Rabu, 4 Mei 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Ramai enggan percaya Osama mati

Posted: 04 May 2011 02:17 PM PDT

Dunia

JURUTEKNIK agensi berita menganalisis imej Osama selepas dibunuh yang diberi kepada media antarabangsa. - Foto AFP

JURUTEKNIK agensi berita menganalisis imej Osama selepas dibunuh yang diberi kepada media antarabangsa. - Foto AFP

Teori konspirasi pengasas al-Qaeda masih hidup ungguli carta berita internet

NEW YORK: Teori konspirasi bahawa Osama bin Laden masih hidup mula tersebar sebaik saja Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengumumkan kejayaan membunuh pemimpin al-Qaeda itu.

Malah, ada keluarga mangsa serangan 11 September 2001 (9/11) di Amerika, turut mempersoalkannya.

Kerajaan Amerika memberitahu, Osama ditembak di kepalanya apabila pasukan elit tentera laut SEAL menyerbu laman rumah Osama di Abbotabad, Pakistan, sejak diburu sedekad lalu sebagai orang paling dikehendaki di dunia. Tetapi, pengebumian di Laut Arab dalam sebuah beg mayat dan keengganan pihak berkuasa menyiarkan gambar mayatnya mengundang kecurigaan.

Satu yang kerap diutarakan ialah Osama sebenarnya adalah anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang sudah mati beberapa tahun lalu, tokoh rekaan yang digunakan untuk mewajarkan perang Amerika di Afghanistan.

Pandangan itu dikongsi bersama aktivis anti perang Amerika, Cindy Sheehan dan orang lain dari Indiana hingga ke Kabul.

"Jika kamu percaya kematian terkini OBL (Osama bin Laden), kamu bodoh," tulis Sheehan dalam halaman Facebook.
Sheehan, yang membina khemah sebagai protes anti perang dekat kediaman Presiden George W. Bush di Texas pada 2005 mempertikaikan fakta diberikan kerajaan.

Beliau mempersoalkan bagaimana Amerika boleh dapat keputusan DNA Osama begitu cepat, mengapa pengebumian dilakukan dengan tergesa-gesa dan mengapa video mayat tidak disiarkan.

Sheehan juga merujuk kepada kenyataan bekas Presiden Pakistan, Benazir Bhutto yang mendakwa pada 2007 bahawa Osama sudah mati. Dia tidak keseorangan mempersoalkan perkara itu.

Laman internet Yahoo juga mendapati pencarian bagi 'Osama bin Laden not dead,' 'Osama bin Laden still alive' dan 'bin laden not dead' mengungguli carta berita pada Isnin lalu.

Ramai yang memikirkan Osama masih hidup, kata Yahoo, sambil menambah bahawa pencarian 'bin laden conspiracy' adalah paling banyak di kawasan Oregon, Wisconsin, Carolina Utara, Indiana dan New Jersey.

Di Iran, agensi berita separuh rasmi Mehr mengisytiharkan: "Kematian Osama adalah satu penipuan."

Berita televisyen Iran menyatakan, mengebumikan mayat di laut menambahkan lagi misteri (kematian Osama).

Media Iran juga berpendapat, mitos Osama digunakan untuk mewajarkan pendudukan Amerika di negara jiran, Afghanistan.

Hampir 3,000 orang mati apabila pesawat yang ditawan pengikut Osama bin Laden terbang merempuh Pusat Dagangan Dunia (WTC), Pentagon dan sebuah padang di Pennsylvania pada 11 September 2001, mewujudkan satu buruan terhadap perancang serangan terbabit.

Taliban di Afghanistan dalam satu kenyataan disiarkan melalui halaman web mereka berkata bahawa perbincangan mengenai kematian Osama adalah tidak matang dan Amerika Syarikat tidak memberikan bukti yang meyakinkan.

Sesetengah penduduk Amerika Syarikat masih percayakan kepada teori konspirasi. Siapa sebenarnya menembak Presiden John F. Kennedy? Elvis Presley masih hidup! Adakah UFO mendarat di Roswell, New Mexico? Adakah 11 September direka oleh kepentingan Amerika untuk mewajarkan perang mereka di Afghanistan dan Iraq?

Di Ground Zero, New York lokasi dua menara berkembar pernah berdiri, kebanyakan masih lagi mempertikaikan adalah kematian Osama sesuatu yang baik dan benar.

"Saya benar-benar harap kita sudah hapuskan beliau. Mereka kebumikannya di laut. Siapa tahu apa sebenarnya berlaku," kata pengurus projek, Sal Leto, 59. – Reuters


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penduduk dunia cecah 10.1 bilion pada 2100

Posted: 04 May 2011 02:16 PM PDT

Dunia

Negara miskin catat kelahiran tertinggi

NEW YORK: Bilangan penduduk dunia dijangka bertambah daripada hampir 6.9 bilion pada masa ini kepada 9.3 bilion menjelang 2050 dan 10.1 bilion pada 2100, kata pakar populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini semalam.

Ramalan berkenaan digunakan oleh PBB dan kebanyakan agensinya untuk program dana dan perancangan bagi masalah membabitkan perubahan iklim hingga kematian ketika kelahiran.

PBB dalam satu laporan mengenai aliran dunia yang disiarkan kelmarin berkata, bahawa populasi penduduk dijangka secara rasmi bertambah 6.9 bilion pada 1 Julai depan dan tujuh bilion pada 31 Oktober. Kebanyakan punca utama peningkatan itu dijangka membabitkan negara yang mencatat kadar kesuburan tertinggi di dunia terutama di sub Sahara Afrika.

Pengarah Bahagian Populasi PBB, Hania Zlotnik, berkata bahawa ramalan itu bergantung kepada peningkatan kadar kesuburan.

Katanya, penduduk di kebanyakan negara bertambah tua berikutan kemajuan perubatan yang membenarkan manusia untuk hidup lebih lama dan membolehkan keluarga memilih untuk mendapatkan lebih ramai anak.

"Dunia tidak lumpuh disebabkan pertambahan bilangan penduduk yang ramai, tetapi kebanyakan peningkatan itu membabitkan negara miskin.
"Jika mereka tidak mencapai tahap kesuburan yang rendah kami menjangkakan negara berkenaan mungkin menjadi punca masalah serius," kata Zlotnick.

"Angka penduduk dunia seramai tujuh bilion memberi cabaran dan juga satu peluang," kata pengarah eksekutif Dana Populasi PBB, Dr Babatunde Osotimehin yang menyokong penggunaan data populasi bagi program anti kemiskinan dan merangka dasar.

"Secara global, penduduk hidup lebih lama, semakin sihat dan memilih keluarga lebih kecil," kata Osotomehim.

"Tetapi, membanteras kemiskinan dan mencari jalan untuk memastikan kesihatan penduduk hari ini, begitu juga generasi seterusnya akan memerlukan cara pemikiran baru dan kerjasama global berterusan.

"Apabila kita mencapai angka penduduk sebesar ini, adalah penting untuk memikirkan mengenai individu di dalamnya.

"Setiap satu akan mempunyai pilihan yang menentukan sama ada tujuh bilion menjadi sembilan bilion atau lebih 11 bilion menjelang 2050," kata presiden kumpulan, Suzanne Ehlers. – AP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan