Berita Harian: Dunia |
Empat negara musibah banjir, tanah runtuh Posted: 13 Jan 2011 11:21 AM PST Dunia Brazil catat 369 maut, selain Australia, Sri Lanka, FilipinaRIO DE JANEIRO: Banjir dan tanah runtuh di satu kawasan berbukit dekat Rio de Janeiro menyebabkan 356 kematian manakala 13 lagi terbunuh awal minggu ini di negeri Sao Paulo menjadikan angka kematian bencana alam di selatan Brazil mencapai 361, semalam. Lereng bukit dan tebing sungai runtuh di wilayah Serrana di utara Rio de Janeiro selepas hujan berterusan 24 jam menyebabkan banyak rumah musnah dan ramai penduduk mati ketika tidur. Bandar paling teruk dilanda bencana terbaru itu ialah Teresopolis, hampir 150 orang terbunuh. Beratus-ratus anggota keluarga bersesak dalam rumah mayat bagi menanti giliran mengecam mangsa. Banyak mayat diletak hingga ke tepi jalan dan balai polis ditutup dengan selimut.Anggota penyelamat menggunakan jentera berat, penyodok dan tangan untuk mencari mangsa. Lebih 50 masih hilang di satu daerah di Teresopolis. Di bandar berdekatan, anggota bomba menyelamatkan seorang lelaki berusia 25 tahun yang memegang anak lelakinya berusia enam bulan selama 15 jam sebelum ditarik keluar hidup-hidup. Isteri dan ibu mentuanya dikhuatiri mati. Presiden Brazil, Dilma Rousseff menandatangani perintah khas memperuntukkan 780 juta reais (RM1.38 bilion) bagi membantu kawasan dilanda bencana. Sebahagian besar ibu negeri Queensland dilaporkan seperti tasik berlumpur selepas air Sungai Brisbane melimpah menyebabkan air menenggelami 12,000 kediaman di bandar dua juta penduduk selain menyebabkan 118,000 bangunan terputus bekalan elektrik. Malah, Brisbane disifatkan seperti Venice selepas 35 kawasan tenggelam menyebabkan penduduk menggunakan bot selain dikatakan lebih teruk daripada New Orleans selepas dilanda taufan Katrina. Di COLOMBO, 23 orang maut dihanyutkan banjir dan lumpur runtuh sejak hujan lebat berterusan tiga hari, selepas tiga orang lagi terbunuh dengan sejuta penduduk terjejas dan 270,000 lagi kehilangan tempat tinggal. Banyak perkampungan di Wilayah Timur ditenggelami air dan terputus hubungan. Sembilan kampung lagi di Muttur di timur Trincomalee juga hanya dapat dimasuki menerusi jalan laut, kata pegawai. Beribu-ribu penduduk memerlukan makanan dan perubatan. Di MANILA, hujan lebat berterusan membawa banjir dan tanah runtuh di tengah dan selatan Filipina membunuh 42 orang dan merosakkan kawasan tani dengan kerugian ditaksiarkan lebih 1 bilion peso (RM69 juta). Banjir dan tanah runtuh berlaku selepas hujan lebat berterusan dua minggu lewat Disember hingga awal Januari serta turut menyebabkan 400,000 penduduk kehilangan tempat tinggal. – Agensi |
Blogger 'Dubai Sally' wakil amah di rantau Teluk Posted: 13 Jan 2011 11:21 AM PST Dunia DUBAI: Seorang pembantu rumah Filipina menarik perhatian apabila memiliki laman blog sendiri dinamakan 'Dubai Sally' yang menjadi suara ribuan pembantu rumah di Emiriah Arab Bersatu (UAE).Sally bekerja dengan pasangan yang mempunyai dua anak yang sedang bersekolah menceritakan tugasan hariannya daripada menjaga anak itu, membersihkan rumah, mencuri masa untuk bergosip dengan pembantu rumah jiran, keseronokan belajar komputer, kerinduan kepada negaranya, teman baik beliau Lilibeth hingga kepada rancangan mencari wang lebih. Blog itu dimulakan dengan cerita dirinya. "Nama saya Sally. Saya tinggal sebagai pembantu rumah di Dubai sejak beberapa tahun. Saya menggunakan komputer majikan saya ketika beliau tiada di rumah. Rakan saya menunjukkan bagaimana untuk menggunakan blog. Majikan saya tidak tahu saya menulis mengenai kerja dan kehidupan harian saya. Tolong jangan maklumkan kepada beliau." Atas permintaan beliau juga, identiti Sally masih lagi tidak diketahui. Idea untuk menulis blog bermula dari satu perbualan beliau dengan majikannya."Satu hari, majikan saya berkata: Sally kehidupan awak amat menarik. Awak perlu tulis sebuah buku. Saya beritahu kepada Lilibeth dan dia tunjuk bagaimana membina blog. Katanya, 'Siapa tahu, satu hari nanti ia menjadi sebuah buku," kata Sally. Kisah Sally adalah berkisar apa yang berlaku di sekelilingnya terutama majikannya, diikuti anak majikan, Rayan berusia lima tahun dan Sara, 12. Ia turut memperkenalkan Lilibeth yang mengajarnya menggunakan komputer; Maria, juga amah cuba menjual komputer lamanya. – Agensi |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan