Khamis, 27 Oktober 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Penduduk tinggalkan Bangkok

Posted: 27 Oct 2011 01:06 PM PDT

Dunia

BANGKOK: Beribu-ribu penduduk Bangkok memenuhi terminal bas, keretapi dan lapangan terbang semalam ketika lalu lintas penuh sesak di pintu keluar ibu negara Thailand itu berikutan banjir besar mula memasuki bandar raya berkenaan.

Air dilaporkan mula memasuki kawasan tengah bandar raya yang menempatkan 12 juta penduduk, menjejaskan Istana Besar Raja Bhumibol Adulyadej selepas air Sungai Chao Phraya melimpah berikutan fenomena air pasang besar tetapi kebanyakan Bangkok dilaporkan masih lagi kering.

Kebanyakan penduduk berjaga-jaga di rumah mereka yang dikelilingi beg pasir atau dalam kebanyakan kes tergesa-gesa membina dinding penghalang konkrit selepas kerajaan mengisytiharkan cuti lima hari bagi 21 wilayah termasuk Bangkok mulai hari ini. "Ia adalah satu krisis kerana kita cuba menentang kuasa alam dan kita tidak akan menang. Bagaimanapun jika kita benarkan ia melimpah penduduk perlu bersiap sedia," kata Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang berhadapan dengan ujian besar dalam bulan kedua pemerintahan beliau.

Orang ramai membiarkan kediaman mereka dan menuju ke kawasan yang bebas dari laluan banjir, terutama di kawasan pantai peranginan Hua Hin, Phuket dan Pattaya.

"Semua destinasi ini dipenuhi dengan rakyat Thailand yang bergerak dari Bangkok," kata timbalan ketua Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand, Sansern Ngaorungsi.

Beliau berkata penerbangan domestik dari lapangan terbang Suvarnabhumi Bangkok, hub udara utama negara itu yang masih beroperasi seperti biasa juga amat sesak.
Keadaan juga sesak ke terminal bas di ibu negara berikutan rakyat Thailand dan rakyat asing cuba melarikan diri manakala stesen keretapi utama Bangkok penuh sesak sementara jalan raya ke utara dan timur turut mengalami kesesakan.

"Saya lihat dalam berita air semakin dekat. Mungkin ia akan melimpah tetapi saya tidak mahu mengambil risiko," kata seorang rakyat Kanada, CLaude Kerringnan, 72, ketika menunggu sebuah bas ke Pattaya.

"Kebanyakan penghuni di bangunan tempat saya tinggal sudah keluar. Di sekitar kawasan ini ada mempunyai beg pasir setinggi 1.2 meter tetapi jika apa yang dikatakan pihak berkuasa betul, air akan berada pada paras lebih tinggi," katanya. – AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Saif tuntut pesawat syarat serah diri

Posted: 27 Oct 2011 01:02 PM PDT

Dunia

DUBAI: Anak lelaki Muammar Gaddafi yang kini dalam pelarian, Saif al-Islam, menuntut sebuah pesawat untuk membawanya keluar dari padang pasir di selatan Libya supaya dapat menyerah diri kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, kata sumber Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) semalam.

Saif, 39, yang ditakuti rakyat Libya ketika pemerintahan bapanya, berada dalam pelarian sejak Gaddafi terbunuh minggu lalu.

"Beliau memberi isyarat mahu menyerah diri, seperti bekas ketua perisiknya, Abdullah al-Senussi," kata pegawai NTC. Kedua-dua mereka menjadi subjek waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Mereka berdepan dakwaan jenayah kemanusiaan berikutan tindakan ketika kebangkitan rakyat Libya Februari lalu.

Percanggahan laporan mengenai kedudukan sebenar Saif tersebar sejak beliau hilang dari kubu kuat Gaddafi di Bani Walid di utara negara itu, dengan sebahagiannya menyatakan beliau dan Senussi berada di Niger.

Pengesahan daripada penyokong Gaddafi yang selamat tidak diperoleh. Seorang peguam antarabangsa yang berkata beliau mewakili salah seorang anggota keluarga itu mempersoal kesahihan kenyataan NTC tetapi enggan memberi komen mengenai laporan penyerahan diri itu.
NTC berkata, Saif tidak meninggalkan Libya dan dilindungi oleh tokoh penting
puak Tuareg di padang pasir, yang pernah diberi bantuan kewangan.

Kawasan tidak berpenghuni yang dekat dengan sempadan Niger dan Algeria memberikan laluan untuk melepaskan diri kepada anggota keluarga ini.
Bagaimanapun, menurut pendakwaan ICC, Saif sukar mendapatkan perlindungan di luar negara berbanding saudara maranya.

Beliau dilaporkan bimbang ketika meninggalkan Bani Walid dan jika menonton video penangkapan bapanya, Saif mungkin memikirkan bagaimana dia akan dilayan jika kekal di Libya.

"Saif bimbang dengan keselamatannya. Beliau percaya menyerah diri adalah pilihan terbaik," kata sumber NTC.

Sumber berkata, Saif mahu pembabitan negara ketiga, kemungkinan Algeria atau Tunisia, dalam urusan penyerahannya kepada The Hague.

"Beliau mahu dihantar dengan pesawat. Beliau mahukan jaminan," kata sumber menerusi telefon dari Libya.

Kedudukan dan kehendak Saifdikesan dengan mengawasi panggilan telefon satelit, kata sumber, bersama-sama maklumat yang terkandung dalam kabel perisikan.
NTC kekurangan kemampuan logistik untuk memintas pelarian di padang pasir.
Mereka meminta sekutu NATO untuk bantuan seterusnya selepas misi Barat berundur berikutan kematian bekas pemimpin Libya itu.

Saif yang berpendidikan di London dilihat penganalisis sebagai pengganti bapanya dan bakal membuat pembaharuan tetapi kenyataan kerasnya mengenai pemberontakan membuatkan ramai pihak berfikir semula.

Kumpulan yang setia dengan Gaddafi di Bani Walid minggu ini memberitahu bagaimana Saif kerap menghubungi bapanya menerusi telefon satelit dan bimbang menjadi sasaran tembakan.

"Beliau bimbang terkena tembakan mortar. Beliau kelihatan keliru," kata seorang pegawai tentera. – Reuters

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan