Kosmo Online - Dunia |
Jualan kereta Jepun merudum di China Posted: Jualan kereta Jepun merudum di China
TOKYO - Jualan kenderaan Toyota dan Honda merudum di China pada bulan lalu selepas sentimen anti-Jepun berlaku ekoran pertikaian wilayah yang mengancam hubungan kedua-dua buah negara. China merupakan pasaran kenderaan terbesar Jepun. Syarikat Toyota Motor Corporation menyatakan semalam bahawa jualan kenderaan baharu di China jatuh 48.9 peratus pada September lalu berbanding setahun lalu kepada hanya 44,100 buah kenderaan. Firma Honda Motor pula memberitahu bahawa jualan kenderaannya untuk September merosot 40.5 peratus kepada 33,931 buah kenderaan. Jualan kenderaan buatan Nissan Motor di China pula merudum 35.3 peratus pada bulan lalu kepada 76,100 buah kenderaan. Perkembangan tersebut berlaku selepas Jepun pada bulan lalu mewartakan beberapa pulau kecil di Laut China Timur sebagai sebahagian wilayahnya. Gugusan pulau itu yang dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China telah dikuasai Tokyo tetapi turut dituntut oleh Beijing. Langkah tersebut mencetuskan bantahan ganas di China dengan rakyat negara itu digesa memboikot barangan buatan Jepun. Beberapa kedai pengedar kereta Toyota dan Honda dibakar di sebuah bandar di China manakala orang ramai yang melaungkan slogan anti-Jepun berhimpun dan memecahkan beberapa buah kereta Jepun. Walaupun protes tersebut semakin reda sejak beberapa minggu lalu, hanya pemandu yang berani sahaja sanggup memandu kereta buatan Jepun di beberapa buah bandar di China. - Agensi | |
Posted: Serangan di pangkalan tenteraGAMBAR menunjukkan bangkai sebuah bas yang hangus terbakar selepas letupan berlaku di kawasan al-Zablatani di Damsyik semalam. - REUTERS DAMSYIK - Berpuluh-puluh orang terbunuh dalam serangan berkembar oleh dua pengebom berani mati di pekarangan pangkalan tentera udara Syria dekat sini, kata Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain. Kumpulan itu menyatakan, pihaknya bimbang berhubung nasib beratus-ratus tahanan yang masih berada di pangkalan tersebut. Kumpulan jihad, Barisan Al-Nusra mengaku melakukan serangan itu. Serangan pertama dilakukan oleh seorang penyerang yang memandu sebuah kereta berisi bahan letupan manakala satu lagi serangan melibatkan sebuah ambulans berisi bom. Pengarah kumpulan pemerhati tersebut, Rami Abdul Rahman memberitahu agensi berita AFP bahawa berpuluh-uluh orang maut dalam pengeboman berkembar itu. "Nasib beratus-ratus tahanan yang ditahan di bilik bawah tanah bangunan tersebut pula masih tidak diketahui," tambahnya. Menurut kumpulan pemerhati tersebut, serangan itu mencetuskan pertempuran sengit di bandar Hasrata melibatkan kumpulan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria dan tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad. Menurutnya, tentera rejim Bashar turut membedil bandar Aleppo semalam yang menyaksikan pertempuran sengit berlaku sejak pertengahan Julai lalu, selain di bandar Idlib berdekatan sempadan Turki. Satu letupan turut berlaku di kawasan al-Zablatani di sini semalam. Angka kematian belum diketahui. Perkembangan itu berlaku ketika Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)/ Liga Arab, Lakhdar Brahimi dijadualkan berkunjung ke Syria pada minggu ini untuk cuba memujuk pentadbiran Bashar supaya segera mengadakan gencatan senjata bagi menghentikan perang saudara di negara itu. Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon semalam. "Brahimi akan melawat rantau berkenaan sekali lagi dan beliau akan berkunjung ke beberapa buah negara. Beliau juga akan berada di Syria," kata Kin-moon pada satu sidang media bersama Presiden Perancis, Francois Hollande selepas pertemuan mereka di Paris. Penentangan ke atas rejim Bashar bermula pada Mac tahun lalu sebelum merebak menjadi perang saudara yang meragut lebih 32,000 nyawa setakat ini. - Agensi | |
Kereta pemain bola rempuh kedai Posted: Kereta pemain bola rempuh kedai
BRUSSELS - Pemain bola sepak Belgium, Jonathan Legear akan dihadapkan ke mahkamah dan dilarang daripada memandu untuk sekurang-kurangnya dua minggu selepas kereta Porsche yang dipandunya merempuh kedai di sebuah stesen minyak. Seorang pelanggan lelaki cedera dalam insiden tersebut. Kamera keselamatan yang merakamkan kejadian tersebut pada Ahad lalu menunjukkan kereta itu merempuh kedai di bandar l Tongeren, utara Belgium. Selepas rempuhan, kereta itu berhenti di hadapan mesin daftar tunai kedai berkenaan. Jurucakap mahkamah, Michel Zegers menyatakan kelmarin bahawa pemain tengah untuk kelab Rusia, Terek Grozny itu akan didakwa kerana melakukan serangan secara tidak sengaja dan memandu dalam keadaan mabuk. Legear berkata, dia memohon maaf berhubung insiden tersebut. "Saya akan menerima segala hukuman ekoran insiden itu," katanya dalam satu kenyataan. Dia menafikan berada dalam keadaan mabuk semasa kejadian. Pemilik kedai terbabit menyatakan dia kerugian sekitar 250,000 euro (RM993,114) ekoran kejadian tersebut. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan