Sabtu, 20 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Anak dara jual lembu korban laris

Posted: 20 Oct 2012 02:54 PM PDT

Peniaga Jakarta untung ulangi taktik seperti tahun lalu Depok: Menjelang Aidiladha, memang biasa untuk melihat peniaga dan lembu masing-masing di tepi jalan utama ibu kota Jakarta, Indonesia. Oleh sebab itu, seorang ahli perniagaan, Doni, menggunakan taktik berbeza.
Pemilik syarikat Mal Sapi Qur-ban dekat kampus Universiti Indonesia (UI) di sini, selatan Jakarta, mengupah gadis gaya koboi untuk menjual daging korban.

Gadis terbabit yang muda jelita memakai topi ala koboi, baju kemeja, jeans ketat, but kulit dan setiap seorang membawa iPad berjaya menjual lembu pada harga antara 10 juta rupiah (RM3,180) hingga 167 juta (RM53,112).

"Sudah dua tahun saya guna strategi ini. Saya upah pekerja bilik pameran kereta saya untuk menjual lembu menjelang Aidiladha. Mereka bersetuju melakukannya," kata Doni.

Lembu terbaik
Dia mempamerkan 500 lembu terbaik sepanjang jalan termasuk dari Bali, Jawa, wilayah Dompu di Nusa Tenggara Barat hinggalah dari Perancis.

Katanya, gadis berkenaan akan menggunakan iPad untuk menunjukkan gambar dan profil lembu kepada pembeli berpotensi dalam bilik menunggu penghawa dingin.

Bayaran boleh dibuat secara kad kredit dan debit, kata Doni yang sudah 20 tahun menjual daging korban.

Layanan baik

Selain gadis muda itu, Doni berkata, dia memastikan lembunya adalah yang terbaik dan diberi layanan baik di ladangnya di Tapos, Depok, Sukabumi dan Cianjur, Jawa Barat.

Dia mengupah 15 pakar veterinar untuk menjaga lembunya dan membelanjakan 500 juta rupiah (RM159,000) membeli vitamin dan vaksin bagi beribu-ribu lembunya.

"Gadis itu hanya satu gimik. Sudah tentu pembeli mahukan lembu terbaik untuk menyambut Aidiladha," katanya.

Tahun ini, dia merancang untuk menjual 4,000 ekor lembu bernilai 800 bilion rupiah (RM254.431 juta), meningkat daripada 3,200 ekor lembu yang dijualnya tahun lalu.

Ketua Agensi Perikanan, Ladang dan Pertanian Depok, Zalfianus Irwan, berkata 20,000 ekor lembu dan kambing sudah dijual di Depok tahun ini, berbanding 19,000 pada tahun lalu. - Agensi

Lelaki dah letih guna Viagra

Posted: 20 Oct 2012 02:53 PM PDT

London: Seorang lelaki berusia 30-an semalam membuat pengakuan dalam program televisyen This Morning mengenai ketagihannya mengambil pil Viagra sejak 10 tahun lalu meskipun tidak pernah ada masalah rangsangan dan kini mahu mengurangkan pengambilannya.

Hanya didedahkan sebagai Daniel yang bekerja dalam industri muzik, dia memberitahu, kali pertama mengambil pil itu adalah pada berusia 20 tahun selepas diberi oleh rakan ketika mereka berada di luar negara.

Dia dan rakannya banyak minum dan mahu pulang ke hotel bersama beberapa gadis. Oleh kerana takut tidak mampu mencapai prestasi dikehendaki, dia mengambil pil itu daripada rakannya.

"Kawan saya beritahu, saya ada benda ini, ambillah. Dia beritahu apa fungsi pil itu. Kami telan mengikut garis panduan dan ia berjaya," kata Daniel.

Tak dapat kawal diri

Sejak itu, katanya, dia sering mengambil pil itu hingga ketagih menelannya setiap kali bersama pasangan wanita.
"Saya tidak ada masalah dari segi kemampuan seksual tetapi apabila anda tidak dapat mengawal diri ketika mabuk dan mengambil kira gaya hidup sendiri, anda akan selalu jumpa wanita yang mahu sesuatu daripada anda. Itulah yang perlu dipenuhi," katanya.

Ketagihannya menyebabkan dia membelanjakan £1,000 (RM4,500) setahun untuk membeli pil biru itu.

Pada masa sama, Daniel mengakui mengalami kesan sampingan dan hanya kerisauan tidak dapat memberi kepuasan menyebabkan dia terus menelan Viagra.

"Apabila saya mengambilnya sekarang, saya dapat dengar denyutan jantung dan rasa seram sejuk. Saya juga dengar seperti sesuatu berdenyut dalam telinga, biasanya selepas saya menelan pil itu," katanya.

Pakar perubatan, Robert Hicks, menekankan meskipun Viagra selamat digunakan dan sudah banyak menyelamatkan perkahwinan, mengambil sebarang ubat tanpa nasihat doktor ada risiko dan kesannya.

"Kehilangan pendengaran adalah satu kemungkinan kesan daripadanya meskipun ia jarang sekali berlaku. Apa yang benar iaitu ia selamat jika digunakan dengan betul," kata Hicks. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan