Kosmo Online - Dunia |
- Obama dahului Romney 4 peratus di Ohio
- Kanak-kanak disangka mati ditemui selamat
- Armstrong diminta bayar semula RM21.2j
Obama dahului Romney 4 peratus di Ohio Posted: Obama dahului Romney 4 peratus di Ohio
OHIO - Satu pungutan suara yang diadakan oleh CNN/ORC International mendapati Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mendahului pencabarnya daripada Parti Republikan, Mitt Romney di negeri penting, Ohio kurang dua minggu sebelum pilihan raya presiden berlangsung. Menurut kaji selidik yang disiarkan pada Jumaat lalu itu, Obama mendahului Romney sebanyak 4 peratus. Kaji selidik yang dilakukan menerusi panggilan telefon itu dijalankan dari 23 hingga 25 Oktober 2012. Ia melibatkan 1,009 orang dewasa yang terdiri daripada 896 pengundi berdaftar dan 741 orang yang akan mengundi. Sebelum keputusan itu diumumkan, pengerusi negeri Ohio kem Romney, Senator Rob Portman mengakui Republikan mesti menang di Ohio. "Jika kalah di Ohio, memang sukar untuk kami memenangi pilihan raya presiden ini," kata Portman. Dalam perkembangan lain, jumlah pengundi yang membuat pengundian awal mungkin boleh mencecah sebanyak 40 peratus. Malah pungutan suara dalam kalangan mereka yang telah mengundi menunjukkan Obama mendahului Romney dengan agak selesa. Obama dan Romney kini sibuk menggesa para penyokong mereka supaya mengundi lebih awal daripada tarikh pilihan raya iaitu 6 Oktober depan terutama di negeri-negeri penting. Pengundian awal yang dimulakan di beberapa buah negeri sejak September lalu kini sudah dilakukan di semua 50 buah negeri, sama ada menerusi pos atau undian secara peribadi. Bagi membuktikan mengenai pentingnya undian awal, Obama menjadi Presiden AS pertama yang mengundi awal apabila beliau menunaikan tanggungjawab itu di Chicago pada Khamis lalu. – Agensi | ||
Kanak-kanak disangka mati ditemui selamat Posted: Kanak-kanak disangka mati ditemui selamatNICOSIA, Cyprus – Tiada siapa yang tahu berapa lama seorang kanak-kanak lelaki, Bushr Al-Tawashi, 2, berada di dalam rumahnya yang telah musnah di ibu negara Syria sebelum tentera pemberontak menemui dan menyerahkan Bushr kepada ibu bapanya yang percaya bahawa anak mereka sudah mati. Ketika berusaha melarikan diri apabila pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak tercetus di Al-Kaboun, pinggir Damsyik, ibu bapa Bushr, Arin Al-Dakkar dan Machhour Al-Tawashi menyangka anak mereka telah diambil oleh ahli keluarga yang lain. "Apabila tiba di sebuah kem pelarian, mereka mula menyedari kehilangan Bushr. Malangnya, pertempuran sengit menghalang mereka untuk kembali ke Damsyik," kata seorang peguam dari Cyprus, Stella Constantinou. Yakin bahawa anaknya sudah tiada, Al-Tawashi, isteri dan dua orang anaknya tiba di Cyprus pada 6 Ogos lalu untuk mendapatkan suaka. Mereka kini tinggal di bandar Limassol, Cyprus. Setelah mendengar berita Bushr masih hidup, keluarga itu meminta bantuan Constantinou. Kementerian Luar Cyprus membantu mempercepatkan proses menyatukan semula kanak-kanak itu dengan keluarganya. "Saya tidak dapat menjelaskan bagaimana perasaan saya apabila melihat Bushr. Pada mulanya dia tidak mengenali saya, tetapi setelah kami mujuknya, dia mula memanggil 'ayah, ayah," kata Al-Tawashi. – Agensi | ||
Armstrong diminta bayar semula RM21.2j Posted: Armstrong diminta bayar semula RM21.2j
AUSTIN, Texas – Sebuah syarikat yang telah membayar pelumba sensasi Amerika Syarikat (AS), Lance Armstrong lebih AS$7 juta (RM21.2 juta) sebagai bonus memenangi perlumbaan Tour de France meminta supaya wang tersebut dipulangkan. Jurucakap SCA Promotions menyatakan pihaknya akan menghantar surat tuntutan kepada Armstrong memandangkan gelaran memenangi tujuh perlumbaan Tour de France telah ditarik balik. SCA Promotions membayar Armstrong sebanyak RM21.2 juta kerana memenangi kejuaraan itu untuk kali keenam pada tahun 2004. Secara keseluruhannya, SCA Promotions dikatakan telah membayar Armstrong sebanyak AS$12 juta (RM36.4 juta). Agensi Anti-Doping AS baru-baru ini melaporkan terdapat bukti jelas bahawa Armstrong menggunakan dadah untuk meningkatkan prestasi sewaktu menyertai perlumbaan Tour de France. Kesatuan Lumba Basikal Antarabangsa pada Isnin lalu telah mengharamkan Armstrong daripada menyertai sukan lumba basikal seumur hidup dan menarik semula semua tujuh gelaran Tour de France yang dimenanginya. Peguam Armstrong, Tim Herman bagaimanapun menegaskan anak guamnya tidak akan memulangkan wang tersebut. Ini kerana tidak terdapat klausa dalam perjanjian bahawa beliau perlu berbuat demikian. – Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan