Jumaat, 15 Jun 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Seberangi Niagara dengan kabel

Posted: 14 Jun 2012 08:53 AM PDT

NEW YORK: Pemegang enam rekod dunia Guinness, Nik Wallenda, akan cuba melakar sekali lagi namanya dalam sejarah dengan berjalan dari Amerika Syarikat ke Kanada melalui satu daripada air terjun terkemuka Niagara.

Di kenali sebagai Air Terjun Ladam Kuda, Wallenda menggunakan kabel besi untuk melengkapkan perjalanan sejauh 549 meter.

Lagak ngeri itu bakal disaksikan kira-kira 125,000 orang di air terjun memisahkan AS dan Kanada itu, manakala setengah bilion lagi menonton melalui televisyen.

Wallenda akan berjalan di atas kabel yang diikat setinggi 67 meter dari permukaan air.


Selama 40 minit, Wallenda akan berjalan di atas kabel besi itu dan berdepan pelbagai kesukaran, termasuk angin kencang, kabus dan - jika benar-benar bernasib malang - serangan burung helang yang bersarang di kawasan berkenaan.


Baru berusia 33 tahun, Wallenda mencipta nama sebagai pemegang rekod dunia bagi lagak ngeri berjalan di atas kabel besi.

Cubaan Wallenda itu boleh dianggap luar biasa kerana tiada sesiapa pernah mencubanya sebelum ini atas dua faktor.

Pertama, aksi seumpama itu dilarang di sekitar Niagara selama lebih satu abad, dan kedua, jika ia dibenarkan tiada sesiapa berani mencuba mencabar kuasa alam di situ.

Air terjun di situ menumpahkan 1,834 meter padu air dari Sungai Niagara setiap saat pada kelajuan 113 kilometer sejam ke Tasik Ontario.

Sebelum ini, banyak nyawa terkorban akibat kuasa alam semula jadi di situ.
Sesetengah pihak pula menjangkakan, tragedi bakal berlaku sekali lagi jika cabaran itu diteruskan.

Sepanjang tempoh mempamerkan keberaniannya sebelum ini, Wallenda tidak pernah menggunakan jaring atau wayar keselamatan ketika beraksi, sesuai dengan keberanian diwarisi daripada keluarganya yang turut terbabit dalam aktiviti sebegitu.

Di sebalik keberanian itu, tiga ahli keluarga Wallenda pernah terbunuh kerana keengganan mereka mengambil langkah keselamatan tambahan ketika beraksi.

Stesen televisyen milik Disney, ABC, membayar sejumlah wang yang besar bagi mendapat hak menyiarkan aksi itu secara langsung.

Sebagai penaja, ABC enggan mengambil risiko membuat siaran langsung yang mungkin berakhir dengan tragedi.

Justeru, stesen itu bertegas mahukan Wallenda mengambil langkah keselamatan sewajarnya sebelum memulakan langkahnya.

Kebenaran diperoleh Wallenda selepas dia memujuk pihak berkuasa AS dan Kanada selama dua tahun.

Keperluan terhadap penajaan menyebabkan Wallenda terpaksa akur.

Justeru, dia akan menggunakan tali keselamatan yang diikat pada badannya ketika menyeberangi air terjun itu nanti. - DM




Penyanyi Westlife diisytihar bankrap

Posted: 14 Jun 2012 08:50 AM PDT

LONDON: Walaupun rekod kumpulannya terjual 45 juta unit di seluruh dunia, seorang daripada anggota Westlife diisytihar bankrap, lapor media semalam.

Penyanyi Shane Filan, 32, mengalami nasib malang apabila empayar hartanahnya runtuh dan menanggung hutang 18 juta (RM89.2 juta).


Bercakap kepada media, Shane berkata, dia berusaha mengurangkan hutangnya tetapi terpaksa akur apabila cubaannya gagal.

Mengesahkan berita itu, artis kelahiran Ireland itu berkata, dia berunding dengan beberapa pakar kewangan untuk mencari penyelesaian.


"Semua cubaan itu gagal," katanya.


Untuk sementara ini, kata Shane, dia akan memberikan tumpuan kepada siri jelajah terakhir Westlife yang sedang berlangsung.

Selepas itu, katanya, dia akan memberi fokus kepada membina semula hidup bersama isteri dan tiga anak mereka.


Sebelum krisis ekonomi melanda, Shane dan abangnya, Finbarr, meminjam beberapa juta pound dari bank di Ireland bagi membolehkan syarikat mereka membangunkan 90 rumah mewah di Dromahair.

Bagaimanapun, hanya separuh daripada rumah itu berjaya disiapkan dan kebanyakannya terpaksa dijual pada harga lebih rendah daripada kos. - DM




Tiada ulasan:

Catat Ulasan