KABUL: Kumpulan Taliban melancarkan beberapa serangan serentak di sekurang-kurangnya tujuh kawasan di sekitar ibu negara Afghanistan ini, mensasarkan ibu pejabat Nato, Parlimen dan kedutaan.
Serangan turut dilakukan di tiga bandar raya di timur negara itu.
Sekurang-kurangnya tiga penyerang terbunuh di Kabul dan tiga lagi mati apabila mereka meletupkan bom kereta di Jalalabad, yang turut mencederakan lima orang.
Sehingga jam 11 malam (waktu Malaysia) penyerang masih melancarkan serangan roket dan berbalas tembak dengan pasukan keselamatan, lapor wartawan AFP di Kabul.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid mengaku kumpulan itu bertanggungjawab dan berkata, ramai pengebom berani matinya melancarkan serangan terhadap Kabul dan tiga wilayah lain. Serangan di ibu negara itu bermula dengan pengeboman di kawasan Wazir Akbar Khan yang menempatkan pangkalan Nato dan beberapa kedutaan, termasuk Amerika Syarikat.
Tembak-menembak meletus sejurus selepas letupan itu, memaksa mereka yang terperangkap di jalan raya meluru mencari tempat berlindung.
Lebih 10 letupan yang menyusul menggegarkan Kabul dan tembakan kuat bergema di bandar raya itu selama dua jam selepas letupan pertama.
Dalam kenyataan menerusi e-mel, Zabiullah berkata, serangan itu mensasarkan ibu pejabat Nato, Britain dan Jerman, Parlimen Afghanistan, Hotel Serena, Kabul Star dan kawasan di sepanjang Jalan Darulaman, tempat terletaknya Kedutaan Russia.
Pada masa sama, pejuang Taliban melancarkan serangan terhadap penempatan tentera Afghanistan dan Nato di ibu negeri wilayah Nangarhar, Logar dan Paktia, katanya.
"Dalam serangan ini, puluhan mujahidin yang dilengkapi senjata ringan dan berat, mesingan, pelancar roket dan kelengkapan serangan berani mati, menyerang sasaran masing-masing," kata Zabiullah.
"Laporan awal yang kami terima menunjukkan sejumlah besar tentera asing, anggota polis dan askar Afghanistan terbunuh atau cedera," katanya.
Menurut jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat, serangan berlaku di sekitar kedutaan itu. Kementerian Luar Jerman pula berkata, kerosakan berlaku di sekitar kedutaannya tetapi tidak ada sesiapa yang cedera.
Wartawan Associated Press di Kabul berkata, penyerang yang berkubu di bangunan tinggi melancarkan serangan roket ke pelbagai arah.
Tidak dapat dipastikan sasaran mereka tetapi tembakan senjata lain kelihatan disasarkan terhadap Kedutaan Britain.
Pejabat Luar Britain di London berkata, semua kakitangannya selamat. Dalam pada itu, jurucakap Taliban juga mendakwa anggotanya melancarkan serangan terhadap istana presiden. Bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat dipastikan kesahihannya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan