Sabtu, 13 Oktober 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Samseng ugut Amir Khan

Posted: 12 Oct 2012 01:32 PM PDT

LONDON: Seorang penyangak bertopeng memuatnaikkan video ke laman YouTube untuk mengancam juara tinju dunia, Amir Khan.

Dia juga mendakwa 'menumbangkan' peninju itu apabila dia dilapor menyerang Amir dan adiknya baru-baru ini.

Polis melancarkan siasatan terhadap video itu yang menyusuli laporan mengenai Amir, 25 dan adiknya, Haroon, 20, membelasah enam samseng yang hendak merampas kereta mereka di Digbeth, Birmingham pada awal pagi Isnin lalu.

Pasangan adik beradik itu didakwa menjadi sasaran kumpulan enam orang itu.

Amir, bekas juara dunia light-welterweight dikatakan menumbuk bertalu-talu seorang penyangak berkenaan sebelum dia dan adiknya meninggalkan tempat kejadian.

Bagaimanapun, dalam video yang dimuatnaikkan pada laman Facebook, semalam, seorang lelaki bertopeng menceritakan kejadian itu dan mengancam Amir dan adiknya.

"Saya akan cabut kepala kamu. Anda tahu apa yang sebenar terjadi. Kami tahu apa yang terjadi. Kamu dibelasah. Lain kali kamu boleh bawa bala tentera.
Siapa peduli jika kamu Amir Khan. Anda bukan wira di sini," kata lelaki itu.

Video itu yang kelihatan dirakam di ruang tamu sebuah rumah, disiarkan selepas laporan menyatakan, Amir dan adiknya menjadi sasaran perompak yang cuba mencuri kereta Range Rovernya berharga 100,000 (RM500,000).

Dalam video dua siri itu, lelaki bertopeng berkenaan menunjukkan barangan, termasuk beg, dompet dan kunci kereta yang dia dakwa milik Amir.

Polis West Midland melancarkan siasatan terhadap kejadian itu.

Mereka sebelum ini berkata, menerima laporan mengenai satu perkelahian tetapi tidak menemui sebarang tanda serangan.

"Kami mulanya berkata kami tidak menyiasat kejadian itu. Tetapi kini, kami mengkaji pendirian kami," kata seorang jurucakap.

Polis berusaha mencari butir sebenar mengenai kejadian berkenaan. Wakil Amir enggan mengulas mengenai dakwaan itu. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/13


Peti sejuk serba lengkap

Posted: 12 Oct 2012 11:38 AM PDT

LONDON: Jika anda berminat memiliki peti sejuk untuk menempatkan koleksi magnet anda, ini mungkin bukan untuk anda.

Sebuah syarikat mengeluarkan peti sejuk canggih yang lebih mahal daripada dapur biasa.


Harganya mencecah sehingga $41,500 (RM124,500).

Unit Meneghini La Cambusa itu boleh dilengkapi dengan pembancuh kopi, pembuat ais, pantri yang dikawal suhu dan juga televisyen permukaan rata.


Kelihatan lebih kepada perabot antik, peti sejuk itu disasarkan untuk golongan berada. Peruncit di Britain, Robey's mengaku, ia tidak dapat menjual banyak petik sejuk itu dalam seminggu.


Selain menyimpan makanan, model tiga pintu La Cambusa, turut mempunyai ruang yang boleh memenuhi keperluan pelanggan.

Jurang harga antara satu unit dengan unit lain berbeza dalam jumlah yang banyak kerana setiap satunya dibuat di Itali, berdasarkan tempahan.


Selepas membayar RM78,000 untuk rangka kayu, yang boleh dicat dengan lebih 500 warna, pelanggan kemudian perlu membayar harga tambahan untuk pemegang yang diperbuat daripada loyang, rak cermin dan unit peti sejuk dan peti beku.

Pelanggan juga boleh meminta peralatan lain dipasang pada peti sejuk itu.


Sistem pembancuh kopi Miele yang berharga kira-kira RM9,000 menjadi pilihan popular, begitu juga dengan televisyen permukaan rata. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/13


Tiada ulasan:

Catat Ulasan