tertua Eropah di gua Sepanyol

Posted:

Lukisan tertua Eropah di gua Sepanyol

Lukisan tertua Eropah di gua Sepanyol


GAMBAR menunjukkan lukisan tertua Eropah yang terdapat di dalam gua El Castillo di Sepanyol.


WASHINGTON - Sebanyak 50 lukisan yang terdapat di dalam 11 buah gua di Sepanyol dipercayai sebagai lukisan yang paling tua pernah ditemui di Eropah.

Hasil ujian terhadap lukisan itu menunjukkan ia dihasilkan manusia primitif Neanderthal lebih 40,000 tahun dahulu.

Sebelum ini, tiada bukti menunjukkan bahawa manusia Neanderthal telah menghasilkan lukisan di dinding gua.

"Justeru, adalah satu kejutan jika Neanderthal merupakan pelukis gua pertama di Eropah," kata penulis bersama penemuan tersebut dalam jurnal Science, Joao Zilhao yang merupakan seorang profesor penyelidikan daripada Universiti Barcelona, Sepanyol.

Antara lukisan yang ditemui itu ialah bentuk tapak tangan di dalam gua El Castillo.

Lukisan kuda dan ikan turut ditemui di dalam gua tersebut.

Manusia primitif Neanderthal hidup sebelum kewujudan manusia moden di Eropah dan Asia Tengah. - Agensi

Penunjuk perasaan ganggu Blair

Posted:

Penunjuk perasaan ganggu Blair

Penunjuk perasaan ganggu Blair


SEORANG penunjuk perasaan lelaki menjerit ke arah Blair di Universiti Hong Kong, Hong Kong semalam.


HONG KONG - Seorang penunjuk perasaan lelaki bertindak menjerit dan mengganggu bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair (gambar) di Universiti Hong Kong semalam.

Lelaki itu melakukan perbuatan itu semasa Blair mahu berucap tentang isu agama dan globalisasi.

Penunjuk perasaan tersebut yang bertindak bersendirian, menjerit bahawa Blair telah melanggar Konvensyen Geneva mengenai tatacara peperangan semasa menjadi perdana menteri.

"Saya tidak akan datang lebih dekat lagi... anda boleh pergi," kata Blair ketika lelaki berkenaan mendekati podium tempatnya untuk berucap.

Lelaki yang tidak dikenali itu bertutur dalam loghat British dan berada cuma beberapa meter dari Blair sebelum beliau dihalang dan diiring keluar oleh beberapa staf Universiti Hong Kong.

"Inilah demokrasi untuk anda," kata Blair ketika lelaki itu diiring keluar.

Bekas Perdana Menteri itu kemudian meneruskan ucapannya.

Beliau berucap di universiti itu sebagai pengasas Yayasan Tony Blair yang berusaha mempromosi persefahaman antara agama utama di dunia.

Semasa berucap, Blair berkata, dunia memerlukan lebih banyak dialog antara agama.

Menurutnya, ia bertujuan bagi memperbaiki kefahaman dalam kalangan penduduk yang mempunyai kepercayaan yang berbeza.

Blair menjadi Perdana Menteri Britain antara tahun 1997 hingga 2007.

Ketika memegang jawatan itu, beliau membuat keputusan supaya Britain menyertai Perang Iraq yang diketuai Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.

Peperangan itu dilancarkan kerana Blair dan Presiden AS ketika itu, George W. Bush percaya Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

Namun, senjata tersebut tidak pernah ditemui sehingga sekarang.

Tentera Britain turut dihantar ke Afghanistan dalam operasi memerangi pengganas yang diketuai AS pada tahun 2001 semasa Blair menjadi perdana menteri. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan