Isnin, 8 Julai 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


5 terperangkap atas pokok

Posted: 07 Jul 2013 09:12 AM PDT

Banda Aceh: Lima lelaki terperangkap di atas pokok sejak tiga hari lalu selepas dikejar oleh beberapa ekor harimau Sumatera.

Seorang rakan mereka mati dibaham haiwan berkenaan.


Polis berkata, lima harimau masih berada di bawah pokok itu selepas mengejar lelaki berkenaan Khamis lalu.

Kejadian berlaku selepas lelaki itu yang mencari kayu gaharu di Taman Negara Hutan Leuser di puncak Sungai Rengas, Tenggulun, kawasan Aceh Tamiang, membunuh seekor anak harimau secara tidak sengaja.


Konflik antara manusia dengan haiwan semakin menjadi-jadi di Indonesia. Tetapi, dalam kebanyakan kes, ia berakhir dengan padah menimpa haiwan terbabit.


Ketua Polis Tamiang, Dicky Sondani berkata, selain mencari gaharu, lelaki berkenaan turut memasang perangkap untuk menangkap rusa tetapi secara tidak sengaja memerangkap anak harimau berkenaan.

Foto

HARIMAU Sumatera.

Harimau dewasa itu menyerang keenam-enam lelaki terbabit dan membaham seorang daripada mereka yang dikenali sebagai David. Lima yang lain - Adi Susilo, Mujiono, Budi Setiawan, Suriadi dan Awaludin - menyelamatkan diri dengan memanjat pokok, kata Dicky.


Menurutnya, 30 orang terdiri daripada polis dan tentera sudah melancarkan gerakan menyelamat mangsa kelmarin selepas dia dan tiga anggotanya terpaksa berpatah balik setelah melihat harimau itu.

Dicky juga berkata, usaha untuk mendapatkan khidmat pawang harimau sehingga semalam masih belum berhasil.


Anggota penyelamat mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari untuk tiba di kawasan terbabit. Lebih buruk lagi, mereka juga terpaksa berdepan dengan harimau dan binatang liar lain, termasuk gajah.


Harimau Sumatera adalah harimau paling kecil di dunia. Hanya 400 hingga 500 ekor dipercayai masih hidup.


"Jika harimau itu masih berada di bawah pokok, kami mungkin terpaksa menembak mereka, paling tidak dengan ubat pelali, untuk menyelamatkan kelima-lima mangsa," kata Dicky. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Sengaja mahu dijangkiti HIV

Posted: 07 Jul 2013 09:08 AM PDT

London: Sejenis 'kegilaan' baru dilaporkan semakin berkembang di Barat apabila sesetengah lelaki sengaja menjalani hidup songsang dengan harapan dapat dijangkiti virus HIV.

Aktiviti itu - digelar sebagai memburu pepijat (bug chasing) - tercetus di AS pada 1999 dalam usaha mereka mendapat kepuasan seksual.


Seorang daripada mereka yang aktif dalam aktiviti itu berkata, ada beratus-ratus lelaki di Britain mendedahkan diri masing-masing di forum dalam talian, Facebook dan Twitter.

Kebanyakan mereka kemudian bertemu dan cuba menyebarkan virus berbahaya itu yang mampu membawa maut kerana menyerang sistem imunisasi badan.


Sesetengah pemburu pepijat itu mendakwa virus HIV menyebabkan kualiti hidup mereka meningkat kerana pengambilan ubat-ubatan yang terpaksa diambil. Kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Nick, 30, dia berasa semakin bertenaga dan sihat akibat pengambilan ubat berkenaan. "Saya menjalani ujian hati setiap tiga bulan, paras kolesterol pula dipantau dari semasa ke semasa dan ada banyak pemeriksaan kesihatan yang disediakan.


"Jika ada sebarang masalah, saya dapat mengesannya dengan cepat.

"Malah, semua perkhidmatan itu diberikan percuma oleh hospital kerajaan," katanya ketika ditemui. Tahun lalu, 73,659 orang dirawat kerana HIV di Britain dan 43 peratus daripada mereka adalah pengamal homoseksual.


Jumlah itu menunjukkan pertambahan 58 peratus berbanding 10 tahun lalu.

Pada 2012 juga, perkhidmatan kesihatan Britain membelanjakan wang berjumlah £840 juta (RM3,99 bilion) sebagai kos rawatan HIV. Sementara itu, sukarelawan Yayasan Aids Elton John, Simon Prytherch berkata, amalan mengejar pepijat itu amat menakutkan dan sangat tidak bertanggungjawab. "Apa yang kita tahu, semakin banyak rawatan gagal dan berlaku kemerosotan tahap kesihatan yang ketara," katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Tiada ulasan:

Catat Ulasan