Isnin, 15 Julai 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bintang Glee mati dalam bilik hotel

Posted: 14 Jul 2013 09:07 AM PDT

Vancouver: Bintang siri televisyen Glee, Cory Monteith ditemui mati dalam bilik hotel disewanya di Kanada semalam.

Aktor bermasalah yang terkenal sebagai Finn Hudson dan menjadi kegilaan remaja dalam siri popular itu baru-baru ini menghabiskan masa di klinik pemulihan kerana ketagihan dadah.


Pekerja di Hotel Pacific Rim di Vancouver menemui mayat pelakon itu yang ketika tengah hari selepas dia gagal mendaftar keluar seperti sepatutnya dari tingkat 21 hotel berkenaan.

Polis berkata, Monteith, 31, keluar bersama kawan-kawannya pada malam kelmarin.


Timbalan Ketua Polis Doug Lepard berkata, tiada tanda-tanda menunjukkan berlakunya perbuatan khianat. Bedah siasat dijangka dilakukan hari ini.


Berita kematian Monteith mengejutkan ramai bintang Glee yang lain dan sejurus selepas kematiannya tersebar, bertalu-talu ucapan takziah disebarkan di Twitter.

Foto

MONTEITH ditemui mati di Hotel Pacific River, Vancouver Kanada, semalam.


Bintang Glee Dot-Marie Jones yang melakonkan watak jurulatih bola sepak Shannon Beiste berkata, dalam Twitter: "Tiada apa dapat dikatakan, hati saya hancur!" Dia juga menyifatkan Monteith sebagai "kawan yang baik" dan "lelaki hebat".


Bintang sitcom New Girl, Zooey Deschanel turut menyuarakan komennya di Twitter: "Satu kehilangan yang tragik bagi seorang lelaki muda yang berbakat. Doa dan ingatan kami buat keluarga dan individu tersayangnya." Stesen televisyen 20th Century Fox yang menerbitkan Glee juga memberi ucapan penghormatan kepada aktor itu dengan ucapan "bakat luar biasa dan individu luar biasa. Dia teman sekerja yang ceria dan kami semua pasti akan merinduinya."

Pengurus Monteith dalam satu kenyataan mengatakan, "Kami semua terkejut dan bersedih dengan kehilangan tragik ini." Pada April lalu, Monteith mengakui dia menjalani rawatan "ketagihan dadah" dan meminta ruang privasi ketika proses pemulihan. Sementara itu, pelakon gandingannya dalan Glee yang juga teman wanitanya, Lea Michele memberitahu sebuah majalah bahawa dia menyayangi, menyokong Monteith dan bangga kerana aktor itu mendapatkan rawatan bagi ketagihannya.

Ia bukan kali pertama Monteith berada di pusat pemulihan. Dia mula menerima rawatan ketika berusia 19 tahun dan pernah bercakap mengenai usahanya untuk mengatasi masalah ketagihan dan mengatakan dia mempunyai masalah yang serius dan mengambil "apa saja". - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

RM10 juta tutup mulut 'skandal'

Posted: 14 Jul 2013 08:59 AM PDT

London: Seorang bintang rock Britain kini bergelut untuk menyelamatkan rumah tangganya selepas seorang wanita menuntut dia membayar pampasan dan menyara anak luar nikah mereka.

Dalam pendedahan media semalam, artis terbabit diminta membayar £2 juta (RM10 juta) jika tidak mahu rahsia mereka didedahkan kepada isterinya. Wanita itu juga menuntut artis terbabit menyara anak mereka sehingga dia berusia 18 tahun.


Wanita terbabit dilaporkan berkata: "Bayar segera atau saya akan beritahu isteri kamu." Anak luar nikah itu dipercayai dilahirkan selepas artis terbabit mengadakan hubungan seks dengan wanita berkenaan selepas bertemu di AS.

Hubungan itu kemudian berakhir di situ saja. Sumber berkata, penyanyi rock itu kini terdesak merahsiakan kewujudan anak perempuan luar nikahnya itu daripada pengetahuan isterinya. "Penyanyi itu bertanggungjawab, bukan saja secara moral, tetapi menurut undang-undang.


"Kini semuanya terserah kepada penyanyi terbabit kerana maklumat yang selama ini dirahsiakannya ada di tangan wanita berkenaan," katanya. Sumber itu berkata, wanita berusia 30-an itu amat pasti siapa bapa kepada anak yang dilahirkannya.


"Dia bukan wanita murahan, malah dia seorang profesional berjaya," katanya. Penyanyi itu - anggota sebuah kumpulan rock yang berjaya mempunyai keluarga dan sentiasa dikenali sebagai bapa bertanggungjawab. Dianggap seorang daripada artis paling popular, dia juga melakar kejayaan besar di peringkat antarabangsa. Setakat ini dia tidak memaklumkan mengenai anak luar nikah itu kepada isterinya, tetapi menghantar sejumlah peguam untuk berunding dengan wanita berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan