Kosmo Online - Dunia |
- Kebangkitan kedua rakyat Mesir
- Serangan di pusat beli-belah ragut satu nyawa
- Polis Perancis buru 'Orang Gila Kanada'
Kebangkitan kedua rakyat Mesir Posted: Kebangkitan kedua rakyat Mesir
KAHERAH - Kumpulan prodemokrasi kembali mengadakan protes selepas mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas presidennya, Hosni Mubarak atas tuduhan membunuh lebih 900 orang penunjuk perasaan. Mereka juga berang kerana anaknya, Gamal dan Alaa didapati tidak bersalah atas tuduhan rasuah. Ekoran itu beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri Dataran Tahrir dan bandar-bandar lain. Kebanyakan mereka mendakwa hukuman itu jelas menunjukkan bahawa saki-baki orang kuat Mubarak masih menguasai Mesir ketika pilihan raya presiden Mesir semakin hampir. "Keputusan ini tidak adil dan ramai orang menolaknya. Dataran Tahrir sekali lagi akan dipenuhi oleh penunjuk perasaan. Di Mesir, satu-satunya cara untuk anda mendapat keadilan adalah menerusi protes kerana semua institusi masih dikawal oleh orang-orang Mubarak," kata seorang penunjuk perasaan, Amr Magdy. Kekecewaan turut memuncak apabila calon pilihan penunjuk perasaan, Hamdeen Sabahi kalah dalam pusingan pertama pilihan raya bulan lalu. Pilihan raya presiden menyaksikan bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq menentang calon kumpulan Islam konservatif Persaudaraan Muslim, Mohamed Mursi. "Saya dapat rasakan revolusi kembali," kata Osama Awad. Dia juga menegaskan Mubarak mesti dibicarakan semula kerana bukti utama telah disembunyikan dan rakyat perlu bersatu menentang Syafiq. Dalam perkembangan lain, Sabahi, Mursi dan seorang lagi calon presiden, Abdel Moneim Abol Fotouh mengadakan satu perjumpaan tertutup pada malam Sabtu. "Kami merancang untuk mengadakan perarakan pada Isnin, Rabu dan melibatkan sejuta penunjuk perasaan pada Jumaat," kata seorang aktivis yang menghadiri mesyuarat tersebut. - Reuters | |
Serangan di pusat beli-belah ragut satu nyawa Posted: Serangan di pusat beli-belah ragut satu nyawaSEORANG mangsa serangan dibawa menaiki ambulans di luar pusat beli-belah Eaton Centre kelmarin. TORONTO, Kanada - Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di medan selera pusat beli-belah Eaton's Centre di sini semalam yang membunuh seorang pemuda berusia 25 tahun dan mencederakan tujuh mangsa lain, kata polis. Ketua polis Toronto, Bill Blair berkata, serangan tersebut disasarkan terhadap pemuda tersebut berdasarkan luka pada badan mangsa. "Sementara tujuh orang lagi cedera hanya kerana mereka kebetulan berada di tempat kejadian. Serangan ini keterlaluan, ramai orang berisiko menjadi mangsa," kata Blair. Beratus-ratus pengunjung berada di medan selera tersebut ketika kejadian berlaku seki-tar 6.20 petang (waktu tempatan). Polis telah mengambil keterangan beberapa saksi dan pembunuh kejam itu sedang diburu. - AFP | |
Polis Perancis buru 'Orang Gila Kanada' Posted: Polis Perancis buru 'Orang Gila Kanada'PEMANDANGAN luar Bar Le petit Batignolles di Paris kelmarin (gambar kecil) Luka Rocco Magnotta PARIS - Polis Perancis semalam menyatakan pihaknya yakin aktor porno Kanada yang disyaki merakam aksi dia mengerat teman lelakinya dan menghantar anggota badan mangsa melalui perkhidmatan mel, datang ke bandar raya ini baru-baru ini. "Kami pasti Luka Rocco Magnotta masih atau pernah berada di sekitar Paris sejak sekurang-kurangnya Jumaat lalu," kata sumber polis yang memetik kenyataan beberapa saksi dan maklumat lain. Polis Perancis mengadakan operasi menjejaki Magnotta, 29, di beberapa lokasi terpilih selepas pihak berkuasa Kanada menyatakan, lelaki tersebut telah menaiki sebuah pesawat menuju ke Perancis dari Montreal pada 26 Mei lalu. Menurut sumber polis Perancis, setakat ini mereka telah menggeledah sebuah bar dan dua hotel di barat daya kota metropolitan ini. Seorang saksi memberitahu agensi berita AFP bahawa dia melihat beberapa anggota polis memasuki bar Le Petit Batignolles di sini untuk meninjau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan. Katanya, polis kemudian beredar dengan membawa beberapa botol minuman ringan kosong. Suspek digelar 'Orang Gila Kanada' oleh media selepas rakaman video menunjukkan Magnotta menikam seorang lelaki dengan menggunakan pencungkil ais dan mengerat lelaki tersebut tersebar di internet. Pada khamis lalu, Interpol mengeluarkan notis orang buruan untuk Magnotta kepada 190 negara anggota polis antarabangsa selepas klip video pembunuhan kejam itu disiarkan di internet. Jenayah tersebut terbongkar apabila polis Kanada pada Selasa lalu menyatakan bahawa satu bungkusan berisi kaki manusia telah dihantar ke ibu pejabat parti pemerintah Kanada, Parti Konservatif. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan