Selasa, 9 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Eksekutif NTUC dipecat

Posted: 08 Oct 2012 03:49 PM PDT

Amy Cheong didakwa keluar kenyataan perkauman, hina majlis kahwin orang Melayu

Singapura: Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan Singapura (NTUC) semalam memecat eksekutif kanannya Amy Cheong, selepas beliau mengeluarkan kata-kata bersifat perkauman di laman Facebook yang menimbulkan kemarahan umum di republik itu.

Amy, yang menyandang jawatan Penolong Pengarah Keahlian dan berketurunan China, dipecat sehari selepas menyiarkan kenyataan mengenai minoriti Melayu di laman rangkaian sosial itu.

Umum pecat Cheong
Setiausaha Agung NTUC, Lim Swee Say, yang juga menteri di pejabat Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, mengumumkan pemecatan di laman Facebook kongres itu selepas ia dihujani aduan mengenai Cheong.

"Kami tidak akan menerima dan bertolak ansur sama sekali terhadap sebarang kenyataan atau tindakan kakitangan kami yang bersifat perkauman. Kami juga meminta maaf di atas kejadian yang berlaku," kata Lim.

Laman Facebook Cheong tidak dapat di akses semalam selepas kenyataan beliau mengakibatkan komuniti internet di Singapura berang, namun permohonan maaf masih kelihatan di laman sosial Twitter beliau selepas dipecat.

"Saya memohon maaf di atas kenyataan yang tidak bijak itu. Saya benar-benar tidak bermaksud demikian, saya mohon maaf," katanya.
Di dalam kenyataan Facebooknya, Cheong mengulas panjang lebar mengenai perayaan perkahwinan Melayu dan memperlekehkan kadar perceraian masyarakat itu.

Rusuhan kaum

Singapura didiami pelbagai etnik dan pernah mengalami rusuhan kaum pada 1960-an dan dikelilingi oleh negara jiran Muslim Indonesia yang lebih besar dan Malaysia, mengambil tindakan keras terhadap perbuatan menyalakan kebencian kaum dan agama.

Penduduk Singapura terdiri daripada 74 peratus etnik China, 13 peratus Melayu Islam dan sembilan peratus India, dengan yang lain terdiri daripada kumpulan imigran.

Perbuatan menghasut termasuk memupuk kebencian kaum boleh dihukum denda sehingga 5,000 dolar Singapura (RM13,854) atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya. - AP/Agensi

Presiden Indonesia dikritik

Posted: 08 Oct 2012 03:47 PM PDT

Jakarta: Reaksi balas perlahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono ke atas beberapa tindakan polis terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) menimbulkan bantahan di seluruh negara manakala aktivis menuduhnya memberi restu untuk melemahkan agensi berkenaan.

Puluhan pegawai polis, Jumaat lalu, menyerbu pejabat KPK untuk menangkap pegawai penyiasat kanan, Novel Baswedan, atas dakwaan membunuh seorang nelayan ketika beliau masih seorang detektif polis di Bengkulu lapan tahun lalu.

Polis mengepung pejabat KPK hingga lewat malam dan menegaskan mereka perlu menahan beliau dan membawanya untuk siasatan tetapi pegawai KPK enggan menyerahkan beliau, menyebabkan kedua-dua kedua-dua institusi terjerumus ke dalam pertelagahan.
Mereka bagaimanapun berundur selepas menerima arahan dari pejabat presiden.

Beratus-ratus aktivis anti rasuah dengan segera datang ke pejabat KPK dan membuat 'benteng manusia' untuk melindungi institusi daripada cubaan polis untuk menangkap Novel. "Ia adalah satu keadaan yang amat tegang kerana pertembungan boleh berlaku pada bila-bila masa," kata seorang aktivis.

Kemuncak siri konflik

Insiden itu merupakan kemuncak siri konflik sejak beberapa minggu lepas berikutan penyiasatan KPK ke atas skandal sekitar Rp198 bilion ($21 juta) projek simulator polis yang membabitkan beberapa jeneral polis.
Mengetahui bahawa lebih ramai jeneral akan terbabit jika KPK meneruskan siasatan ke atas kes itu, polis bangkit menentang KPK dan memutuskan untuk memanggil pulang 20 penyiasat polis yang dipinjamkan kepada badan anti rasuah itu.

"Presiden adalah bos polis. Jika presiden mahu, beliau boleh memerintahkan polis untuk menghentikan semua rintangan ini. Bagaimanapun sikap Susilo yang berdiam diri dan tidak mahu terbabit, memberi isyarat bahawa beliau sebenarnya memberikan restu kepada tindakan polis," kata Usman Hamid daripada Pergerakan Cinta Indonesia Anti Rasuah (Cicak), merujuk kepada Presiden Indonesia.

Beliau berkata masalah ini adalah lebih penting daripada kes yang membabitkan Ariel, merujuk kepada tindak balas cepat oleh presiden pada kes pita seks membabitkan penyanyi popular Nazriel 'Ariel' Irham tahun lepas. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan