Rabu, 10 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Roket Korea Utara boleh sampai AS

Posted: 09 Oct 2012 05:08 PM PDT

Pyongyang beri amaran selepas Washington, Seoul meterai perjanjian

Seoul: Korea Utara semalam mendakwa memiliki roket yang mampu sampai ke Amerika Syarikat (AS) ketika Pyongyang mengutuk satu perjanjian baru Amerika Syarikat-Korea Selatan untuk meningkatkan jarak sasaran sistem peluru berpandu untuk Seoul.

Pyongyang menyifatkan perjanjian jirannya dengan Washington sebagai tindakan provokasi untuk mencetuskan perang.

Ancaman yang dianggap penganalisis sebagai tidak serius dan sekadar menarik perhatian itu dibuat selepas Korea Selatan pada Ahad lalu mengumumkan satu perjanjian bersama dengan Amerika memiliki peluru berpandu dengan jarak hampir tiga kali ganda daripada peluru berpandunya sejauh 800 kilometer sekali gus boleh sampai ke mana-mana tempat di seluruh Korea Utara.
Perjanjian satu konspirasi

Jurucakap Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan Korea Utara berkata, perjanjian itu adalah 'satu lagi konspirasi antara tuan dan hambanya bertujuan mencetuskan ketegangan besar di Semenanjung Korea hingga mencetuskan satu lagi peperangan.'

Dalam satu kenyataan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), beliau mendakwa, tentera Korea Utara termasuk 'pasukan roket strategik' mempunyai skop serangan bukan hanya membabitkan Amerika dan pangkalan tentera Korea Selatan tetapi juga Jepun, Guam dan tanah besar Amerika.

Penganalisis Korea Selatan pula menyifatkan reaksi Pyongyang sebagai retorik kosong kerana ia lebih kepada tujuan meningkatkan semangat tentera di bawah kepimpinan baru Kim Jong-Un.

"Tiada bukti Korea Utara berjaya menguji peluru berpandu yang ada jarak cukup jauh hingga sampai ke tanah besar Amerika," kata seorang profesor Akademik Diplomatik Kebangsaan Korea, Yun Duk-Min.
Korea Utara diketahui mempunyai sejenis peluru berpandu antara benua (ICBM) yang sedang dibangunkan, Taepodong-2 tetapi tidak pernah diuji dengan berjaya.
Pada April lalu, Korea Utara gagal untuk melancarkan roket selepas dikatakan bertujuan meletakkan sebuah satelit di orbit.

Tetapi, Amerika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menegaskan, ia sebenarnya satu ujian peluru berpandu balistik menggunakan pelancaran tiga peringkat Taepodong-2. - AFP

Ibu pejabat tentera Syria kena serang

Posted: 09 Oct 2012 05:05 PM PDT

Damsyik: Dua letupan di markas tentera dekat Damsyik, satu daripadanya disebabkan ambulans membawa bom, membunuh berpuluh-puluh orang semalam.

Kejadian itu adalah yang terbaru dalam beberapa serangan ke atas tentera dan pejabat kerajaan kerajaan oleh Barisan Al-Nusra yang ada kaitan dengan al-Qaeda.

Kumpulan itu menjelaskan, ia sebagai membalas dendam terhadap pemerintah yang menindas dan membunuh penduduk.
Berita letupan itu disiarkan ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa pentadbiran Presiden Bashar al-Assad mengisytiharkan gencatan senjata selepas konflik berterusan 19 bulan. Kira-kira 32,000 orang terbunuh sehingga ini.

Pemerintah bertanggungjawab

"Berpuluh-puluh orang maut dalam dua serangan bunuh diri ke atas unit perisikan tentera udara di Harasta," kata pengarah Syrian Observatory for Human Rights, Rami Abdel Rahman.

"Untung nasib beratus-ratus tahanan di ruang bawah tanah bangunan berkenaan belum diketahui. Pemerintah bertanggungjawab atas apa yang berlaku ke atas tahanan. Pemerintah tidak sepatunya menahan mereka," katanya lagi.

Barisan Al-Nusra yang tidak dikenali sebelum pemberontakan meletus ke atas pentadbiran Bashar, mengaku bertanggung jawab dalam serangan di Harasta.
Operasi tiga fasa

"Ia sebagai membalas dendam ke atas penduduk Islam yang ditindas menyebabkan keputusan di ambil untuk menyerang unit perisikan tentera udara di Harasta," kata al-Nusra dalam satu kenyataan dalam internet.

Kumpulan itu merancang operasi tiga fasa bermula dengan serangan bunuh diri menyaksikan seorang pemuda membawa sembilan tan bahan letupan ke depan bangunan.

25 minit kemudian, seorang lagi anggotanya menggunakan van ambulans untuk merempuh sekatan.

Militan kemudian melancarkan bedilan mortar ke arah bangunan itu.

Di Paris, Ban menggesa rejim Bashar mengadakan gencatan senjata
"Saya sudah beri mesej kepada kerajaan Syria supaya mereka segera umum gencatan senjata," kata Ban ketika dalam sidang akhbar. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan