Isnin, 14 Mei 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Cuba tanam anak hidup-hidup

Posted: 13 May 2012 09:51 AM PDT

NEW DELHI: Bapa seorang bayi perempuan berusia enam minggu, ditahan bersama bapa saudara bayi itu kerana dikatakan cuba menanamnya hidup-hidup.

Mereka dikatakan percaya dengan berbuat demikian akan dapat melindungi anaknya yang lain daripada penyakit.

Seorang pekerja di kawasan perkuburan di Pilkhuwa, 100 kilometer dari Delhi, membuat laporan polis apabila ternampak kedua-dua lelaki itu cuba menanam bayi itu, Radhika.

Dinesh Kumar, bapa Radhika dan adiknya mendakwa seorang guru agama mengarahkan mereka melakukan perbuatan itu sebagai usaha mengelak nasib malang keluarga itu selepas anak mereka meninggal dunia akibat sakit, tahun lalu.


Radhika, kini berusia dua bulan, dirawat di hospital kerana kekurangan air dan zat.


Dalam kes yang mungkin menjadi kes ketiga bulan lalu, seorang wartawan mengatakan ia berlaku kerana kemiskinan dan buta huruf, menjadikan orang ramai percaya kepada kepercayaan karut.

Ibu Radhika, Bharati Rani, menafikan terlibat dalam kejadian itu dan berkata: "Beritahu saya ibu mana yang sanggup membunuh anaknya sendiri?"

Penjaga kubur, Sriram Kore berkata: "Anda lihat sendiri bukti kubur digali."

Katanya bapa dan bapa saudara Radhika menggali kubur itu dan membuat upacara keagamaan.

"Mereka membawa bungkusan kecil, bayi perempuan yang sudah mati dan mahu menanamnya. Tapi, saya dapat lihat dia masih hidup, jadi saya cepat-cepat menelefon polis," katanya.

Setakat ini, polis masih belum menjejaki guru agama yang terlibat.

Di India, kanak-kanak perempuan masih dianggap sebagai beban kerana perkahwinan tradisi memerlukan hantaran yang besar dibayar kepada pihak lelaki apabila berkahwin.

Negara itu mempunyai kadar kematian kanak-kanak perempuan tertinggi di dunia. - BBC




Ratu Fiji dilucut gelaran

Posted: 13 May 2012 09:48 AM PDT

WELLINGTON: Ratu cantik Fiji, Torika Watters yang menjadi sasaran kritikan bersifat perkauman kerana rupa parasnya dilucut gelarannya semalam.

Dia kini digantikan dengan peserta lain untuk mewakili Fiji dalam pertandingan Ratu Cantik Dunia.


Penganjur berkata, pertukaran itu dilakukan kerana usia Torika yang baru 16 tahun, bukan kerana rungutan dia yang mempunyai darah kacukan Eropah dan Fiji tidak kelihatan seperti orang Fiji.

Torika dipilih bulan lalu, mengalahkan peserta penduduk asli Fiji oleh panel hakim termasuk supermodel New Zealand, Rachel Hunter, bekas isteri Rod Steward dan beberapa hakim bukan warga Fiji.


Keputusan itu menyebabkan laman Facebook Miss World itu dihujani kritikan yang menyuarakan wakil Fiji mesti mempunyai 'buiniga,' perkataan tempatan untuk rambut kerinting orang Fiji.


Beratus-ratus kritikan terpaksa dipadamkan dan jurucakap pertandingan berkata di Facebook, tiada "kritikan membina cuma kritikan negatif daripada penduduk Fiji mengenai pemilihan Torika." Penganjur Andhy Blake berkata Torika tidak memenuhi kriteria Pertandingan Ratu Cantik dunia kerana peserta mesti berusia sekurang-kurangnya 17 tahun.

Dia digantikan oleh Koini Vakalolomam 24, pemenang tempat kedua. - AFP




Tiada ulasan:

Catat Ulasan