Utusan Online - Luar Negara |
Himpunan jutaan rakyat Mesir esok Posted: Himpunan jutaan rakyat Mesir esok
KAHERAH 31 Jan. - Penunjuk perasaan Mesir hari ini menyeru supaya rakyat negara ini melancarkan mogok dan mengadakan perhimpunan berjuta-juta orang di Kaherah esok bagi meningkatkan gesaan menuntut perletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak. Seorang penunjuk perasaan yang juga penganjur, Eid Mohammed berkata, mereka memutuskan untuk melancarkan mogok umum dan perhimpunan seramai berjuta-juta orang esok. Pelancaran mogok itu buat pertama kalinya diseru oleh pekerja di bandar Suez lewat semalam. "Kami akan menyertai pekerja Suez dan memulakan mogok umum sehingga permintaan kami ditunaikan," kata seorang lagi penganjur protes, Mohammed Waked. Di Dataran Tahrir, Kaherah, beratus-ratus penunjuk perasaan berkampung sepanjang malam tadi dalam usaha untuk mengekalkan momentum demonstrasi besar-besaran di negara ini dalam tempoh tiga dekad. Mereka bertegas untuk tidak berganjak sehingga Mubarak meletak jawatan. Sementara itu, Mohamed ElBaradei lewat semalam memberitahu sejumlah besar penunjuk perasaan di Dataran Tahrir bahawa mereka kini sedang menuju ke era baru. "Kita adalah di pihak yang benar, kekuatan kita ialah pada jumlah yang menyertai protes ini. Saya minta anda bersabar kerana perubahan akan tiba. "Kita perlu berkorban jiwa dan darah untuk negara," kata beliau sambil disambut oleh penunjuk perasaan dengan berteriak 'Rakyat mahu gulingkan Presiden'. - AFP | ||
ElBaradei: Hosni Mubarak mesti letak jawatan sekarang Posted: ElBaradei: Hosni Mubarak mesti letak jawatan sekarangKAHERAH 31 Jan. - Aktivis demokrasi Mesir, Mohamed ElBaradei mendesak Presiden, Hosni Mubarak untuk meletakkan jawatannya ketika bercakap kepada penunjuk perasaan yang melanggar perintah darurat pada malam ketiga berturut-turut di Kaherah. Pesawat pejuang terbang rendah manakala polis kembali ditempatkan di jalan-jalan utama di ibu negara itu bagi menunjukkan kawalan oleh pihak berkuasa. Kehadiran pemenang Anugerah Nobel Keamanan itu di Dataran Tahrir (Kemerdekaan) semalam, menggariskan usaha pergerakan penunjuk perasaan secara besar-besaran untuk menggulingkan pemimpin negara itu. Demonstrasi yang kini memasuki hari keenam dan berpusat di dataran berkenaan di mana lebih 10,000 penunjuk perasaan berkumpul semalam, walaupun perintah darurat berkuatkuasa pukul 4 petang waktu tempatan. Mereka melaungkan ''Berambus, berambus, berambus!. ''Anda adalah pemilik revolusi ini. Anda adalah masa depan,'' kata ElBaradei kepada penunjuk perasaan. Menurutnya, permintaan asas mereka adalah penggulingan rejim dan permulaan kerajaan baru di Mesir di mana rakyatnya hidup dengan kebebasan, jujur dan bermaruah. Pemimpin pembangkang Mesir itu menambah, beliau juga mungkin bertanding pada pilihan raya Presiden sekiranya perubahan Perlembagaan dilakukan. Dalam pada itu, tanda-tanda menunjukkan kedudukan rejim Mubarak selama tiga dekad mula goyah apabila sekutu utamanya, Amerika Syarikat meminta satu perubahan ke arah demokrasi. Ditanya jika Washington menyokong Mubarak sebagai pemimpin Mesir, Setiausaha Negara, Hillary Rodham Clinton mengelak memberi jawapan tepat. ''Kami sudah jelaskan bahawa kami mahu satu transisi ke arah demokrasi dan kami mahu melihat langkah-langkah diambil yang akan menyaksikan pelaksanaannya,'' katanya kepada Fox News. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan