Sabtu, 18 Februari 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Saintis dedah kenapa struktur batu purba dibina

Posted:

Saintis dedah kenapa struktur batu purba dibina

Saintis dedah kenapa struktur batu purba dibina

GAMBAR menunjukkan kawasan batu-batu Stonehenge di Salisbury, England yang dipenuhi salji pada 10 Februari lalu.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Seorang saintis AS, Steven Waller percaya ilusi audio mencetuskan inspirasi kepada masyarakat purba untuk membina struktur batu Stonehenge di England.

Diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, bulatan bongkah batu berusia 5,000 tahun di Britain itu menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung tujuan struktur berkenaan dibina.

Antara lain ia didakwa berfungsi sebagai sebuah balai cerap kuno, kuil matahari atau tempat penyembuhan.

Namun, kata Waller, sejenis kesan gelombang bunyi yang diketahui para saintis pada masa kini tetapi menjadi misteri kepada manusia kuno, menyebabkan mereka membina Stonehenge.

Kesan tersebut dikenali sebagai interferens akustik.

Ia berlaku apabila dua sumber bunyi seperti dua peniup alat muzik beg paip memainkan nota sama pada masa yang sama tetapi di lokasi berbeza di sebuah kawasan lapang.

Apabila seseorang melalui beberapa sudut di kawasan lapang tersebut, dia akan mendengar kesan bunyi yang amat perlahan dan hampir tidak kedengaran disebabkan gelombang bunyi kedua-dua beg paip tersebut berlanggar dan melantun.

"Seolah-olah terdapat bongkah misteri yang menghalang bunyi tersebut. Begitu juga dengan bunyi guruh, dua bunyi guruh serentak bukan menjadi lebih kuat. Fenomena ini sukar diterangkan pada zaman dahulu," kata Waller.

Menurutnya, masyarakat dahulu kala yang merasai kesan itu bertindak membina struktur batu Stonehenge bagi menggambarkan fenomena tersebut.

Stonehenge terdiri daripada bulatan batu yang mengandungi 17 bongkah batu menegak seberat sehingga 45 tan. Bulatan batu itu ditutup dengan enam batu melintang yang didirikan menghala ke arah matahari terbit pada solsetis musim panas di daerah Wiltshire, England. – AFP

Ribuan terkandas syarikat penerbangan bajet bankrap

Posted:

Ribuan terkandas syarikat penerbangan bajet bankrap

Ribuan terkandas syarikat penerbangan bajet bankrap


BEBERAPA penumpang syarikat penerbangan Air Australia yang terkandas duduk di sebuah lapangan terbang Phuket, Thailand.


SYDNEY – Beribu-ribu penumpang dari Hawaii menuju ke Thailand terkandas semalam apabila syarikat penerbangan tambang murah, Air Australia kehabisan wang.

Dalam satu kenyataan syarikat yang berpangkalan di Brisbane itu memberitahu, pihaknya telah melantik firma kecairan tempatan, KordaMentha sebagai pentadbir sukarela syarikat tersebut.

Pentadbiran sukarela itu adalah sama dengan terma perlindungan bankrap.

Perkembangan tersebut berlaku sehari selepas syarikat penerbangan utama Australia, Qantas mengumumkan ia membuang sekurang-kurangnya 500 pekerja, memotong perbelanjaan dan menutup dua laluan antarabangsa selepas keuntungan syarikat merudum 83 peratus pada suku pertama kewangan tahun ini.

"Semua pesawat Air Australia tidak akan melakukan penerbangan. Syarikat kehabisan dana untuk membayar kos operasi, justeru, semua penerbangan dibatalkan dengan serta-merta," kata kenyataan ketua Korda Mentha, Mark Korda.

Menurutnya, sekitar 4,000 penumpang yang kini berada di seberang laut telah menempah tiket penerbangan pulang dengan Air Australia.

Beliau seterusnya menasihati mereka agar membuat persiapan alternatif untuk pulang ke Australia.

Beliau memberitahu stesen radio tempatan, ABC bahawa Air Australia tidak dapat membeli bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, Thailand pada malam kelmarin.

"Susulan perkembangan tersebut, lembaga pengarah syarikat bermesyuarat pada pukul 1.30 pagi semalam dan melantik kami (KordaMentha) sebagai pentadbir sementara Air Australia," kata Korda.

Dalam perkembangan berkaitan, penumpang yang terkandas rata-rata memberitahu, mereka tidak dimaklumkan tentang perkembangan tersebut.

"Tiada seorang pun wakil Air Australia di lapangan terbang," kata seorang wanita, Wesa Chau kepada media Australia ketika menunggu penerbangannya di Phuket.

"Mereka (Air Australia) tidak menawarkan apa-apa bantuan," tambahnya.

Penerbangan Air Australia merangkumi laluan antarabangsa ke Pulau Bali di Indonesia, Pulau Phuket dan Hawaii selain destinasi tempatan iaitu Brisbane, Melbourne, Perth, Derby dan Port Hedland di Australia Barat. – Agensi

Misteri tempat lahir Charlie Chaplin

Posted:

Misteri tempat lahir Charlie Chaplin

Misteri tempat lahir Charlie Chaplin


CHARLIE CHAPLIN


LONDON – Para perisik Britain berjaya menggagalkan rancangan dan merungkai kod Nazi tetapi mereka gagal menyelesaikan misteri asal usul pelawak lagenda, Charlie Chaplin.

Walaupun penghibur itu dikatakan sebagai salah seorang anak kelahiran London namun fail-fail baharu yang didedahkan oleh perisikan Britain, MI5, mendapati tiada rekod yang mendakwa Chaplin dilahirkan di sini pada 16 April 1889.

Fail-fail rahsia yang terdahulu dan didedahkan semalam oleh Arkib Nasional Britain menunjukkan penyiasatan agensi perisikan Britain, MI5 terhadap bintang filem bisu pada tahun 1950-an itu dibuat atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) yang sudah lama mengesyaki dia merupakan orang yang bersimpati dengan fahaman komunis.

Para pengintip terkejut kerana tiada rekod kelahiran penghibur tersebut.

"Ia nampaknya seperti Chaplin adalah tidak lahir di negara ini atau namanya ketika lahir adalah lain daripada yang disebutkan," kata MI5 yang membuat kesimpulan.

Kehidupan Chaplin seperti kisah dalam buku Charles Dickens yang bermula daripada miskin dan kemudian menjadi kaya.

Dibesarkan di London dalam keluarga penghibur, dia berpindah ke AS pada tahun 1910 dan menjadi antara kumpulan bintang Hollywood mega yang pertama dengan identiti pakaian selekeh dan memakai topi.

Dia juga merupakan pelakon pecah panggung dalam beberapa filem seperti The Gold Rush, City Lights dan The Kid tetapi aktiviti dan ahli sayap kiri yang dikaitkan dengannnya menyebabkan agensi Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mula menyiasat pelakon itu pada awal tahun 1920-an.

Pada tahun 1952, akibat kebimbangan penyusupan pengaruh Soviet secara meluas di AS, pihak berkuasa AS meminta MI5 menyiasat hubungan politik Chaplin dan maklumat peribadinya termasuk khabar angin mengenai namanya itu satu penyamaran kerana nama sebenarnya ialah Israel Thornstein. Chaplin mati pada 25 Disimber 1977 semasa berumur 88 tahun . – AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan