Harian Metro: Global |
Posted: 09 Oct 2012 11:12 AM PDT KASHMIR: Seorang pemuda buat pertama kalinya menceritakan kehidupannya 'tanpa muka' dan bagaimana dia begitu takut keadaannya itu diwarisi oleh anak yang masih dalam kandungan isterinya. Mohammad Latif Khatana, 32, dari Kashmir, India, tidak boleh melihat atau bekerja kerana mukanya dilitupi lapisan ketumbuhan. Kerana kehodohannya, ada orang yang sanggup meludah ketika mereka melalui di depannya. Dia kini begitu gembira selepas wanita yang dikahwinnya hamil tujuh bulan.
Latif yang tinggal bersama isteri, Salima, 25, di kawasan pergunungan di Tuli Bana di Jammu dan Kashmir, pergi ke Srinagar selama empat bulan dalam setahun untuk meminta sedekah. Dia dilahirkan dengan ketumbuhan kecil pada mukanya. Tetapi ketumbuhan itu membesar dan membentuk lapisan daging dan menutup seluruh mukanya. Ia menyebabkan Latif tidak boleh melihat. "Ibu saya masih menangis setiap kali melihat saya. Dia merasa bersalah dan tidak faham mengapa anak bongsunya ditimpa nasib itu." Latif mempunyai dua abang dan tiga kakak dan menjadi satu-satunya anggota keluarga yang menghidap masalah berkenaan. Tanpa adik beradiknya, kehidupannya akan menjadi begitu sunyi kerana tidak ada orang yang ingin berkawan dengannya. "Tidak ada orang yang mahu bermain dengan saya. Setiap hari saya dipukul dan diejek oleh kanak-kanak lain di kampung. Saya kehilangan mata kiri ketika berusia lapan tahun. Mereka memanggil saya 'si mata satu.'" Apabila dewasa, dia terus berdepan dengan banyak masalah. Dia lelaki yang kuat tetapi kerana tidak dapat melihat dan keadaan mukanya, tidak ada siapa yang ingin menawarkannya pekerjaan. "Saya terpaksa mengemis dan mengharapkan simpati orang lain supaya dapat memberi makan kepada keluarga." Latif kadang-kala memperoleh 400 rupi (RM25) sehari dengan mengemis. "Pernah tiga gadis berjalan di depan saya. Mereka ludah kaki saya dan berlari sambil menutup mulut dengan selendang masing-masing. Ia begitu memalukan saya. "Ia juga membuat saya terkejut kerana melihat kekejaman mereka. Saya begitu tertekan selama beberapa hari. Tetapi saya terpaksa bangkit dan meneruskan kehidupan," katanya. Empat tahun lalu, Latif menemui jodohnya. Ibu bapanya berusaha mencarikannya isteri tetapi tidak ada wanita yang sudi berkahwin dengannya, sehinggalah Latif mendengar mengenai Salima. "Isteri saya hanya mempunyai sebelah kaki. Sudah lama dia berusaha untuk mendapatkan seorang suami. "Sebaik bertemu, kami sedar bahawa kami dicipta untuk satu sama lain. Kami jodoh yang sesuai kerana masing-masing cacat," katanya. Mereka berkahwin pada Ogos 2008 dan kira-kira 400 tetamu hadir pada majlis itu. Sejak itu, pasangan berkenaan hidup bahagia. - TS Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10 |
Posted: 09 Oct 2012 11:08 AM PDT DEERFIELD BEACH: Pemenang pertandingan makan lipas mati selepas memuntahkan berpuluh-puluh serangga itu dan cacing yang masih hidup. Edward Archbold jatuh sakit dan pengsan di sebuah kedai haiwan, tempat pertandingan diadakan. Rakaman video menunjukkan Archbold menyumbat masuk lipas ke dalam mulutnya, tidak lama sebelum dia meninggal dunia. Lelaki berusia 32 tahun itu memenangi hadiah seekor ular sawa. Dia merancang menjual haiwan itu kepada seorang rakan.
Penganjur pertandingan, Ben Siegel berkata: "Kami berasa begitu sedih. Dia kelihatan seperti ingin menunjuk-nunjuk. Tetapi dia lelaki baik." Menurut Siegel, Archbold tidak menunjukkan tandasakit sebelum pertandingan. Michael Adams, Profesor Entomology di Universiti California, Riverside, berkata, dia tidak pernah mendengar orang mati selepas memakan lipas. "Kecuali lipas berkenaan tercemar bakteria atau patogen lain, saya tidak fikir lipas tidak selamat dimakan. "Memang ada orang yang alah kepada lipas. Tetapi lipas atau serangga yang ada kaitan dengannya tidak ada toksin," kata Adams. Pegawai kini menanti keputusan bedah siasat untuk menentukan punca kematian Archbold. - DM Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Global To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan