Kosmo Online - Dunia |
- Lebih 1,000 orang dibunuh tentera Gaddafi
- Robot kesan radiasi tinggi di dalam loji nuklear
- 60 jet pejuang Britain dileraikan
Lebih 1,000 orang dibunuh tentera Gaddafi Posted: Lebih 1,000 orang dibunuh tentera GaddafiSEORANG pemberontak memakai topi keledar melepaskan tembakan dengan menggunakan mesingan di tengah Misrata, Libya semalam. MISRATA, Libya - Dianggarkan 1,000 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera di bandar Misrata apabila tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menyerang lokasi itu dengan menggunakan kereta perisai dan penembak curi sejak enam minggu lalu, kata seorang doktor semalam. "Kira-kira 80 peratus kematian melibatkan orang awam," kata Dr. Khaled Abu Falgha yang bertindak selaku pentadbir di sebuah hospital utama di Misrata. Beberapa kakitangan perubatan menyaksikan kenaikan mendadak jumlah mangsa yang dibawa ke hospital pada minggu lalu. Mereka mengalami kesan tembakan di kepala dan leher yang menjadi sasaran utama penembak tepat. Sementara itu, enam lagi katil di unit rawatan rapi menempatkan sekumpulan lelaki yang ditembak oleh penembak curi yang ditugaskan ke seluruh bandar oleh tentera yang setia kepada Gaddafi. Khaled memberitahu semua 60 buah katil di hospital itu telah digunakan dengan sepenuhnya. Mereka yang cedera ringan dihantar pulang ke rumah selepas mendapat rawatan. Pada minggu lalu, ramai yang cedera ekoran penggunaan bom berangkai dan memerlukan beberapa anggota badan si mangsa dipotong. Doktor itu menunjukkan contoh-contoh senjata yang disimpan tentera Gaddafi di pejabatnya. Bom berangkai yang menyebarkan bom-bom kecil telah diharamkan oleh banyak negara. Setakat semalam Gaddafi masih belum mahu berundur sebaliknya masih bertegas mahu berkuasa walaupun setelah empat dekad beliau memerintah. Pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Gaddafi bermula sejak 15 Februari lalu ekoran perasaan tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinannya. - Agensi Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Robot kesan radiasi tinggi di dalam loji nuklear Posted: Robot kesan radiasi tinggi di dalam loji nuklear
TOKYO - Bacaan data yang diperoleh daripada robot-robot yang memasuki dua bangunan di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi buat pertama kali semalam mendapati persekitarannya masih mengandungi kadar radioaktif yang tinggi untuk dimasuki oleh para pekerja. Para pegawai nuklear memberitahu data radiasi di kolam Unit 1 dan Unit 3 di loji nuklear tersebut diperoleh oleh dua buah robot buatan Amerika Syarikat (AS) yang diberi nama Packbots. Packbots mengambil data mengenai suhu, tekanan dan tahap radioaktif. "Lebih banyak data perlu diambil dan tahap radioaktif perlu dikurangkan lebih banyak sebelum para pekerja dibenarkan masuk," jelas Hidehiko Nishiyama dari Agensi Nuklear dan Keselamatan Industri Jepun. Maklumat mengenai radiasi itu dilihat tidak akan menjejaskan matlamat untuk menutup loji tersebut dalam tempoh enam hingga sembilan bulan seperti yang diumumkan oleh pengendali loji berkenaan, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO). "Kami sudah menjangkakan tahap radiasi yang tinggi di dalam bangunan reaktor. Namun begitu, saya pasti TEPCO dan pakar-pakar lain mengambil kira angka-angka ini apabila mereka merangka pelan (menutup loji tersebut)," kata Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano. Pegawai TEPCO, Takeshi Makigami menyatakan robot-robot itu akan merintis jalan buat para pekerja untuk memasuki semula ke dalam bangunan berkenaan. "Apa yang boleh dilakukan oleh robot adalah terhad. Justeru para pekerja perlu masuk ke dalam bangunan itu," kata Makigami. Loji itu mengalami kebocoran nuklear selepas ia dilanda ombak tsunami pada 11 Mac lalu akibat gempa bumi kuat di timur laut Jepun. - Agensi Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
60 jet pejuang Britain dileraikan Posted: 60 jet pejuang Britain dileraikanBEBERAPA jet Harrier berada di dalam sebuah hangar di Britain. STAMFORD - Sebanyak 60 jet pejuang Harrier yang sepatutnya digunakan untuk menyerang tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi kini menunggu untuk dileraikan di beberapa buah hangar di Britain, lapor akhbar The Sun semalam. Jet pejuang berkenaan yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak seperti helikopter disimpan di beberapa hangar milik Tentera Udara Diraja Britain (RAF) dekat sini. Semua jet pejuang itu masih berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan dalam misi ketenteraan. Namun, jet-jet tersebut akan dileraikan dalam langkah penstrukturan semula RAF bagi menjimatkan kos penyelengaraan berjumlah £750 juta (RM3.6 bilion). Langkah tersebut dianggap merugikan Britain yang membelanjakan £30 juta (RM147.6 juta) seminggu untuk melancarkan serangan udara ke atas rejim Gaddafi di Libya. Britain menyertai Amerika Syarikat dan Perancis dalam melaksanakan zon larangan terbang di Libya bagi mengelak Gaddafi melakukan serangan ke atas orang awam. Jet Harrier boleh melakukan misi terbabit dari sebuah kapal induk dengan kos cuma £40 juta (RM196.8 juta) setahun. - Agensi Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan