Selasa, 21 Februari 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Guru campak anak dari jambatan

Posted: 20 Feb 2012 01:41 PM PST

BRISBANE: Seorang pengadil ragbi antarabangsa yang mengajar di sebuah sekolah eksklusif, mencampak bayi lelakinya dari sebatang jambatan sebelum melompat membunuh diri, semalam.

Jason Lees, 40, mencampak anak lelakinya yang baru berusia dua tahun dari ketinggian 74 meter di Jambatan Story sebelum dia melompat dan terdampar di pinggir tebing Sungai Brisbane. Ketika hidup, Lees mengajar di Sekolah Menengah Gereja Anglican di bandar raya Brisbane, selain menjadi pengadil Kesatuan Ragbi Antarabangsa.


Pengetua sekolah itu, Jonathan Hensman, berkata Lees seorang guru dihormati dan disayangi.

"Kehilangan Lees sangat dirasai di kalangan penduduk setempat serta semula pelajar yang pernah mendapat bimbingannya," katanya.


Sementara itu, jurucakap polis Queensland berkata, Lees menunggang basikal dan memasuki laluan pejalan kaki di sisi jambatan berkenaan pada awal pagi.


Lees kemudian mencampak anaknya melepasi palang keselamatan jambatan.

"Dia kemudian memanjat palang itu sebelum melompat," katanya.


Kejadian itu sama dengan insiden pada 2009 apabila Arthur Freeman, 37, mencampak anak perempuannya - berusia empat tahun - dari Jambatan Westgate di Melbourne.

Bagaimanapun, Freeman tidak membunuh diri, sebaliknya menyerah diri kepada polis sebelum dihukum penjara seumur hidup.


Saksi berkata, Lees membunuh diri kira-kira jam 3.30 pagi.


Katanya, orang awam menghubungi polis dan pasukan keselamatan berkejar ke tempat kejadian.


"Tetapi tiada apa yang dapat dilakukan terhadap Lees atau anaknya," katanya.


Difahamkan, Lees berasal dari Kanada.


Polis yakin bayi malang itu tidak terbabit dalam pertikaian hak penjagaan kerana siasatan mendapati, keluarga Lees hidup bahagia sebelum ini.


Ia berbeza seperti insiden membabitkan Freeman.


Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif kejadian. - DM



Scotland Yard pecat anggota guna telefon polis pesan dadah

Posted: 20 Feb 2012 08:35 AM PST

LONDON: Scotland Yard memecat seorang anggotanya kerana menggunakan telefon bimbit yang dibekalkan pihak berkuasa untuk memesan dadah.

Tanpa didedahkan identitinya, polis berusia 39 tahun itu juga didapati menceroboh komputer polis sebanyak lima kali untuk mengetahui sama ada pembekal dadahnya berada di bawah pemerhatian pihak berkuasa.


Jurucakap Scotland Yard berkata, polis terbabit memang penagih dadah tegar.

"Dia memesan dadah daripada seorang pembekal berhampiran rumahnya di Enfileld, London Utara," katanya, semalam.


Menurut jurucakap itu, pegawai antirasuah menahan suspek selepas menemui nombor telefonnya dalam simpanan seorang pengedar dadah yang ditahan.


Dia juga didenda RM5,000 dan dipecat selepas kesnya dibicarakan Lembaga Disiplin pada Disember lalu. Kes itu mengaibkan Pesuruhjaya Polis London selepas dia mengumumkan "perang ke atas jenayah" baru-baru ini. - DM



Tiada ulasan:

Catat Ulasan