Berita Harian: Dunia |
Posted: 10 Jun 2012 02:21 PM PDT Dunia PENDUDUK Syria berhimpun melihat mayat didakwa dibunuh oleh kumpulan yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad, semalam. - Foto REUTERS Kerajaan Barat melancarkan desakan bagi sekatan terbaru terhadap Damsyik di tengah kemarahan berikutan pembunuhan beramai-ramai ketika pemantau PBB menyalahkan pasukan pro rejim selepas tentera membunuh sekurang-kurangnya 83 orang awam Sabtu lalu. "Kita memasuki satu fasa sensitif. Rejim kini sudah hampir tumbang," kata aktivis Kurdis, Abdel Basset Sayda sebaik saja beliau dinamakan sebagai pemimpin baru pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria. "Pembunuhan beramai-ramai dan pengeboman menunjukkan ia sedang berada dalam keadaan sukar," katanya mengulas pembunuhan besar-besaran penduduk awam, terbaru menyaksikan 20 orang kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam pengeboman di sebuah kawasan penduduk di bandaraya selatan Daraa pada Sabtu.Sayda dipilih sebagai pemimpin baru SNC pada persidangan di Istanbul, menggantikan pemimpin pembangkang pertama, Burhan Ghaloun yang meletak jawatan bulan lalu berikutan perpecahan yang menjejaskan wibawa kumpulan itu. Aktivis mendakwa Ghalioun mengabaikan Jawatankuasa Penyelaras Tempatan, yang menyebarkan bantahan anti kerajaan di Syria, dan memberikan Ikhwan Muslimin satu peranan besar. Sayda, yang tinggal dalam buangan di Sweden selama dua dekad dilihat sebagai satu calon sesuai dalam SNC dan meningkatkan rayuannya di kalangan etnik Syria dan kumpulan lain.
Pembangkang sebelum ini menerima kritikan kerana tidak mewakili semua puak Arab, Kurdis, Sunnah Islam, Alawites, Kristian, Druze dan kumpulan etnik lain di Syria. Ditanya mengenai cita-citanya sebagai pemimpin SNC, Sayda berkata, blok pembangkang akan memfokus kepada usaha masyarakat antarabangsa mengambil langkah tegas menentang rejim. "Kami mahu menguatkan rantaian dengan aktivis pada peringkat bawah dan Tentera Bebas Syria yang akan kami sokong," katanya. "Rancangan Annan masih wujud tetapi tidak dilaksanakan," katanya merujuk kepada pelan damai wakil PBB-Liga Arab, Kofi Annan yang sepatutnya bermula dengan satu gencatan senjata bermula 12 April tetapi setiap hari dicabuli. "Kami akan memastikan rancangan ini termasuk di bawah Bab VII Piagam PBB, untuk memaksa rejim melaksanakannya dan membiarkan semua pilihan terbuka," katanya. – AFP |
Mubarak kritikal, tak sedarkan diri Posted: 10 Jun 2012 02:20 PM PDT Dunia KAHERAH: Keadaan bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak semakin kritikal dan beliau berulang kali tidak sedarkan diri sejak dihantar ke penjara Torah di pinggir bandar raya ini untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup lapan hari lalu, kata pegawai.Pihak berkuasa memberi kebenaran kepada isteri beliau, Suzanne dan dua menantunya untuk mengunjungi Mubarak awal pagi semalam, selepas khabar angin kematian Mubarak tersebar luas di ibu negara Mesir itu. "Keadaan kesihatan bekas presiden semakin merosot, namun stabil sedikit sekarang," kata seorang pegawai. Beliau berkata, sejak kunjungan isterinya Mubarak mengalami masalah denyutan jantung dan memerlukan bantuan untuk bernafas.Pegawai yang namanya tidak didedahkan berkata, Mubarak kini bergantung hidup hanya dengan makanan cair dan dadih. Kesihatan Mubarak semakin merosot sejak beliau didapati bersalah 2 Jun lalu kerana gagal menghentikan pembunuhan penunjuk perasaan ketika kebangkitan yang menggulingkan beliau pada 2011. Selepas hukuman dijatuhkan, Mubarak dipindahkan ke hospital penjara dan bukan hospital tentera tempat beliau ditahan sejak April tahun lalu.
Kelmarin, Suzanne dilarang memasuki unit rawatan rapi di mana Mubarak ditempatkan, berikutan arahan pihak berkuasa yang mengehadkan kunjungan kepada hanya sekali sebulan. – AP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan