Rabu, 8 Jun 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Gaddafi saman NATO

Posted: 08 Jun 2011 03:24 PM PDT

Dunia

KEPULAN asap menjulang selepas kediaman Gaddafi di tengah Tripoli dibom jet NATO. - Foto REUTERS

KEPULAN asap menjulang selepas kediaman Gaddafi di tengah Tripoli dibom jet NATO. - Foto REUTERS

Tuduh serangan terhadap Libya jenayah perang

PARIS: Peguam anak perempuan pemimpin Libya Muammar Gaddafi, Aisha al-Gaddafi, semalam menuduh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara melakukan jenayah perang apabila serangan udaranya membunuh empat anggota keluarganya akhir April lalu, dengan memfailkan tuntutan saman di Paris dan Brussels.

Saman itu tidak menamakan sesiapa sebagai defendan tetapi mendakwa serangan bom yang dilakukan Tentera Bersekutu berpejabat di Brussels dan Paris sebagai punca jenayah terbabit.

Pegawai pendakwa raya negeri berkata, pihaknya sedang meneliti sama ada satu kes boleh diwujudkan dan proses ini mungkin mengambil masa beberapa minggu. Tentera Bersekutu diketuai NATO melancarkan serangan udara ke atas Libya di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan matlamat melindungi orang awam daripada tentera Gaddafi.

Serangan udara semalam adalah yang paling hebat dengan lebih 60 bedilan dilancarkan di Tripoli menyebabkan 31 terbunuh.

Salah seorang daripada tiga orang peguam Perancis yang mewakili Aisha, Dominique Atdjian berkata, saman yang dikemukakan di Brussels mendakwa NATO melakukan jenayah perang.

"Dalam saman yang dikemukakan di Paris, Aisha meminta pihak berkuasa kehakiman di Perancis mengenal pasti identiti dan menghukum mereka yang terbabit dalam serangan 30 April sehingga menyebabkan anak bongsu Gaddafi, Seif al-Arab serta tiga cucunya, terbunuh.
Saman itu menyatakan bahawa salah seorang cucu Gaddafi yang terbunuh adalah anak perempuan Aisha.

Wujud laporan bercanggah mengenai sama ada anggota keluarga Gaddafi terbunuh dalam serangan itu. Pegawai Libya berkata, Gaddafi berada di dalam rumah ketika serangan tetapi terselamat.

Sementara itu, Menteri Luar Sepanyol, Trinidad Jimenez berkata, negaranya mengiktiraf Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) di Benghazi sebagai pemerintah Libya yang sah.

"Saya berada di sini (Benghazi) hari ini untuk mengesahkan bahawa NTC adalah pemerintah rakyat Libya yang sah," katanya kepada wartawan.

Negara lain yang sudah berbuat demikian termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Itali, Qatar dan Jordan. – AP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Presiden Yaman melecur, timbalan putus sebelah kaki

Posted: 08 Jun 2011 03:23 PM PDT

Dunia

SANAA: Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh melecur 40 peratus daripada tubuhnya dan mengalami pendarahan otak akibat serangan ke atas istananya minggu lalu.

Keadaan Saleh didedahkan oleh pegawai Amerika Syarikat yang menunjukkan kecederaan yang dialami lebih parah daripada apa yang dilaporkan.

Ketiadaan Saleh yang dirawat di Arab Saudi meningkatkan lagi keganasan di Yaman, apabila tentera kerajaan terus bertempur dengan militan dan puak bersenjata di dua bandar di selatan Sanaa kelmarin. Tentera mendakwa membunuh 30 militan, anggota kumpulan yang mengambil alih bandar Zinjibar minggu lalu.

Tiga hari lalu, Saleh dilaporkan semakin stabil selepas menjalani beberapa pembedahan di Arab Saudi dan dijangka pulang ke negaranya beberapa hari lagi.

Jika Saleh pulang, pertempuran hampir pasti tercetus semula di Sanaa. Jadi, pendedahan pegawai Amerika memberi isyarat Saleh tidak mungkin pulang dalam tempoh terdekat.

Tiga pegawai berkata, Saleh melecur lebih 40 peratus tubuhnya dan mengalami pendarahan otak, manakala pegawai di Yaman memberitahu, Saleh terbakar teruk di bahagian muka, leher dan dada. Satu daripada pembedahan dilakukan bagi membuang serpihan kayu yang tertusuk di dadanya.
Perdana menteri, dua timbalan, speaker dua Dewan Parlimen dan ketua parti memerintah, juga diterbangkan ke Arab Saudi akibat cedera teruk.

Seorang timbalan perdana menteri Rashad al-Alimi dibawa ke negara itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan nasibnya belum diketahui hingga kini.

Seorang lagi timbalan, Sadeq Abu Ras, putus sebelah kaki, manakala gabenor Sanaa yang cedera parah di kaki dan tangan masih koma.

Amerika sebelum ini melahirkan kebimbangan cawangan al-Qaeda di Yaman akan mengambil kesempatan berikutan keadaan huru-hara di negara itu.

Washington dan Arab Saudi berusaha mendesak pegawai Yaman mengambil peluang pemergian Saleh dengan segera memulakan peralihan kuasa dan membentuk kerajaan baru.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Mark Toner memberitahu wartawan di Washington, duta negara itu di Sanaa sudah bercakap dengan Naib Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi, pemangku jawatan presiden bagi menyatakan pandangan Amerika mengenai isu berkenaan.

Toner bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti berapa lama Saleh akan menjalani rawatan di Arab Saudi atau sama ada beliau masih merancang untuk pulang.

Serangan ke atas istana Saleh berlaku selepas dua minggu pertempuran antara tentera kerajaan dan pembangkang daripada kumpulan puak di Sanaa, yang mahu menggulingkan beliau.

Pertempuran menjerumuskan negara itu kepada perang saudara selepas tunjuk perasaan jalanan oleh ratusan ribu penduduk Yaman gagal menggulingkan Saleh yang sudah berkuasa sejak 33 tahun lalu. – AP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan