Utusan Online - Luar Negara |
Posted: NATO bedil kapal perang Libya
BRUSSELS 20 Mei – Pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membedil lapan kapal perang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi malam tadi di pelabuhan Tripoli, Al Khums dan Sirte, lapor pasukan tentera bersekutu itu dalam satu kenyataan. "NATO dan aset udara tentera bersekutu malam tadi melancarkan serangan udara ke atas tentera Gaddafi di pelabuhan Tripoli, Al Khums dan Sirte. "Kami berjaya membedil lapan kapal perang pemimpin Libya itu," menurut kenyataan tersebut. Timbalan Komander Operasi Perlindungan Bersatu, Laksamana Muda Russell Harding berkata, NATO hanya melancarkan serangan udara ke atas tentera Libya. "Mengambil kira penggunaan aset tentera laut oleh Libya, NATO tidak mempunyai pilihan kecuali mengambil langkah tegas untuk melindungi penduduk awam dan tentera laut NATO di laut," katanya. Beberapa letupan turut kedengaran di ibu negara Libya, Tripoli awal hari ini beberapa jam selepas serangan udara NATO dilancarkan di pelabuhan yang menyaksikan sebuah kapal terbakar. Bagaimanapun, wartawan AFP tidak dapat memastikan sama ada yang terbakar itu adalah kapal tentera atau kapal biasa. NATO dalam kenyataan itu menjelaskan, pihaknya telah menyaksikan penggunaan meluas periuk api serta kekerasan oleh tentera yang setia kepada Gaddafi. "Ia secara tidak langsung menjejaskan aliran masuk bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan dan meletakkan NATO dalam risiko. Taktik yang digunakan tentera Gaddafi ini juga menunjukkan niat sebenar mereka untuk menyerang tentera NATO," jelas kenyataan tersebut. – AFP | ||
Posted: Gempa kuat melanda Turki
ANKARA 20 Mei – Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter menggegarkan barat Turki, meruntuhkan beberapa bangunan lama dan sebuah masjid serta mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga orang maut serta mencederakan hampir 100 yang lain, kata pihak berkuasa. Menurut kenyataan Pusat Cerap Kandili yang berpusat di Istanbul, gempa bumi itu berlaku di wilayah Kutahya pada pukul 11.15 malam semalam (4.15 pagi hari ini waktu Malaysia) dan di tengah-tengah bandar Simav. Menteri Alam Sekitar, Veysey Eroglu berkata, dua orang maut termasuk seorang daripadanya yang melompat keluar dari tingkap akibat panik di Simav. Katanya, seorang wanita tua turut maut selepas mengalami serangan jantung di sebuah lagi bandar, Inegol. Tambahnya, kira-kira 79 orang tercedera, kebanyakannya terkena pecahan kaca atau melompat daripada beranda serta mengalami serangan jantung akibat panik dengan gegaran, dibawa ke hospital di Simav. Jelasnya, seorang mangsa mengalami kecederaan serius dan 15 yang lain dirawat di hospital wilayah berjiran yang terletak di Usak. Pengarah Pusat Cerap Kandili, Mustafa Erdik berkata, gempa bumi tersebut disusuli dengan 50 gegaran, dan gegaran paling kuat bermagnitud 4.6 menggegarkan Kutahya. Dia memberi amaran lebih banyak gegaran akan menyusul dalam beberapa hari akan datang. Di Jepun, gempa bumi berukuran magnitud 5.8 menggegarkan Tokyo dan beberapa kawasan lain di timur negara ini hari ini, kata agensi meteorologi. – Agensi |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan