Selasa, 24 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Syria ancam guna senjata kimia

Posted:

Syria ancam guna senjata kimia

BEBERAPA buah kereta kebal tentera Bashar dilihat ditempatkan di Al Mezza, Damsyik kelmarin.


WASHINGTON - Syria semalam mengaku buat kali pertama bahawa ia memiliki senjata kimia dan biologi sekali gus memberi amaran akan menggunakannya jika diserang tentera asing, lapor agensi berita Reuters.

Amaran itu dibuat oleh jurucakap Kementerian Luar, Jihad Makdisi pada satu sidang akhbar di Damsyik.

Sebelum ini, Israel menyatakan kemungkinan simpanan senjata kimia di Syria akan dirampas para pejuang Lebanon yang bersekutu dengan Al-Qaeda.

"Syria tidak akan menggunakan sebarang senjata kimia atau senjata bukan konvensional terhadap orang awam dan akan menggunakannya hanya dalam kes diserang pihak luar.

"Senjata-senjata itu disimpan dan dikawal tentera Syria," kata Jihad.

Sementara itu, Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) secara rahsia cuba menyekat penghantaran senjata dan minyak dari Iran ke Syria dalam usaha mempercepatkan kejatuhan Presiden Bashar Al-Assad, lapor akhbar Wall Street Journal kelmarin.

Memetik kenyataan beberapa pegawai AS, akhbar itu melaporkan usaha-usaha dilakukan supaya Iraq menutup ruang udara untuk penerbangan dari Iran ke Syria.

Ia ditutup kerana Iran dipercayai membekalkan senjata untuk tentera Bashar.

Laporan Wall Street Journal itu disiarkan selepas tentera Syria meningkatkan serangan di kawasan penempatan Barzeh di Damsyik yang menyebabkan ramai penduduknya melarikan diri.

Perkembangan tersebut turut berlaku selepas seorang komander pemberontak muncul dalam satu klip video untuk mengumumkan bahawa perang bagi membebaskan bandar kedua terbesar di Syria, Aleppo telah bermula.

Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita rasmi SANA melaporkan, tentera pemerintah telah mengusir para pemberontak dari kawasan penempatan Qaboon di Damsyik. - Agensi

Pemberontak Syria di ambang kemenangan

Posted:

Pemberontak Syria di ambang kemenangan

ANGGOTA-ANGGOTA Tentera Pembebasan Syria mengoyakkan potret Bashar di Bab Al-Salam sempadan Turki kelmarin.


DAMSYIK - Majlis Nasional Syria (SNC) yang mewakili para pemberontak mengeluarkan kenyataan balas bahawa pertempuran sengit yang berlaku di beberapa buah bandar memberi petunjuk bahawa mereka kini di ambang kemenangan.

Jurucakap SNC, George Sabra berkata, pertempuran sengit di sini dan di bandar kedua terbesar di Syria, Allepo yang berlaku sejak beberapa hari lalu merupakan petunjuk penting bagi menentukan kejayaan pemberontak.

Penentangan penduduk terhadap Presiden Syria, Bashar Al-Assad telah bermula pada Mac tahun lalu.

Pertempuran dengan tentera Bashar sejak Mac 2011 itu telah menyebabkan lebih 19,000 orang terbunuh.

"Apa yang berlaku di sini dan Aleppo serta bandar lain di Syria sejak dua hari lalu merupakan langkah penting bagi mewujudkan fasa baharu untuk negara kami (Syria) dan rantau Arab," kata Sabra.

"Pertempuran ini menunjukkan dengan jelas bahawa rejim Bashar akan menemui jalan penamatnya," tambah Sabra. - Agensi

Wanita Malaysia diburu kes tipu bencana tsunami

Posted:

Wanita Malaysia diburu kes tipu bencana tsunami

SEOUL - Polis Korea Selatan semalam menyatakan pihaknya menangkap seorang wanita Indonesia kerana disyaki melakukan penipuan berhubung kematian akibat bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada Mac tahun lalu.

Polis turut meminta Interpol menahan tiga suspek lain iaitu seorang wanita Malaysia berusia 33 tahun, seorang rakyat Nigeria dan seorang lelaki warga Amerika Syarikat.

Pada tahun lalu, wanita Malaysia itu menghantar e-mel kepada seorang lelaki warga Korea Selatan menerusi sebuah laman sahabat pena.

Wanita itu mendakwa dia bekerja untuk sebuah bank di Malaysia.

Dia memberitahu seorang klien Jepun yang mempunyai deposit sebanyak AS$4.2 juta (RM13.3 juta) di tempat kerjanya terbunuh dalam bencana tsunami bersama semua anggota keluarganya.

Wanita berkenaan kemudian mencadangkan lelaki tersebut supaya menyamar sebagai seorang saudara klien itu untuk menuntut wang dan berkongsi habuan dengannya.

Menurut polis, wanita tersebut kemudian memperoleh wang sebanyak AS$96,000 (RM305,904) yang diberikan oleh rakyat Korea Selatan.

Rakyat Korea Selatan itu memberikan wang itu kerana wanita Malaysia tersebut mendakwa ia diperlukan bagi memalsukan dokumen bank dan keluarga si mangsa.

Namun, lelaki itu telah membuat laporan kepada polis Korea Selatan pada April lalu.

Warga Korea itu kemudian meminta seorang wanita Indonesia berusia 33 tahun yang menjadi orang tengah sindiket tersebut supaya datang ke Seoul dengan menjanjikan lebih banyak wang akan diberikan.

Polis kemudian menahan wanita berkenaan pada 4 Julai lalu.

Katanya, lelaki Korea Selatan itu tidak akan ditangkap kerana dia tidak melakukan sebarang jenayah.

Dianggarkan 19,000 orang mati dalam bencana gempa bumi dan tsunami di timur laut Jepun pada 11 Mac 2011. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan