Rabu, 19 September 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


RM248,000 hadiah tangkap Susilo

Posted: 19 Sep 2012 02:35 PM PDT

Sebuah kumpulan pro kemerdekaan Papua, Free West Papua Campaign, menawarkan hadiah wang tunai 50,000 (RM248,406) kepada sesiapa yang dapat menangkap Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono. Beliau dipersalahkan berikutan kematian lebih 500,000 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak di wilayah itu.

Kami percaya beliau perlu menghadapi pengadilan berikutan kematian beribu-ribu penduduk di Papua Barat. Kami berharap penyokong kami di Britain akan berusaha menangkap beliau ketika lawatannya ke negara ini.

Kami juga mahu dunia mengetahui apa yang sudah dilakukan Indonesia di Papua Barat, kata jurucakap kumpulan yang beribu pejabat di London itu, Alex Regent.
Tawar hadiah

Akhbar Harian Detik melaporkan, Pertubuhan Kemerdekaan Papua yang diasaskan aktivis dalam buangan Benny Wenda, menawarkan hadiah berkenaan selepas menerima sejumlah dana yang besar.

Susilo dijadual melawat Britain mulai 31 Oktober hingga 2 November bagi menghadiri sambutan Jubli Intan Ratu Elizabeth ll. Ini adalah kali pertama seorang presiden dari Indonesia melawat Britain, sejak 1979.

Sebuah laman web pula menyenaraikan peraturan untuk mendapatkan anugerah itu.
Perlu temui Susilo

Mereka yang berminat perlu menemui Susilo dan memaklumkan kepada pemimpin itu bahawa beliau ditahan oleh rakyat berikutan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan di Papua Barat.

Makluman itu pula hendaklah dilaporkan oleh akhbar utama sebelum hadiah 50,000 itu boleh diserahkan, kata laman web terbabit

Bagaimanapun pertubuhan berkenaan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Jurucakap presiden, Julian Pasha, berkata menteri penyelarasan politik, perundangan dan hal-ehwal keselamatan, Djoko Suyanto dijadual memberi reaksi balas dalam tempoh terdekat.

Agensi

Pembuat filem anti-Islam tipu semua

Posted: 19 Sep 2012 02:34 PM PDT

California: Seorang aktivis Koptik Kristian Amerika Syarikat mendedahkan ditipu produser filem anti-Islam mengenai kandungan sebenar produksi berkenaan yang mencetuskan bantahan di seluruh dunia.

Studio televisyen milik Joseph Nassralla di California digunakan Nakoula Basseley Nakoula membuat filem Innocence of Muslims.

Nassralla jadi mangsa
Dalam kenyataan dalam blog, Nassralla, pengasas kumpulan Media for Christ, berkata beliau menjadi mangsa ketika ini selepas Nakoula mengubah kandungan filem itu.

Nassralla berkata, dia dihubungi tahun lalu oleh Nakoula yang memberitahu rancangan membuat program penindasan Kristian di Mesir.

Dalam satu kenyataan, Nassralla berkata, dia diberitahu Nakoula, filem itu akan diberi nama Desert Warrior dan menceritakan budaya penduduk padang pasir.
Nakoula mengubah filem itu tanpa memberitahu orang lain, kata Nasralla.
Di Kaherah, ketua pendakwa raya Mesir mengeluarkan waran tangkap ke atas tujuh warga Koptik Kristian Mesir dan seorang paderi Amerika untuk dibicarakan kerana terbabit dalam pembikinan filem anti-Islam itu.

Mereka dituduh menjejaskan perpaduan negara, menghina dan menyerang Islam secara terbuka serta menyebarkan maklumat palsu dan boleh dihukum mati jika didapati bersalah.

Tarikh bicara tidak ditetapkan dan kes sudah dipindahkan kepada mahkamah jenayah.

Antara dituduh Nakoula, Morris Sadek yang tinggal di Amerika dan paderi Florida, Terry Jones yang diminta mempromosi video itu.

Di Colombo, beratus-ratus penduduk Islam Sri Lanka membantah filem itu dan menuntut mereka yang terbabit menghasilkannya supaya digantung.

Di Islamabad, beratus-ratus peguam yang membantah filem itu merempuh masuk satu kawasan menempatkan kedutaan Amerika dan wakil diplomatik lain menyebabkan Amerika menutup konsulatnya, langkah sama turut diambil di Indonesia.

Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan