Rabu, 27 Jun 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Banjir terburuk Bangladesh

Posted: 27 Jun 2012 02:42 PM PDT

Dunia

BANDAR Chittagong ditenggelami banjir yang biasa melanda di Bangladesh ketika musim tengkujuh.

BANDAR Chittagong ditenggelami banjir yang biasa melanda di Bangladesh ketika musim tengkujuh.

DHAKA: Tanah runtuh dan banjir disebabkan musim hujan di Bangladesh mengorbankan sekurang-kurangnya 90 orang di selatan negara itu dan menyebabkan 200,000 lagi terperangkap semalam ketika penyelamat berusaha mencari ramai lagi yang masih hilang, kata pegawai.

Hujan lebat selama tiga hari turun di negara itu dan tanah runtuh menenggelamkan rumah ketika penduduk tidur kelmarin dan awal pagi semalam.

Ramai penduduk yang tidak berumah tinggal di kaki bukit atau kawasan berhampiran walaupun berulang kali diberi amaran pihak berkuasa. Musim banjir perkara biasa di Bangladesh yang mempunyai 160 juta penduduk. "Ramai lagi penduduk dikhuatiri terperangkap dalam rumah di kaki bukit. Operasi menyelamat berterusan," kata Timbalan Pesuruhjaya Chittagong, Faiz Ahmad.

Kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak dan angka kematian mungkin meningkat ketika pasukan penyelamat masih mencari penduduk yang masih hilang.

Sukarelawan menggunakan pembesar suara memberi amaran kepada penduduk mengenai bahaya tanah runtuh ketika musim hujan, kata Jaynul Bari, pentadbir kerajaan di salah satu kawasan terjejas, daerah Cox's Bazar.

Banjir menenggelami puluhan kampung dan mengganggu komunikasi di kawasan itu. "Mayat 32 penduduk dewasa dan kanak-kanak ditemui di daerah Bandarban," kata K M Tariqul Islam, ketua pentadbir kerajaan di kawasan yang terletak 248 kilometer ke tenggara Dhaka. Seramai 34 maut, kebanyakannya akibat tanah runtuh di daerah Cox's Bazar.

Bari berkata, 23 mayat ditemui dalam timbunan serpihan di Ukhia dan 11 lagi lemas dalam banjir.

Kira-kira 200 yang kehilangan tempat tinggal ditempatkan di sekolah di tanah tinggi. Di Chittagong, satu lagi daerah di wilayah itu, mayat 10 penduduk ditemui tertimbus dalam tanah runtuh.

Lapangan terbang di Chittagong ditutup beberapa jam kelmarin apabila banjir menenggelamkan landasan. Ia dibuka semula semalam selepas hujan berhenti.

Hujan lebat lima hari melanda kawasan berhampiran sempadan Myanmar dan India dengan pejabat cuaca mencatatkan 463 milimeter hujan di Chittagong lebih 24 jam.

"Kami berdepan hujan paling buruk dalam masa beberapa tahun," kata Bari.

Pegawai kaji cuaca berkata, hujan lebat dijangka turun beberapa hari lagi. Sementara itu, pegawai kawalan bencana berkata, kira-kira 150,000 penduduk terjejas akibat banjir di tenggara, manakala 50,000 lagi terperangkap di Sylhet. – AP/Agensi

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Kebakaran hutan Colorado merebak

Posted: 27 Jun 2012 02:41 PM PDT

Dunia

COLORADO: Lebih 32,000 penduduk terpaksa dipindahkan manakala banyak rumah musnah ketika kebakaran hutan di Colorado Springs semakin merebak dan disifatkan gabenor negeri itu, John Hickenlooper, seperti pencerobohan tentera.

Laporan stesen televisyen KDVR menyatakan, Sherif El Paso berkata kebakaran sudah merebak sehingga lebih 2,630 hektar setakat ini.

"Banyak rumah musnah dalam kebakaran," kata Datuk Bandar Colorado Springs, Steve Bach, kepada KDVR. Seramai 2,100 dipindahkan dari Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat, yang terletak di utara Colorado Springs. Akademi berkenaan lewat kelmarin berkata pegawai mengarahkan pangkalan itu ditutup untuk operasi biasa semalam, dengan kakitangan penting saja melaporkan untuk bertugas.

Sementara itu, pihak berkuasa di tengah Utah menemui mayat seorang wanita kelmarin ketika kembali ke kawasan diarahkan berpindah, menjadikan ia kematian pertama dalam kebakaran yang sudah memusnahkan 12 rumah dan dilihat menjadi lebih buruk.

Di bahagian barat, pasukan bomba berhempas pulas mengawal kebakaran di Colorado, Utah dan beberapa negeri di Rocky Mountain.

Colorado mencatatkan suhu lebih 100 darjah Celsius sejak seminggu lalu, mencetuskan faktor dahsyat kebakaran hutan di seluruh negeri dan mencabar pasukan bomba.
"Apabila keadaan panas, ia kering dan mudah untuk api merebak," kata jurucakap bomba bagi Perkhidmatan Hutan Amerika, Steve Segin.

Seluruh Utah dan sebahagian besar Wyoming, Colorado dan Montana diletakkan dalam amaran bendera merah, bermakna keadaan panas, kering dan mudah terjadi kebakaran.

Kelmarin adalah hari kelima berturut-turut suhu dicatat 100 darjah atau lebih tinggi di Denver, menyamai rekod pada tahun 2005 dan 1989. Isnin lalu, Denver mencatat rekod dengan suhu setinggi 105 darjah.

Kawasan lain di negara itu turut mencatatkan suhu melebihi 100 darjah kelmarin, termasuk di bandar Wray, mencecah 108 darjah, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.

"Apa yang dilihat sekarang ialah kemuncak kepanasan luar biasa berikutan berdekad corak kepanasan," kata ketua pemantau suhu di Pusat Data Suhu Kebangsaan di Ashville, Derek Arndt.

Kepanasan tidak dijangka berkurangan dalam masa terdekat. Segin berkata, keadaan memberikan kesan teruk secara fizikal kepada pasukan bomba yang berusaha sepanjang hari dan mengangkut peralatan berat.

Video televisyen menunjukkan asap dan api semakin menghampiri rumah di kawasan penempatan berdekatan hutan di barat laut Colorado Springs.

Dua pesawat kargo C-130 Tentera Udara dikerah membantu memadamkan kebakaran dan yang ketiga dijangka sampai lewat semalam.

Pada jarak 352 kilometer persegi kebakaran di High Park di utara Colorado, pihak berkuasa menambah rumah yang musnah kepada 257, berkata mereka menemui sembilan lagi rumah yang tidak dikira sebelum ini. Angka itu adalah yang tertinggi dalam sejarah kebakaran hutan di negeri itu. – Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan