Sabtu, 12 November 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Drama tebusan feri Turki berakhir

Posted: 12 Nov 2011 07:32 AM PST

Dunia

Pemberontak Kurdis ditembak mati

ISTANBUL: Seorang pemberontak Kurdis yang merampas sebuah feri dengan 24 penumpang ditembak mati awal semalam manakala semua tebusan berjaya diselamatkan selepas menempuh saat menakutkan selama lebih 12 jam, kata pihak berkuasa.

"Tidak lama selepas pasukan keselamatan Turki memulakan operasi, perampas berjaya dibunuh," kata Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu, kepada stesen televisyen NTV.

Beliau berkata, perampas berusia 30 tahun itu adalah anggota pertubuhan militan, merujuk kepada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan. Mutlu menambah lelaki itu turut membawa bahan letupan.
Feri berkenaan, yang dinamakan Kartepe, dirampas kira-kira jam 5.35 pagi waktu tempatan di laut Marmara. Pemimpin PKK, Abdullah Ocalan dipenjarakan di pulau berkenaan.

Menteri Pengangkutan Turki, Binali Yildirim, sebelum itu menyatakan ada empat atau lima perampas, tetapi Mutlu berkata hanya seorang yang terbabit dalam rampasan itu.

"Semua penumpang dan krew selamat," tambah Mutlu, ketika rakaman televisyen menunjukkan mereka dipindahkan dengan bot.
Pasukan keselamatan yang bertindak atas arahan Menteri Dalam Negeri, Idris Naim Sahin, menaiki feri itu di luar pantai Silivri, di barat Istanbul.

Yildirim berkata, 18 penumpang, lima daripada mereka wanita, empat krew dan dua pelatih berada di dalam feri terbabit, yang sedang dalam pelayaran biasa di utara Laut Marmara apabila ia dirampas.

Datuk Bandar Ismail Karaosmanoglu, memberitahu rangkaian televisyen NTV perampas memberitahu kapten feri terbabit dia cuma mahukan publisiti media.

Yildirim menambah perampas turut meminta makanan dan minyak menerusi kapten kapal itu.

Bahan letupan yang ditemui pada perampas itu akan dianalisis oleh pakar bom. Perkhidmatan bot dan feri antara Istanbul dan Yalova, dibatalkan selepas serangan itu, lapor media.

Pulau Imrali, lokasi Ocalan ditahan, terletak kira-kira 120 kilometer ke barat daya tempat rampasan dilakukan. Media Turki berkata, perampas merancang menuju ke pulau berkenaan.

"Kawalan keselamatan dipertingkatkan sekitar pulau Imrali, lokasi pemimpin PKK, Abdullah Ocalan, yang tidak dibenarkan bertemu peguamnya sejak ditahan selama berbulan-bulan," lapor agensi berita pro-Kurdis, Firat. – AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Raja Bhumibol pengsan akibat banjir

Posted: 12 Nov 2011 07:28 AM PST

Dunia

BANGKOK: Raja Thailand berdepan masalah kesihatan yang menyebabkan beliau tidak sedarkan diri, kata anaknya Puteri Chulaborn yang, mengaitkan kejadian itu dengan tekanan berikutan krisis banjir yang melanda negara berkenaan.

Berita meluas mengenai masalah kesihatan Raja Bhumibol Adulyadej, 83, dianggap Puteri Chulabhorn sebagai tidak menyenangkan ketika Thailand masih belum pulih daripada banjir yang menenggelami kawasan pedalaman dan sebahagian Bangkok.

Lebih 500 penduduk maut manakala kemusnahan dianggarkan bernilai berbilion dolar dan tengah Bangkok masih diancam bencana alam itu. Chulabhorn, anak bongsu Raja Bhumibol kelmarin berkata ketika melawat mangsa banjir di wilayah Nonthaburi di utara Bangkok, bapanya tidak sedarkan diri selepas mengalami pendarahan perut dan tekanan darah rendah mendadak.

Berita rasmi disiarkan kelmarin menyatakan kesihatan Raja Bhumibol kembali pulih selepas menerima rawatan di hospital.

Raja Bhumibol yang ditabalkan pada 1950, dimasukkan ke hospital September 2009 apabila Istana Diraja berkata beliau dirawat kerana demam dan keletihan melampau.

Puteri itu berkata, doktor memberitahu pendarahan mungkin disebabkan kebimbangan berhubung banjir teruk di Thailand.
Chulabhorn tidak memaklumkan bila kejadian berlaku tetapi kenyataan menunjukkan ia terjadi lebih seminggu lalu. Beliau menyatakan mengenai perkara itu pada 7 November lalu walaupun tidak secara terperinci.

Kelmarin beliau berkata ia berlaku pada hari sama raja itu melawat mangsa banjir di Ayutthaya, juga berhampiran Bangkok. Beliau tyurut melawat kuil Buddha di situ pada 4 November lalu.

Raja Bhumibol dilihat sebagai ikon perdamaian dalam masyarakat Thai, dan masalah kesihatan Raja Bhumibol berkebetulan dengan masalah di negara itu. Thailand berdepan krisis sejak rampasan kuasa tentera pada 2006 yang membawa ketidakstabilan politik, berikutan bantahan jalanan ganas.

Kelibat Raja Bhumibol yang jarang kelihatan di khalayak ramai turut menimbulkan persoalan mengenai apa yang akan berlaku selepas kematiannya. Anak lelakinya dan pewaris takhta, Putera Mahkota Vajiralongkorn, tidak mendapat penghormatan dan kemuliaan sama seperti bapanya daripada rakyat. – AP

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan