Kosmo Online - Dunia |
Tujuh maut konflik agama di Myanmar Posted: Tujuh maut konflik agama di Myanmar
YANGON - Pasukan keselamatan membanjiri barat Myanmar semalam bagi mengembalikan ketenteraman selepas sekurang-kurangnya tujuh nyawa melayang dalam keganasan antara penduduk Islam dan Buddha, menurut media negara berkenaan. Stesen televisyen Myanmar melaporkan, unit polis dan tentera berjaya mengawal kekacauan yang tercetus di negeri Rakhine, dekat sempadan Bangladesh. Keganasan agama di negeri berkenaan menyaksikan ratusan buah rumah penganut Buddha dibakar. "Namun, keadaan kembali tenang sejak pagi ini (semalam)," menurut stesen televisyen Myanmar. Huru-hara tercetus kelmarin apabila sekurang-kurangnya empat penduduk beragama Buddha maut dalam beberapa rusuhan di Rakhine yang didiami oleh sejumlah besar etnik Rohingya. Pada keesokan harinya, gelombang kedua keganasan melanda beberapa perkampungan di pedalaman Myanmar apabila lebih banyak kediaman dibakar sehingga memaksa penduduk beragama Buddha melarikan diri ke bandar Maungdaw untuk mencari perlindungan. Media rasmi pemerintah menyatakan, tujuh terbunuh, 17 cedera dan hampir 500 buah rumah musnah sepanjang kekacauan dua hari di Rakhine. Situasi tegang di negeri itu tercetus Ahad lalu selepas 10 orang Islam yang berada di dalam sebuah bas mati dibelasah oleh 300 penduduk beragama Buddha. Mereka tersilap menyangka mangsa adalah beberapa penjenayah yang merogol dan membunuh seorang gadis beragama Buddha di Rakhine, bulan lalu. Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, Rohingya merupakan antara etnik minoriti paling teruk ditindas di dunia. Di Myanmar, Rohingya dianggap sebagai orang asing dan bukan salah satu etnik negara berkenaan. Menurut PBB, terdapat sekitar 750,000 orang Rohingya tinggal di Myanmar dengan kebanyakan mereka menetap di Rakhine. Lebih 1 juta lagi etnik berkenaan dipercayai hidup dalam buangan di beberapa negara lain. - AFP | |
Posted: 25 tahun mencari ibuGAMBAR 10 Mei lalu menunjukkan Fatima Munshi bekerja mencuci lantai sebuah kediaman di Khandwa. KHANDWA, India - Doa seorang ibu untuk menatap semula wajah anak kandungnya yang terpisah sejak 25 tahun lalu akhirnya dimakbulkan. Pada awal tahun ini, Fatima Munshi dapat bersua semula dengan anak lelakinya, Saroo Brierley. Pertemuan menyayat hati itu bermula apabila Saroo, 30, memutuskan untuk pergi ke bandar ini bagi mencari ibunya selepas beberapa tahun melakukan pencarian di internet berdasarkan memori zaman kanak-kanaknya. Dia dan saudara lelakinya terpisah dengan ibu mereka selepas terlibat dalam kemalangan di sebuah landasan kereta api di sini ketika masih kecil. Saroo kemudian diserahkan ke sebuah rumah anak yatim di Calcutta, dekat sini, sebelum tinggal dengan sebuah keluarga angkat di Tasmania, Australia. Menurut Saroo, selepas beberapa hari mencari dengan bantuan penduduk setempat, dia menemui ibunya tinggal di sebuah pondok kecil di sini bersama dua adik beradiknya, Kallu and Shakila. Sebaik sahaja mereka bersua muka, wanita itu memeluk dan mengusap kepalanya sambil menangis. "Saroo saya sudah kembali," kata Fatima. "Tuhan akhirnya memakbulkan doa saya. Yang Maha Kuasa akhirnya membawa Saroo saya pulang," tambah wanita itu. Menurut Saroo, dia sempat tinggal bersama ibu dan adik beradiknya selama 10 hari sebelum pulang ke Tasmania untuk menguruskan perniagaan keluarga angkatnya. Saroo turut menghantar duit belanja AS$100 (RM320) setiap bulan kepada Fatima supaya ibunya tidak lagi perlu bekerja. Namun, katanya, Fatima yang sebelum ini memperoleh AS$30 (RM96) sebulan dengan membersihkan kediaman dan mencuci pinggan mangkuk masih meneruskan pekerjaan tersebut. Walaupun tidak dapat memenuhi hasrat Fatima untuk tinggal sebumbung, Saroo yang kini mempunyai seorang teman wanita kulit putih memberitahu, dia merancang untuk pulang ke India sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi melawat ibunya. - Agensi | |
Kereta Lindsay Lohan langgar lori Posted: Kereta Lindsay Lohan langgar loriKERETA Lindsay Lohan yang rosak berada di atas sebuah trak tunda selepas berlanggar dengan sebuah lori sampah di California kelmarin. LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Polis AS menyatakan, kereta sport yang dipandu aktres Lindsay Lohan (gambar) merempuh belakang lori satu dalam nahas jalan raya kelmarin. Seorang anggota polis, Sarjan Richard Lewis berkata, kereta Porsche milik aktres Mean Girls itu terlibat dalam kemalangan di Lebuh raya Pantai Pasifik, dekat sini sekitar pukul 11.40 pagi waktu AS. Menurutnya, siasatan awal mendapati Lohan dan pemandu lori tidak menunjukkan tanda-tanda berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol semasa kejadian. Merujuk insiden tersebut, jurucakap Lohan, Steve Honig memberitahu, aktres berusia 25 tahun itu dibawa ke sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan tetapi dibenarkan pulang dua jam kemudian. Tambahnya, Lohan kini kembali meneruskan penggambaran filem terbaharunya, Liz and Dick. Filem romantik tersebut mengisahkan percintaan antara aktres legenda Hollywood, Elizabeth Taylor bersama aktor Richard Burton. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan