Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Tentera asing bakar al-QuranPenduduk Afghanistan yang mengadakan tunjuk perasaan dan membalingkan bom api sambil melaungkan slogan anti-AS di hadapan pintu pagar pangkalan tentera AS di Bagram membantah tindakan tentera asing membakar kitab al-Quran di pangkalan itu, semalam. - AFP KABUL 21 Feb. - Satu protes tercetus di luar sebuah pangkalan utama tentera Amerika Syarikat (AS) di Pakistan dan Kabul, hari ini ekoran dakwaan tentera asing membakar bahan bacaan Islam termasuk kitab suci Al-Quran. Menurut seorang jurugambar AFP, kira-kira 2,000 penunjuk perasaan mengepung pangkalan udara Bagram, utara Kabul. Mereka turut melemparkan bom petrol ke arah pagar pangkalan tersebut. Komander AS di Afghanistan, Jeneral John Allen berkata, beliau ada menerima laporan tentang tindakan tentera melupuskan bahan bacaan Islam termasuk al-Quran dengan cara yang tidak sepatutnya. Beliau juga katanya telah mengarahkan satu siasatan dijalankan berhubung kejadian tersebut yang dilakukan tentera di Bagram. "Selepas mengetahui tentang perkara itu, kami segera menghentikannya. Semua bahan bacaan itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk diuruskan dengan betul. "Saya meminta maaf bagi setiap kesilapan yang mungkin berlaku kepada Presiden Hamid Karzai, Republik Islam Afghanistan dan yang paling penting kepada semua rakyat negara ini," katanya dalam satu kenyataan. Ketua Penjara Bagram, Ahmad Kabir berkata, kebanyakan penunjuk perasaan merupakan pekerja di pangkalan tentera terbabit dan sebahagiannya mendakwa ternampak cebisan al-Quran dibakar di pangkalan itu. "Saya tidak nampak kejadian itu, jadi siasatan perlu dilakukan untuk mendapatkan kepastian," katanya. Jurucakap polis Ashamat Estanakzai pula berkata, satu lagi protes disertai 500 penunjuk perasaan turut diadakan di daerah Pul-e-charkhi, berhampiran pangkalan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Jalalabad. Beberapa protes sama sebelum ini bertukar ganas di Afghanistan, sebuah negara Islam yang memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan menghina agama. - AFP/AP |
Thai kesan suspek militan keenam Posted: Thai kesan suspek militan keenamAnggota polis Thai mengawal suspek militan warga Iran, Mohammad Kharzei (tengah) ketika polis melakukan siasatan di rumah sewanya di Bangkok, kelmarin. - AFP BANGKOK 21 Feb. - Polis Thailand menamakan suspek keenam dalam komplot serangan bom ke atas diplomat Israel dipercayai didalangi rakyat Iran di sini. Lelaki itu, Norouzi Shaya Ali Akbar, 57, dikehendaki kerana disyaki memiliki dan membuat bahan letupan. Timbalan Ketua Polis Thailand, Pansiri Prapawat berkata, Norouzi dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) meninggalkan rumah yang disewa suspek-suspek lain. ''Dia dipercayai telah melarikan diri ke Iran,'' katanya yang dipetik oleh AFP. Tiga suspek lelaki kini berada dalam tahanan di Thailand dan Malaysia, manakala dua lagi iaitu seorang lelaki dan seorang wanita kini dijejaki selepas kejadian letupan di sebuah rumah yang disewa rakyat Iran di sini pada minggu lepas. Polis membawa seorang suspek, Mohamad Khazaei ke tempat kejadian semalam. Kejadian letupan pada Selasa lalu menyebabkan kesemua suspek cuba melarikan diri dari Thailand di mana suspek kedua, Saeid Moradi terputus satu daripada kakinya dalam insiden itu. Mohamad Khazaei ditahan di lapangan terbang antarabangsa di sini, manakala suspek ketiga, Masoud Sedaghat Zadeh ditahan di Kuala Lumpur dan kini menunggu arahan untuk diekstradisi ke Thailand. Dua lagi suspek adalah seorang wanita Iran, Leila Rohani yang dipercayai sudah pulang ke Iran dan seorang lelaki, Nikkhahfard Javad yang kewarganegaraannya masih belum diketahui. Polis sedang melihat kemungkinan terdapat kaitan kejadian letupan itu dengan sejumlah pelekat yang memaparkan mesej perkataan yang membingungkan polis iaitu 'Sejeal' dan ditampal di sekitar bandar raya ini. - AGENSI |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan