Sabtu, 20 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Bukti Syria guna bom berangkai

Posted:

Bukti Syria guna bom berangkai

BENTUK bom berangkai yang digunakan tentera Syria.


MAARET AL-NUMAN - Jet-jet tentera Syria melakukan serangan di bandar ini semalam ketika pihak tentera didakwa menggunakan bom berangkai.

Serangan itu dilakukan di bandar itu yang terletak di barat laut negara ini.

Bandar tersebut dianggap strategik di wilayah Idlib kerana ia telah ditawan para penentang tentera Bashar Al-Assad pada minggu lalu.

Sementara itu, para penentang menunjukkan kepada wartawan agensi berita AFP serpihan bom berangkai yang digunakan tentera Syria.

Menurut para penentang itu, bom tersebut digugurkan di beberapa kawasan penduduk.

Beberapa bom tersebutyang gugur tidak meletup.

Bom itu mempunyai aksara Cyril yang menyebakan ia dipercayai dibuat di Rusia.

Rusia merupakan sekutu utama Syria. Pertubuhan hak asasi Human Rights Watch mendakwa Syria menggunakan bom berangkai.

Bagaimanapun, tentera Syria menafikan ia menggunakan bom tersebut.

Sebuah pertubuhan yang menyokong penentangan terhadap Bashar melaporkan bahawa bom tersebut digugurkan pada minggu lalu di bandar Saraqeb, utara Maaret Al-Numan.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan menyatakan sebanyak 40 peratus bom itu gagal meletup.

Menurut pertubuhan itu, 98 peratus mangsa bom itu ialah orang awam termasuk kanak-kanak yang menyentuhnya kerana mereka menyangka ia merupakan alat permainan.

Pergolakan di Syria berlaku sejak Mac tahun lalu yang menyebabkan lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh.

Para penentang mahu menggulingkan Bashar yang dianggap gagal melaksanakan pembaharuan politik termasuk hak kebebasan bersuara.

- Agensi

Lelaki paling tinggi di AS dapat kasut baharu

Posted:

Lelaki paling tinggi di AS dapat kasut baharu

VOVKOVINSKIY memegang kasutnya semasa dia diwawancara wartawan televisyen WCCO, Holly Wagner di Kelab Atlet Rochester di Rochester kelmarin.


ROCHESTER, Minnesota - Lelaki paling tinggi di Amerika Syarikat (AS), Igor Vovkovinskiy memperoleh tiga pasang kasut tenis Reebok pada Khamis lalu.

Kasut itu ditempah khas oleh Vovkovinskiy, 30, yang setinggi 2.35 meter dan ia mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan.

Sepanjang ingatannya, dia hanya mempunyai sepasang kasut kerana ketiadaan saiz yang sesuai untuk kakinya.

Vovkovinskiy berkata, dia telah menjalani 16 kali pembedahan pada kakinya dalam tempoh enam tahun kerana kecederaan akibat memakai kasut yang tidak sesuai.

Menurut laporan akhbar The Post- Bulletin, orang pertama yang diberitahunya tentang kasut itu ialah ibunya.

Kos tinggi diperlukan untuk membuat kasut yang bersaiz 24 itu.

Namun, Vovkovinskiy mengutip derma di internet pada awal tahun ini.

Dia berjaya memperoleh sumbangan lebih AS$32,000 (RM97,666).

Selepas memperoleh wang itu, dia mengunjungi ibu pejabat Reebok di Canton, Massachusetts, AS dan menjalani beberapa siri ujian.

Ujian itu dilakukan bagi membolehkan syarikat tersebut menghasilkan kasut yang sesuai untuk kakinya.

Kasut tersebut telah mengubah corak kehidupan Vovkovinskiy.

"Saya kini boleh pergi ke kedai runcit atau perkakasan jika saya memerlukan barang untuk melakukan kerja-kerja pembaikan di rumah ibu saya," katanya. - Agensi

Objek berwarna cerah ditemui di Marikh

Posted:

Objek berwarna cerah ditemui di Marikh

GAMBAR yang dirakamkan pada 15 Oktober lalu menunjukkan satu objek kecil berwarna cerah di planet Marikh.


LOS ANGELES - Kenderaan robotik Curiosity menemui satu objek kecil yang berwarna cerah di sebuah kawasan di planet Marikh, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin.

Saiz objek tersebut hanya satu milimeter dan ditemui selepas kenderaan robotik milik NASA itu menggunakan peralatan penggalian.

Seorang saintis projek Marikh, John Grotzinger berkata, para penyelidik pada mulanya menyangka objek tersebut berasal dari kenderaan robotik itu.

Bagaimanapun, para saintis berpendapat objek itu mungkin sebahagian daripada kandungan yang terdapat di dalam tanah planet berkenaan.

Objek tersebut mungkin sejenis mineral.

Pada minggu lalu, NASA menyatakan satu lagi objek berwarna cerah yang turut ditemui Curiosity di planet Marikh sebenarnya serpihan plastik.

Menurut NASA, plastik tersebut mungkin jatuh dari kenderaan robotik itu.

Curiosity melakukan misi penerokaan di Marikh selepas ia tiba di planet tersebut pada 6 Ogos lalu.

Misi penerokaan selama dua tahun itu melibatkan kos sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.62 bilion). - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan