Berita Harian: Dunia |
Posted: 12 Jun 2012 02:48 PM PDT Dunia KAHERAH: Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, 84, sudah koma sepenuhnya, kata sumber Kementerian Dalam Negeri semalam manakala pihak lain pula mendakwa bekas pemimpin itu berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.Kesihatan Mubarak semakin merosot sejak dipenjarakan 2 Jun lalu, dan mencapai kemuncaknya apabila jantungnya dua kali berhenti berdegup, kata sumber hospital penjara. "Keadaannya amat kritikal. Saya merayu menerusi agensi berita kepada semua pemimpin dunia dan badan bukan kerajaan, selamatkan Mubarak," kata ketua peguam bela Mubarak, Farid al-Deeb. "Mubarak dalam keadaan kritikal tetapi stabil," kata satu lagi sumber yang enggan dikenali sambil menambah sejak tiba di penjara Tora, beliau mengalami tekanan teruk hingga sukar bernafas.Minggu lalu, pegawai penjara, bersetuju Gamal, anak lelaki Mubarak dipindahkan dekat kepada bapanya. Gamal yang juga dipenjarakan di Tora, menanti satu lagi perbicaraan atas dakwaan rasuah. Mubarak juga meminta Alaa, seorang lagi anaknya yang turut ditahan, berada dekat dengannya. Pihak berkuasa juga meneliti kemungkinan memindahkan Mubarak dari penjara di selatan Kaherah, lokasi beliau dipindahkan untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup 2 Jun lalu, ke sebuah hospital persendirian di ibu negara Mesir itu.
"Kesihatannya tidak stabil, ia perlu diperhatikan 24 jam," katanya yang dipetik akhbar al-Masry al-Youm. Beliau berkata, bekas pemimpin itu menuduh pihak berkuasa mahu membunuhnya dalam penjara ketika kesihatannya semakin merosot. "Beliau kata: 'Mereka mahu bunuh saya. Selamatkan saya, Farid, carikan penyelesaian untuk saya'," kata Farid. Sejak penyingkirannya Februari tahun lalu, ada laporan berbeza mengenai kesihatan Mubarak, dengan sebahagiannya berkata beliau menderita barah, sakit jantung atau kemurungan. Mubarak menghadiri sesi keterangan dalam perbicaraan yang bermula Ogos lalu menggunakan pengusung, selepas dibawa dengan helikopter dari tempat beliau ditahan di hospital tentera di pinggir Kaherah. Beliau dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana bertindak keras ke atas penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya pada awal 2011 yang menyebabkan hampir 850 orang terbunuh. Mubarak kini ditahan di unit rawatan rapi di penjara Tora. Pihak berkuasa penjara kelmarin membenarkan Alaa, yang juga dipenjarakan di tempat sama atas dakwaan rasuah, menyertai bapanya bersama seorang lagi anak pemimpin itu, Gamal. Isteri Mubarak, Suzanne dan dua menantu perempuannya diberi kebenaran khas melawatnya Ahad lalu berikutan khabar angin beliau sudah meninggal dunia, lapor media. Keluarganya meminta secara rasmi untuk memindahkan Mubarak ke hospital di Kaherah tetapi ia akan menaikkan kemarahan aktivis dan penunjuk perasaan terutama pada tempoh sensitif di negara itu. – Agensi |
25 korban terbaru kekacauan di Myanmar Posted: 12 Jun 2012 02:47 PM PDT Dunia SITTWE: Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam keganasan etnik dan agama di Myanmar ketika ketegangan meningkat berpunca daripada kes rogol seorang wanita beragama Buddha di negeri Rakhine."Sekurang-kurangnya 25 orang maut dalam kekacauan," kata seorang pegawai kanan kerajaan tanpa memberitahu bagaimana kematian berlaku atau sama ada mangsa beragama Buddha atau Muslim. Sebagai langkah keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membawa keluar 40 pekerjanya termasuk warga asing dari kawasan berkenaan. Perintah darurat diisytiharkan di negeri itu yang dilanda rusuhan disebabkan kes perkosa berkenaan. Ketegangan ini dianggap satu ujian terhadap kerajaan Myanmar yang cuba memperkenal dasar pembaharuan sejak tahun lalu.Seramai 41 orang lagi cedera dalam kekacauan sejak lima hari lalu. Kematian itu tidak mengambil kira 10 Muslim yang dibunuh pada 3 Jun lalu oleh sekumpulan pengikut Buddha yang membalas dendam perogolan wanita berkenaan di Rakhine. Pertubuhan hak asasi manusia bimbang angka kematian mungkin lebih tinggi daripada angka rasmi. Wartawan agensi berita tidak dapat melawat kawasan terbabit atas sebab keselamatan. Tembakan kedengaran di Sittwe semalam meskipun ramai anggota keselamatan melakukan rondaan, kata seorang wartawan di sini. Kepulan asap kebakaran juga memenuhi ruang udara.
Amerika Syarikat segera menggesa langkah diambil bagi menghentikan ketegangan dengan Setiausaha Negara, Hillary Clinton menggesa semua pihak bertenang. Ketika memberi amaran bahawa keganasan semakin tidak terkawal, pegawai kanan Human Right's Watch (HRW) menggesa pemerhati antarabangsa ditempatkan di Rakhine. – AFP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan