Berita Harian: Dunia |
Posted: 04 Jun 2012 01:44 PM PDT Dunia PEKERJA penyelamat berkumpul di kawasan pesawat terhempas di Lagos, Nigeria, semalam. - Foto AP LAGOS: Sebuah pesawat komersial terhempas di kawasan penempatan padat di bandar raya terbesar Nigeria semalam, membunuh semua 193 penumpang dan penduduk dalam nahas udara paling buruk di negara itu dalam masa dua dekad. Punca kemalangan Dana Air belum diketahui sehingga semalam, ketika pasukan bomba dan polis berusaha keras memadamkan kebakaran pada bangkai pesawat Boeing MD83 itu. Pihak berkuasa tidak dapat mengawal beribu-ribu penduduk yang berkumpul untuk melihat kawasan kemalangan, dengan sebahagiannya merangkak di atas sayap kapal terbang yang patah dan berdiri di atas gear pendaratan.Semoga Tuhan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa kemalangan kapal terbang untuk berdepan kehilangan ini. - Goodluck Jonathan, Presiden Nigeria Pekerja kecemasan menggunakan anjing dan kren untuk mencari mayat. Pegawai penyelamat pula berkata mereka bimbang ramai lagi penduduk di darat maut dalam nahas berkenaan.Pertubuhan Palang Merah Nigeria berkata, 48 mayat sudah ditemui, dengan ramai lagi dikeluarkan daripada runtuhan bangunan. "Kebimbangan itu kerana ia berlaku di kawasan berpenduduk padat dan mungkin ramai lagi yang terbunuh," kata Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Nigeria, Yushau Shuaib. Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Sivil Nigeria, Harold Demuren, berkata semua penumpang dan krew pesawat maut dalam nahas itu. Kerajaan negeri Lagos dalam satu kenyataan berkata, 153 penumpang berada dalam penerbangan dari ibu negara, Abuja, ke Lagos di barat daya Nigeria. Pasukan penyelamat bimbang ramai lagi yang terbunuh atau cedera di darat tetapi bilangan mangsa belum diperoleh. Bomba dan penduduk setempat dilihat membawa mayat seorang lelaki daripada sebuah bangunan, dindingnya runtuh dan api masih bernyala sejam selepas kemalangan. Presiden Goodluck Jonathan kemudian mengisytiharkan tiga hari berkabung di negara paling ramai rakyat di Afrika itu. "Jonathan berdoa semoga Tuhan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa kemalangan kapal terbang untuk berdepan kehilangan ini," menurut kenyataan pejabatnya. Pesawat kelihatan mendarat dengan perut dulu mencecah kawasan penempatan padat berhampiran laluan yang diambil pesawat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammad di Lagos. Ia membelah bumbung rumah, melanggar pokok mangga dan merempuh studio kerja kayu, loji percetakan akhbar dan sekurang-kurangnya dua bangunan pangsapuri besar sebelum berhenti. Habuk putih dan berbahaya kelihatan dari tempat kemalangan yang menyakitkan mata orang ramai manakala serpihan pesawat berselerak di atas tanah. Ketika penduduk membantu membawa hos air ke tempat kejadian, cabaran besar yang dihadapi ialah tiada air untuk memadamkan kebakaran lebih tiga jam kemudian. Beberapa lelaki muda membawa plastik berisi air untuk cuba memadamkan sebahagian kecil kebakaran. Kereta bomba, dari Lagos yang mempunyai 17.5 juta penduduk itu, tidak dapat membawa air mencukupi. Pegawai beralih mendapat bantuan trak air dari kawasan pembinaan berhampiran untuk membantu tetapi ia tersekat di jalan raya yang sempit dan sesak, tidak boleh tiba di tempat kejadian. Mangsa yang terbunuh termasuk sekurang-kurangnya empat warga China, lapor agensi berita Xinhua lewat semalam, memetik kenyataan diplomat China di Nigeria. – AP |
24 warga asing kena penjara di Libya Posted: 04 Jun 2012 01:43 PM PDT Dunia TRIPOLI: Sebuah mahkamah tentera menjatuhkan hukuman penjara kepada 19 warga Ukraine, tiga warga Belarus dan dua warga Russia selepas dituduh berkhidmat sebagai tentera upahan untuk pemimpin disingkir Muammar Gaddafi dalam konflik Libya tahun lalu.Seorang daripada warga Russia, dianggap menjadi penyelaras, dihukum penjara seumur hidup sementara yang lain dijatuhi hukuman dengan kerja berat selama 10 tahun. Semua 24 lelaki terbabit, yang menafikan segala tuduhan dan menegaskan mereka berada di Libya untuk bekerja dalam sektor minyak, dituduh memiliki pelancar peluru berpandu untuk menyasarkan pesawat perang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menyokong pemberontakan ke atas Gaddafi. Pada awal perbicaraan April lalu, seorang jurucakap tentera berkata Eropah Timur turut menyokong rejim dalam serangan ke atas orang awam dan menerima bayaran daripada Gaddafi.Seorang jurucakap berkata 'tentera upahan' berkenaan ditahan sejak kejatuhan bandar ini lewat Ogos 2011 lalu oleh briged bekas pemberontak di ibu kota ini, berkunjung ke Libya atas kehendak mereka sendiri tanpa sokongan kerajaan mereka. Duta Ukraine dan Belarus berada di mahkamah untuk mendengar keputusan dan berkata tertuduh akan membuat rayuan. Sebelum keputusan dibacakan, Duta Belarus Anatoly Stepus, berkata 24 lelaki terbabit datang bekerja untuk menyertai sebuah syarikat minyak Libya dan Russia dan bukan tentera seperti didakwa.
"Ini adalah sebahagian fakta kes," katanya tanpa menjelaskan mengapa lelaki terbabit berkunjung ke negara Afrika Utara itu. – AFP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan