Isnin, 5 November 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Fabregas kebas isteri jutawan

Posted: 04 Nov 2012 12:55 PM PST

LONDON: Seorang jutawan semalam menceritakan bagaimana dia dan isterinya berusaha untuk mendapatkan anak ketiga apabila mendapati wanita itu bermain kayu tiga dengan bintang bola sepak, Cesc Fabregas.

Jutawan hartanah, Elie Taktouk mengetahui kecurangan isterinya apabila melihat gambar bekas kapten Arsenal itu bercuti dengan 'wanita misteri berambut perang' yang menurutnya ialah isterinya, Daniella Semaan, 38, dalam akhbar. Elie yang juga 38, kini sudah bercerai dan terpaksa melihat Fabregas, bintang bola sepak Sepanyol berusia 25 tahun menjadi bapa tiri kepada anak lelakinya berumur lapan tahun dan anak perempuan, 11.


"Saya berada dalam keadaan terkejut selama beberapa bulan tetapi saya tidak mahu isteri saya lagi. Saya rasa begitu meluat sebaik melihat gambar itu. Saya terus membuang segala perasaan terhadapnya. "Kami berusaha mendapatkan anak ketiga apabila dia berlaku curang. "Saya tidak terkejut dengan sikap Fabregas. Dia baru berusia 25 tahun dan bodoh. Isteri saya mengejarnya dan akan meninggalkannya sebaik saja duit dan popularitinya berakhir. Dia bukan David Beckham," kata Elie.

Ahli perniagaan itu yang menetap di Knightsbridge, London Barat, menceritakan bagaimana dia mengahwini Daniella pada 1998 di negara asal mereka, Lubnan.


Dia menemui gambar isterinya berbikini, memeluk Fabregas di tepi kolam renang dan berfoya-foya di atas jet ski di Nice, selatan Perancis.


Fabregas yang meninggalkan Arsenal untuk bermain dengan Barcelona baru saja berpisah dengan teman wanitanya, Carla Garcia, ketika itu.

Elie yang mendapat hak bersama untuk menjaga anaknya berkata: "Fabregas mengadakan hubungan sulit dengan ibu seorang kanak-kanak berusia lapan tahun. Perbuatan paling memalukan yang saya akan lakukan ialah mengucup pipi isteri saya di depan anak kami." Fabregas dan Daniella dirakam bercium ketika bercuti di Itali.


Dalam perbicaraan penceraian mereka, Daniella diberikan elaun 2,500 (RM7,500) sebulan, kurang daripada jumlah 10,000 (RM50,000) yang dituntutnya.

Fabregas meninggalkan Gunners selepas khabar angin sejak beberapa tahun lalu mengaitkannya dengan Barcelona.


Pasukannya mengalahkan Celta Vigo 3-1 kelmarin sementara rakan lamanya di Arsenal tumpas 1-2 kepada Manchester United. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Harimau bintang baham 15 orang di Nepal diburu

Posted: 04 Nov 2012 12:52 PM PST

KATHMANDU: Pihak berkuasa Nepal berusaha untuk membunuh seekor harimau bintang yang dipercayai membunuh 15 orang sejak 15 bulan lalu.

Kepala mangsa terbaru haiwan itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, ditemui dalam hutan yang terletak kira-kira satu kilometer dari kediaman mangsa, kata Ketua Polis Daerah Baitadi, Kamal Prasad Kharel.


Kawasan itu terletak kira-kira 600 kilometer ke barat Kathmandu.

CNN melaporkan, haiwan itu mengheret kanak-kanak berkenaan ke dalam hutan untuk memakannya, mangsa ke-15 sejak ia mula mengganas tahun lalu.


Kamal mengesyaki seekor harimau bintang, atau paling banyak dua, bertanggungjawab terhadap kematian penduduk daerah itu.


Pakar ekologi Jabatan Taman Negara dan Perlindungan Hidupan Liar di Kathmandu, Maheshwor Dhakal, berkata, sekumpulan haiwan itu yang mendiami kawasan rendah di pergunungan Nepal mungkin menyebabkan lebih banyak kematian. "Sebaik saja haiwan liar merasai kemasinan darah manusia, ia tidak inginkan lagi memakan haiwan lain, seperti rusa," katanya.

Menurutnya, angka kematian sebenar mungkin lebih tinggi daripada 15 kerana terdapat serangan lain di Uttarkhand di utara India yang bersempadan dengan daerah Baitadi.


Daripada 15 mangsa di Nepal setakat ini, dua pertiga daripadanya ialah kanak-kanak bawah usia 10 tahun dan semuanya berasal dari kampung kecil yang jauh di pedalaman. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Tiada ulasan:

Catat Ulasan