Sabtu, 13 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Wanita bertanding pemimpin Ikhwan

Posted: 06 Oct 2012 03:53 PM PDT

Sabah el-Saqari catat sejarah walaupun diramal kalah

Kaherah: Buat pertama kalinya, seorang wanita bertanding untuk mengetuai parti politik terulung Mesir, Ikhwanul Muslimin, pergerakan paling berkuasa di negara itu.

Sabah al-Saqari berkata beliau mahu meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan mempertahankan hak wanita untuk bertanding sebagai presiden, satu pendirian yang ditentang pertubuhan itu sendiri.

Pilihan raya dalaman parti dijadualkan 19 Oktober depan adalah untuk menggantikan Mohammed Morsi memegang jawatan pengerusi sehingga menjadi presiden pertama Mesir dilantik secara bebas, akhir Jun lalu.

Golongan liberal yang bimbangkan pemerintahan Islam akan mengehadkan hak wanita pula menuduh pencalonan itu sebagai cubaan Ikhwan untuk memperbaiki imej sekalipun al-Saqari adalah veteran Ikhwan selama 22 tahun.

Beliau bertanding untuk menjadi pengerusi Parti Kebebasan dan Keadilan yang diwujudkan oleh Ikhwan selepas kejatuhan Hosni Mubarak pada Februari tahun lalu.

Parti diperalat

Selepas ditindas beberapa dekad oleh Mubarak, parti terbabit menjadi alat membolehkannya untuk berkuasa, mengalahkan aktivis dan golongan progresif yang menggerakkan revolusi.
Pilihan raya dalaman parti dijadualkan 19 Oktober depan adalah untuk menggantikan Mohammed Morsi memegang jawatan pengerusi sehingga menjadi presiden pertama Mesir dilantik secara bebas, akhir Jun lalu.

Pencalonan simbolik besar

Pencalonan al-Saqari adalah satu simbolik besar meskipun dilihat tidak berpeluang untuk menang kerana berhadapan dua calon besar untuk jawatan itu iaitu tokoh kanan Ikhwan, Essam el-Erian dan Saad el-Katatni. Turut bertanding seorang lagi ahli parti yang kurang dikenali, Khaled Awda.

Langkah berkenaan bukan yang pertama membabitkan penyertaan seorang wanita dalam aspek yang dikuasai lelaki hampir keseluruhannya dalam Ikhwanul Muslimin.

Parti terbabit pernah mempunyai ahli perundangan wanita dalam Parlimen dibentuk selepas revolusi yang kemudian dibubarkan tetapi lelaki memonopoli proses membuat keputusan dan jawatan ketua parti selain hal ehwal parti itu sendiri.

Pihak liberal sebaliknya melihatnya sebagai percubaan sinis Ikhwan untuk menggalakkan pandangan tidak benar mengenai pendirian mereka terhadap wanita.- AP

Ramai jadi 'hantu' dek sijil kematian palsu

Posted: 06 Oct 2012 03:51 PM PDT

Johannesburg: Sindiket penipuan KwaZulu-Natal dan Eastern Cape yang menggunakan sijil kematian palsu bagi tujuan menuntut polisi insurans jutaan ringgit menjadi punca huru hara apabila ada mangsa masih hidup mendapati status mereka 'meninggal dunia'.

Penjualan sijil dan polisi kematian dilaporkan meningkat di wilayah ini meskipun kebanyakan syarikat insurans sukar untuk mengesahkan atau menyiasat tuntutan insurans nyawa, kata Persatuan Pelaburan dan Simpanan Afrika Selatan (Asisa).

Statistik terbaru persatuan itu menunjukkan manfaat daripada pengebumian dan kematian menarik jumlah penipuan yang tinggi selain tuntutan palsu pada 2010 dengan sijil kematian palsu menjadi dokumen yang paling biasa diserahkan.
Syarikat insurans nyawa mencatat 4,636 kes penipuan membabitkan nilai 321.7 juta rand (RM115.2 juta) pada 2010.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Asisa, Peter Dempsey berkata apa yang diperlukan hanyalah nama dan nombor pengenalan seseorang untuk menuntut insurans mereka.

Kes biasanya membabitkan seseorang yang ada polisi dengan syarikat insurans dan sindiket menyerahkan satu tuntutan kematian palsu tanpa pengetahuan pemegang insurans, atau sindiket mengambil sijil kematian atau polisi nyawa seseorang masih hidup dan membayar sejumlah premium ketika menantikan tempoh polisi.

Sijil kematian palsu
"Sebaik saja tempoh menunggu berakhir, sindiket akan mengeluarkan sijil kematian palsu serta mayat dan membuat tuntutan kematian atau manfaat pengebumian," kata Dempsey.

"Biasanya sindiket menerima maklumat dari kakitangan rumah mayat atau syarikat pengebumian persendirian yang mereka upah apabila ada kes membabitkan mayat tidak dikenal pasti oleh saudara mereka dalam tempoh tertentu. Atau apabila mayat yang teruk terjejas akibat kebakaran atau banjir, sijil kematian palsu dikeluarkan dan tuntutan dibuat."

Florence Khuzwayo, 53, bimbang sekiranya identitinya digunakan oleh penuntut palsu insurans selepas diisytiharkan meninggal dunia pada Januari lalu.
Dia percaya maklumat peribadinya dalam buku identiti digunakan untuk menuntut insurans palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Khuzwayo bukan saja diisytiharkan mati oleh agensi kerajaan tetapi kehidupannya menjadi lebih mencabar apabila berusaha untuk membetulkan semuanya. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan