Kosmo Online - Dunia |
Posted: Israel henti serang Gaza
BANDAR GAZA - Israel dan kumpulan pejuang di Gaza bersetuju untuk saling menghentikan serangan semalam dalam satu gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir. Perkembangan tersebut berlaku selepas 25 penduduk Gaza terbunuh manakala 80 cedera dalam pertempuran empat hari antara Israel dan Palestin. Berdasarkan persetujuan itu yang berkuat kuasa pada pukul 1 pagi waktu tempatan kelmarin, Israel dan Kumpulan Jihad Islam di Gaza bersetuju untuk berhenti melancarkan serangan. "Terdapat persefahaman bersama (Israel dan pejuang Palestin) dan kami mengikuti perkembangan yang berlaku," kata Menteri Pertahanan Awam Israel, Matan Vilnai dengan menjelaskan bahawa gencatan senjata tersebut tidak melibatkan persetujuan bertulis. Sejak gencatan senjata itu dipersetujui, bilangan roket yang dibedil ke Israel berkurangan dengan mendadak manakala langit di Gaza turut tenang tanpa kehadiran pesawat pejuang rejim Zionis. Namun, kedua-dua belah pihak segera memberi amaran gencatan senjata itu akan terbatal jika pihak musuh melakukan tindakan provokasi yang melampau. Gencatan senjata itu berkuat kuasa selepas keganasan rejim Zionis berlaku selama empat hari yang bermula dengan pembunuhan Ketua Jawatankuasa Penentangan Popular, Zahir Kaisi oleh tentera Israel pada Jumaat lalu. Ekoran pembunuhan tersebut, pejuang-pejuang Palestin membedil roket ke selatan Israel yang dibalas dengan serangan udara oleh rejim Zionis. - AFP | |
Imam mati ketika masjid dibakar Posted: Imam mati ketika masjid dibakarBRUSSELS, Belgium - Sebuah masjid dekat sini yang dibakar dengan sengaja telah mengakibatkan seorang imam mati, kata pihak berkuasa kelmarin. Jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Brussels, Jean-Marc Meilleur berkata, seorang lelaki telah ditangkap. Menurutnya, lelaki yang yang ditangkap itu merupakan seorang Muslim yang dilahirkan pada tahun 1978. Beliau berkata, lelaki berkenaan yang bersenjatakan pisau dan kapak turut menyimbah bahan bakar dipercayai sebagai petrol. Meilleur berkata, para jemaah berjaya menangkapnya dan lelaki itu dikurung di dalam sebuah bilik di masjid tersebut. Beliau menjelaskan kejadian itu berlaku di antara pukul 6 dan 7 petang pada waktu tempatan. Akhbar Le Soir melaporkan bahawa imam tersebut yang berusia 47 tahun mati semasa dia cuba untuk memadamkan kebakaran. Menurut akhbar itu, ratusan orang berhimpun di luar masjid itu dan berada dalam keadaan terkejut ekoran kejadian tersebut. - Agensi | |
Swift peroleh pendapatan tertinggi Posted: Swift peroleh pendapatan tertinggiLOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Penyanyi terkenal, Taylor Swift memperoleh pendapatan paling tinggi dalam industri muzik AS pada tahun 2011. Menurut majalah Billboard, pemenang anugerah Grammy yang berusia 22 tahun itu memperoleh pendapatan sebanyak AS$35.7 juta (RM108.44 juta) termasuk menerusi konsert jelajah dan penjualan album. Band rock dari Ireland, U2 yang dianggotai penyanyi Bono, berada di tempat kedua selepas memperoleh pendapatan sebanyak AS$32.1 juta (RM97.51 juta) menerusi konsert jelajah selama dua tahun yang berakhir pada Julai tahun lalu. Penyanyi yang gemar berpakaian pelik, Lady Gaga, 25, pula memperoleh pendapatan sebanyak AS$25.4 juta (RM77.15 juta) berada di tempat keempat. Band rock, Bon Jovi berada di tempat ketujuh dengan pendapatan sebanyak AS$15.8 juta (RM48 juta). Sementara itu, penyanyi yang menggondol enam anugerah Grammy pada Februari lalu, Adele, 23, tersenarai dalam kelompok 10 teratas apabila albumnya yang berjudul 21 mencatat kejayaan besar. Penyanyi Elton John, 64, berada di tempat ke-13, Katy Perry, 27, menduduki tempat ke-14 dan band legenda, The Beatles di tangga ke-24. Kedudukan penyanyi remaja, Justin Bieber, 18, jatuh di tempat ke-35 dengan memperoleh pendapatan sebanyak AS$5.5 juta (RM16.71 juta). - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan