Sabtu, 30 Jun 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bunuh diri dalam mahkamah

Posted: 29 Jun 2012 08:35 AM PDT

PHOENIX (Arizona): Pengunjung Mahkamah Tinggi Maricopa tergamam apabila seorang lelaki yang baru disabitkan kesalahan membakar rumahnya tiba-tiba terjatuh dan mati, semalam.

Sejurus sebelum itu, juri mendapati Michael Marin bersalah atas tuduhan khianat apabila membakar rumahnya yang bernilai AS$3.5 (RM11.1 juta).


Marin, 53, kelihatan terkejut dan memejamkan matanya ketika hakim membacakan keputusan sebelum dia dilihat memasukkan sesuatu ke mulutnya.

Dia kemudian menelannya dengan bantuan cecair dalam satu botol plastik.


Melalui rakaman kamera litar tertutup mahkamah, Marin dilihat terjatuh ke lantai beberapa minit kemudian dan menggelupur seperti terkena sawan.


Dia disahkan mati apabila tiba di sebuah hospital tidak lama kemudian, Apabila perbicaraan bermula Mei lalu, pendakwa berkata, Marin boleh dihukum penjara sehingga 16 tahun jika didapati bersalah. Rumah agam Marin musnah terbakar pada 5 Julai 2009 selepas dia gagal menjual bangunan berkenaan dalam satu lelongan amal. Bomba mendapati kebakaran di bangunan seluas 613 meter persegi (6,600 kaki persegi) itu disengajakan.

Marin memberitahu pihak berkuasa, dia melarikan diri selepas membakar rumahnya dengan menuruni tangga tali dari tingkat dua dan memakai sut penyelam.


Tiada sesiapa cedera dalam kebakaran itu tetapi undang-undang Arizona menganggap kesalahan membakar bangunan sama seperti pembunuhan tahap kedua. Pendakwa berkata, Marin sengaja membakar rumahnya kerana tidak mampu membayar hutang. Ujian toksikologi akan dijalankan ke atas mayat Marin serta botol yang digunakannya di mahkamah. Bapa kepada empat anak, Marin adalah graduan undang-undang dari Sekolah Undang-undang Yale, pernah bekerja di Wall Street dan gemar aktiviti mencabar. - DM


Carla hamil anak kedua Sarkozy

Posted: 29 Jun 2012 08:27 AM PDT

PARIS: Carla Bruni dilaporkan hamil anak ketiganya ketika bekas Wanita Pertama Perancis itu kini berusia 44 tahun.

Jika berita itu benar, ia adalah anak kedua Carla dengan bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, 56, lapor majalah Closer, semalam. Pendedahan itu muncul selepas Carla dilapor "mengalami kemurungan" sejak Sarkozy tewas dalam pilihan raya presiden bulan lalu. Sumber berkata, Carla mengalami "kemurungan bayi" selepas melahirkan Guilia September lalu.


"Kini dia mengalami kemurungan akibat terpaksa meninggalkan Istana Elysee (kediaman rasmi Presiden Perancis)," katanya. Menurut Closer, doktor menasihati bekas supermodel itu supaya "benar-benar berehat" kerana dia hamil dalam usia 40-an. "Selama beberapa minggu orang ramai tertanya-tanya mengapa Carla gagal menjaga anaknya, tetapi kini ternyata dia hamil sekali lagi.

"Perutnya kelihatan semakin besar dan dia tidak mampu menyembunyikannya lagi," lapor majalah itu. - DM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan