Isnin, 16 April 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Haqqani dalang serangan di Afghanistan

Posted: 16 Apr 2012 12:40 PM PDT

Dunia

Kumpulan didakwa mempunyai hubungan dengan Taliban, al-Qaeda

KABUL: Seorang anggota militan yang ditangkap di Kabul mengaku bahawa serangan yang dilakukan di ibu negara Afghanistan dan tiga buah bandar lain didalangi rangkaian Haqqani, sebuah kumpulan yang mempunyai hubungan dengan Taliban dan al-Qaeda, kata pegawai.

Menteri Dalam Negeri, Besmillah Mohammadi, berkata seramai 36 pemisah, lapan anggota polis dan tiga penduduk awam terbunuh dalam serangan itu manakala 65 lagi cedera.

Walaupun angka kematian lebih rendah berbanding sebelum ini, serangan ke beberapa bandar menunjukkan bahawa pergerakan militan masih kuat. - Besmillah Mohammadi, Menteri Dalam Negeri

"Seorang daripada militan yang ditangkap di wilayah Nangarhar mengaku bahawa rangkaian Haqqani, melancarkan serangan itu.

"Walaupun angka kematian lebih rendah berbanding sebelum ini, serangan ke beberapa bandar menunjukkan bahawa pergerakan militan masih kuat dan mereka berupaya menjejaskan keselamatan Afghanistan malah mampu menceroboh masuk ke Kabul," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini kembali menguasai Kabul dan keadaan lebih tenang selepas serangan itu, disifatkan yang terbesar dalam tempoh satu dekad.
Mohammadi berkata, dalam serangan itu sekumpulan militan menyamar dengan memakai burqa dan membawa bunga sebelum melepaskan tembakan.
"Beberapa pemisah di Kabul memakai burqa dan membawa bunga sebelum melepaskan tembakan. Bagaimanapun mereka berjaya dibunuh pasukan keselamatan Afghanistan," katanya.

Kabul dilanda satu gelombang serangan di tiga kawasan pada Ahad, dengan kedutaan dan kem tentera asing menjadi sasaran dalam apa yang disifatkan Taliban sebagai permulaan kepada serangan balas mereka.

Pasukan keselamatan Afghanistan mendahului dalam serangan berkenaan, tetapi seorang jurucakap tentera NATO di negara itu berkata bahawa mereka menyediakan sokongan udara terhadap permintaan dari Afghanistan.

Presiden Afghanistan, Hamid Karzai berkata serangan semalam membuktikan bahawa 'pihak perisikan gagal menjalankan tugas, terutama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sehingga membolehkan militan menyerbu Kabul.

Beliau menggesa siasatan penuh dijalankan, tetapi pada masa yang sama memuji pasukan keselamatan Afghanistan berikutan tindakan balas pantas terhadap serangan itu.

Serangan meningkatkan kebimbangan mengenai keadaan keselamatan yang tidak menentu di Afghanistan berikutan NATO bersiap sedia untuk mengundurkan 130,000 tentera akhir 2014 dan bertanggungjawab terhadap keselamatan Afghanistan.

"Saya berbangga bagaimana cepatnya pasukan keselamatan Afghanistan bertindak balas terhadap serangan hari ini di Kabul.

"Mereka berada di tempat kejadian dengan segera, menyelaras dan meneraju dengan baik. Mereka menyatukan usaha membantu melindungi rakyat senegara dan mengawal pemisah," kata komander Pasukan Pembantu Keselamatan Antarabangsa NATO (ISAF), Jeneral John Allen.

Bagaimanapun kenyataan bahawa ramai yang mampu melepasi apa yang dipanggil pintu masuk 'Ring of Steel' Kabul dan sasaran serangan tinggi di ibu negara itu meningkatkan persoalan mengenai keselamatan.

Duta Amerika Syarikat, Ryan Crocker, berkata bahawa keupayaan pasukan keselamatan Afghanistan untuk membalas serangan adalah satu perkembangan yang amat jelas, manakala ISAF menyifatkan serangan itu sebagai tidak efektif.

Setiausaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton memanggil Crocker untuk membincangkan serangan 'pengecut' itu, kata Jabatan Negara, dan meminta beliau untuk menyampaikan kepada Presiden Hamid Karzai penghargaan beliau bagi 'tindak balas yang pantas dan berkesan' pasukan tentera Afghanistan.

Kedutaan Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan jepun menjadi sasaran serangan berikutan militan menyerang kawasan diplomatik bandaraya itu dan cuba untuk menyerbu parlimen, mencetuskan pertempuran senjata ketika penggubal undang-undang dan pengawal peribadi mereka melepaskan tembakan dari atas bumbung.

Di luar ibu kota, militan menyerang bangunan kerajaan di wilayah Logar, lapangan terbang Jalalabad dan balai polis di bandar Gardez dalam wilayah Paktya. – AFP

Budak lima hari bersama mayat ibu

Posted: 16 Apr 2012 12:39 PM PDT

Dunia

SYDNEY: Seorang kanak-kanak perempuan Australia berusia dua tahun menghabiskan masa lima hari bersendirian bersama mayat ibunya dengan hanya makan coklat telur Hari Easter, kata pegawai semalam.

Kanak-kanak yang mengalami kehilangan air badan serius itu, ditemui pada Jumaat selepas jiran mendapat tahu dan membawa kepada penemuan mayat wanita berusia 30-an di sebuah rumah di Wagga Wagga, kira-kira 400 kilometer barat daya Sydney.

"Kanak-kanak itu kelihatan lesu dan pucat. Beliau tidak bercakap dan tidak menunjukkan sebarang emosi," kata Inspektor Ambulans Wilayah, Eamonn Purcell merujuk kanak-kanak itu. Pihak berkuasa mengaku banyak perkara yang tidak diketahui dalam kes itu termasuk bagaimana ibu kanak-kanak itu mati. Walaupun kehilangan air banyak, tahap gula kanak-kanak itu berada dalam keadaan baik.

"Kejadian berlaku tidak lama selepas sambutan Hari Easter, jadi kanak-kanak ini mungkin makan coklat telur yang masih disimpan," kata Purcell memberitahu wartawan. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan