Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Rusuhan merebak di BritainPolis antirusuhan menyekat sekumpulan perusuh selepas mereka bertindak membakar beberapa buah kereta di Hackney, utara London, semalam. - AFP LONDON 9 Ogos – Kota London yang selama ini dikenali sebagai bandar raya yang aman dan selamat untuk dikunjungi kini bertukar menjadi medan rusuhan, segala-galanya berpunca daripada insiden kecil seorang lelaki maut dalam kejadian berbalas-balas tembakan dengan polis. Gelombang keganasan dan kejadian mencuri yang sudah masuk hari ketiga di seluruh kota ini kini merebak pula ke tiga bandar raya utama lain di Britain, semalam. Campur tangan pihak berkuasa masih gagal membendung kekacauan terburuk di negara ini sejak rusuhan kaum menyebabkan London terbakar pada 1980-an. Sementara itu, seorang lelaki yang cedera akibat terkena tembakan semasa memandu ketika rusuhan di kota ini meninggal dunia di hospital semalam, menjadi korban pertama keganasan di London. Lelaki berusia 26 tahun itu ditemui cedera dengan kesan tembakan lewat Isnin lalu di Croydon, di selatan London di mana perusuh bertindak membakar banyak bangunan di bandar itu, kata pegawai polis Metropolitan London. Polis sedang melancarkan siasatan berhubung pembunuhan itu. Di London, gerombolan pemuda mengganas masuk malam ketiga berturut-turut semalam dengan bertindak membakar bangunan, kenderaan dan tong sampah, mencuri barangan kedai dan membaling botol serta mercun ke arah anggota polis. Polis meminta bantuan tambahan ratusan anggota dan mengambil keputusan luar biasa untuk mengerahkan kereta perisai di beberapa daerah yang paling teruk dilanda keganasan. Namun, mereka masih mengalami kesulitan untuk membendung huru-hara yang merebak di kawasan-kawasan panas di seluruh London, di bandar-bandar raya Birmingham, Bristol dan Liverpool. Pihak berkuasa mengakui insiden-insiden baru keganasan di kawasan utama menyebabkan mereka tidak 'menang tangan'. "Keganasan yang kita saksikan tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana kehidupan orang ramai menjadi kacau-bilau disebabkan perbuatan samseng," kata komander polis, Christine Jones. Perkhidmatan Ambulans London merawat 16 mangsa rusuhan, 15 daripadanya terpaksa dimasukkan ke hospital, manakala polis menangkap 334 orang dan mendakwa 69 lagi atas pelbagai kesalahan. Tidak ada satu faktor yang dilihat menyatukan perusuh, walaupun sesetengahnya mendakwa mereka menentang potongan perbelanjaan kerajaan yang akan mengurangkan bayaran faedah kebajikan dan menghapuskan puluhan ribu jawatan sektor awam sehingga akhir 2015. Sebahagian lagi dipercayai mengambil kesempatan untuk melakukan keganasan. Kekacauan yang merebak itu menjadi amaran bagi penganjur Sukan Olimpik 2012 tentang kemungkinan berlakunya keganasan semasa temasya tersebut yang bakal berlangsung kurang setahun dari sekarang. – Agensi Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Umat Islam di Sweden berpuasa lebih 18 jam Posted: Umat Islam di Sweden berpuasa lebih 18 jamKAHERAH 9 Ogos - Umat Islam di Sweden mengerjakan ibadat puasa bulan Ramadan lebih sukar pada tahun ini ekoran terpaksa berlapar lebih lama, menjangkau 18 jam sehari kerana musim panas di utara Eropah. Presiden Liga Islam Sweden, Omar Mustafa berkata, ekoran isu itu, beberapa imam dan pertubuhan Islam berbeza pendapat tentang bagaimana penganut Islam di utara Eropah perlu berpuasa. Belum ada sebarang keputusan berhubung perkara itu dicapai setakat ini, katanya. "Ia terpulang kepada setiap individu untuk memutuskannya, tetapi itu tidak bermakna anda perlu berpuasa sepanjang hari. "Islam memberikan umatnya banyak pilihan," kata Omar kepada akhbar Sweden, The Local. Bermula 1 Ogos lalu, umat Islam di Eropah mula berpuasa bulan Ramadan yang jatuh pada musim panas di mana waktu siangnya lebih panjang daripada biasa. Sebagai contoh, pada Isnin lalu di bandar Umea di utara Sweden, terbit fajar bermula pada pukul 3.47 pagi waktu tempatan dan matahari terbenam pada pukul 9.41 malam, iaitu hampir 18 jam. Isu itu kini masih dibincangkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (ECFR) yang melibatkan imam-imam di seluruh Eropah. "Isu ini sebenarnya telah lama dibincangkan dan tahun ini kita mengikut pergerakan matahari, tetapi perbincangan masih dijalankan," kata Omar. Bagaimanapun cabaran itu sedikitpun tidak menjejaskan umat Islam di negara ini untuk menjalani ibadat berpuasa, malah menurut rangkaian pasar raya Coop, jualan mereka meningkat terutamanya barangan keperluan sepanjang Ramadan ini. "Kami mendapati jualan buah- buahan, sayur-sayuran, daging halal dan kurma meningkat," kata pegawai media Coop, Louise Stephan. Menurut anggaran agensi separa kerajaan, terdapat kira-kira 200,000 penduduk Islam di Sweden daripada sembilan juta penduduk negara itu. - AGENSI Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan