Isnin, 4 Jun 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pesawat langgar bas: 10 maut

Posted: 03 Jun 2012 09:30 AM PDT

ACCRA: Sebuah pesawat kargo terbabas dari landasan dan merempuh sebuah bas ketika mendarat di lapangan terbang di ibu negara Ghana ini.

Nahas itu menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh. Bagaimanapun, kakitangan pesawat terselamat.

Rangka pesawat Boeing 727 milik Allied Air itu dilihat bersama-sama dengan bas yang rosak teruk di kawasan kejadian.

Pesawat berkenaan tiba dari Lagos, Nigeria.


Syarikat pengendali Lapangan Terbang Ghana, dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat itu terbabas dari landasan ketika mendarat pada jam 7.10 malam waktu tempatan.


"Empat anak kapal selamat dan dirawat di sebuah klinik di lapangan terbang itu.

"Pesawat terbabit melanggar sebuah bas mini, menyebabkan 10 orang terbunuh," menurut kenyataan itu.

Seorang saksi berkata, dia melihat kapal terbang itu mendarat dan terus melanggar bas berkenaan, menyebabkan semua penumpang terbunuh.

"Saya pulang dari kerja, berjalan dalam hujan dan melihat pesawat itu melanggar bas berkenaan," kata Kofi Anor.

Seorang pegawai kanan tentera juga mengesahkan kejadian dan jumlah kematian itu.

Bas itu musnah sementara sayap dan ekor pesawat berkenaan patah.

Mayat mangsa yang terbunuh dibawa ke rumah mayat sebuah hospital tentera.

Pesawat itu terhempas di kawasan tidak jauh dari sebuah stadium berhampiran lapangan terbang berkenaan dan sebuah pangkalan tentera.

Naib Presiden Ghana, John Dramani Mahama memberitahu wartawan, siasatan menyeluruh akan dilakukan.

Syarikat pengendali Lapangan Terbang Ghana berkata, operasi di lapangan terbang berkenaan kini berjalan seperti biasa dan semua penerbangan adalah seperti yang dijadualkan.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Ghana, Kofi Kortufe berkata, keadaan kini sudah terkawal dan tidak sepatutnya mencetuskan kebimbangan. - AFP




Pengawal keselamatan mengaku jalin hubungan dengan banduan

Posted: 03 Jun 2012 09:27 AM PDT

LONDON: Seorang pengawal keselamatan wanita yang menjalinkan hubungan intim dengan tujuh banduan berbahaya mengaku di mahkamah semalam, dia bertindak bodoh.

Polis sebelum itu merampas surat cinta berbaur seks daripada tahanan lelaki di kediaman Zanib Khan.


Zanib juga mengadakan perbualan romantik dengan lelaki menerusi telefon bimbit yang diseludup ke Penjara Brixton di London Selatan.

Zanib, 27, kini berdepan dengan hukuman penjara selepas mengaku salah laku ketika menjadi penjawat awam.


Mahkamah Southwark diberitahu, wanita itu mempunyai 'hubungan yang tidak sepatutnya' dengan tiga banduan berusia antara 28 dan 29 tahun, termasuk seorang pengedar dadah.


Polis juga percaya Zanib menjalinkan hubungan intim dengan empat banduan lain dalam tempoh tiga tahun.

Ketika meninggalkan mahkamah, Zanib memberitahu wartawan akhbar The Sun: "Saya bertindak bodoh. Saya melakukan kesilapan bodoh dan saya sudah meletakkan jawatan." Dia juga menyuarakan harapan dijatuhi hukuman melakukan khidmat masyarakat.


Bagaimanapun, dia mungkin dipenjarakan.

Pasukan Pencegah Rasuah Scotland Yard tidak menemui sebarang bukti menunjukkan hubungan Zanib dengan banduan berkenaan membabitkan seks. - TS




Tiada ulasan:

Catat Ulasan