Khamis, 18 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Kapal ke Gaza singgah di Greece

Posted:

Kapal ke Gaza singgah di Greece

BEBERAPA aktivis Palestin dari Greece menaiki kapal SV Estelle yang berlabuh dekat Pulau Crete semalam.


ATHENS - Sebuah kapal yang membawa aktivis pro-Palestin untuk menceroboh sekatan Gaza mengambil para penumpang di selatan Greece semalam.

Sebelum ini Israel menghalang kapal asing membawa bantuan ke Gaza. Kapal SV Estelle yang berlepas dari Sweden dan meninggalkan Naples di Itali pada 6 Oktober lalu itu singgah di Pulau Crete yang terletak di perairan antarabangsa pada Selasa lalu.

Kapal yang sarat dengan bekalan makanan dan penumpang itu kemudiannya meneruskan pelayaran dengan membawa lima wakil rakyat dari beberapa buah negara.

Wakil rakyat itu dari Sweden, Sepanyol, Greece dan Norway.

Selain itu, turut berada di atas kapal itu ialah 30 ekor burung merpati yang akan dibebaskan sebaik sahaja kapal itu tiba di Gaza.

Kapal itu dijangka sampai di Gaza pada Sabtu ini.

Sebelum ini, cubaan pertama pada Mei 2010 oleh kapal Freedom Flotilla yang ingin memasuki kawasan halangan pihak Israel berakhir tragedi apabila sembilan warga Turki terbunuh dalam misi tersebut.

Cubaan kedua pada pertengahan 2011 turut gagal apabila kapal yang belayar dari Athens dipintas pihak berkuasa Greece.

Pada November tahun lalu, tentera laut Israel berjaya mematahkan cubaan dua warga Ireland dan Kanada yang membawa 27 penumpang dan kru kapal untuk melepasi sekatan perairan antarabangsa di luar Gaza. - AFP

Helikopter tentera Syria ditembak jatuh di Idlib

Posted:

Helikopter tentera Syria ditembak jatuh di Idlib

KOMBINASI gambar menunjukkan sebuah helikopter tentera ditembak jatuh oleh kumpulan penentang di wilayah Idlib semalam.


DAMSYIK - Para penentang Presiden Bashar Al-Assad menembak jatuh sebuah helikopter dalam satu pertempuran sengit ketika pihak tentera berusaha untuk menawan sebuah bandar di Syria semalam.

Helikopter itu ditembak jatuh di wilayah Idlib.

Kejadian itu berlaku semasa Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi memberi amaran bahawa konflik yang berlaku di Syria boleh merebak menjadi semakin serius.

Beberapa pertempuran masih tercetus di Damsyik dan Aleppo walaupun Brahimi meminta gencatan senjata dilaksanakan antara pihak penentang dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad bagi menghormati kedatangan Hari Raya Aidiladha.

"Saya berharap pihak pemerintah Syria dan puak penentang bersenjata dapat memberikan reaksi positif untuk melakukan gencatan senjata dan berhenti daripada melakukan kekejaman ketika sambutan hari raya," katanya.

Menurut Brahimi, beliau tidak mahu pergolakan di Syria berterusan seperti Lebanon yang mengambil masa selama 19 bulan bagi mengakhiri tragedi pertumpahan darah.

"Krisis ini tidak boleh dibiarkan berterusan berlaku di Syria," katanya kepada media di Beirut.

Konflik tersebut yang bermula pada Mac 2011 di Syria itu telah meragut lebih 30,000 orang.

Para penentang tersebut mahu Bashar meletakkan jawatan kerana beliau gagal melaksanakan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara.

Ketegangan juga semakin meningkat antara Damsyik dan Ankara apabila lima warga Turki terbunuh dalam bedilan meriam tentera Syria pada 3 Oktober lalu. - Agensi

Lelaki 96 tahun jadi bapa tertua di dunia

Posted:

Lelaki 96 tahun jadi bapa tertua di dunia

LAMAN YouTube semalam menunjukkan Raghav dan isterinya mendukung kedua-dua anak mereka.


HARYANA, India - Seorang lelaki berusia 96 tahun menjadi bapa paling tua di dunia selepas isterinya yang telah dikahwininya selama 17 tahun melahirkan anak kedua mereka pada awal bulan ini, lapor portal berita Indian Today semalam.

Lelaki itu, Ramajit Raghav dan isterinya, Shakuntala, 54, tidak pernah dikurniakan cahaya mata untuk tempoh 15 tahun pertama perkahwinan mereka.

Pasangan yang bertemu jodoh di sebuah perkampungan Kharkhosa di daerah Sonepat itu menerima kehadiran cahaya mata sulung lelaki dua tahun lalu.

Bagaimanapun, anak kedua mereka, Ranjit dilahirkan 5 Oktober lalu.

"Tuhan mungkin mahukan kami memiliki lagi anak. Saya sangat gembira," katanya yang juga seorang petani.

Raghav yang berasal dari Azamgarh berhijrah ke Sonepat 20 tahun yang lalu bagi mendapat pekerjaan.

Dia merupakan bekas ahli gusti ketika zaman mudanya.

Raghav memecahkan rekod sebagai bapa tertua di dunia buat kali pertama pada 2007.

Petani tersebut menewaskan rekod yang dipegang oleh lelaki dari Rajasthan, Nanu Ram Jogi yang berusia 90 tahun apabila memperoleh anaknya yang ke-21.

Raghav kini memecahkan rekodnya sendiri apabila dia memperoleh anak keduanya.

Menurut petani tersebut, dia mahu kedua-dua anaknya menjadi pegawai tinggi pentadbiran.

Akhbar dalam talian MailOnline melaporkan, Raghav mengamalkan diet dengan meminum susu, memakan buah badam dan mentega.

Petani itu berkata, jiran-jirannya berasa cemburu kerana dia berjaya memperoleh dua anak yang sihat.

Raghav berkata, jiran-jirannya kerap bertanya rahsia kesihatan dirinya.

Lelaki tersebut berkata, dia mengambil berat tentang isterinya dan memenuhi keperluannya.

"Dia seorang wanita yang amat gembira," katanya.

Ketika Shakuntala melahirkan anaknya di sebuah hospital di sini, petani tersebut diketawakan oleh doktor-doktor kerana dia menyatakan bayi itu ialah anaknya.

Shakuntala menyatakan dia amat sayang suaminya itu.

"Saya menyayanginya walaupun dia kadangkala menjerit ke arah saya," katanya.

Menurut portal berita International Business Times, dia tidak mahu anak lagi selepas memperoleh dua cahaya mata. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan