Jumaat, 6 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


London miliki bangunan tertinggi di Eropah

Posted:

London miliki bangunan tertinggi di Eropah

GAMBAR menunjukkan bangunan tertinggi di Eropah iaitu Shard yang terletak di tebing Sungai Thames, London.


LONDON – Bangunan pencakar langit tertinggi di Eropah, Shard yang dibina dengan 95 peratus dana dari Qatar, dirasmikan di sini semalam.

Struktur besi dan kaca setinggi 310 meter itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Qatar, Hamad Jassem Al-Thani dan Putera Andrew yang merupakan anak lelaki pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II.

Satu pertunjukan cahaya laser dengan iringan muzik orkestra diadakan bagi menyerikan majlis perasmian tersebut.

Perasmian berkenaan menandakan pembinaan bahagian luar bangunan itu telah siap.

Bangunan Shard terletak di tebing selatan Sungai Thames dekat Jambatan London di sini.

Kerja-kerja menyiapkan bahagian dalaman bangunan berkenaan dijangka berterusan sehingga tahun hadapan.

Bangunan itu lebih rendah jika dibandingkan dengan Bangunan Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu yang merupakan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia.

Burj Khalifa setinggi 828 meter.

Bagaimanapun, bangunan Shard mengatasi Menara Moscow di Rusia sebagai bangunan tertinggi di Eropah.

Nama Shard diberikan oleh arkitek Itali yang mereka bentuk bangunan berkenaan, Renzo Piano.

Dengan kapasiti boleh memuatkan 12,000 orang, bangunan setinggi 95 tingkat itu akan menempatkan sebuah hotel lima bintang, ruang pejabat seluas 600,000 meter persegi dan beberapa restoran mewah serta kedai.

Bangunan pencakar langit berbentuk meruncing itu juga akan menempatkan 10 unit apartmen.

Setiap apartmen dilaporkan berharga sehingga £50 juta (RM246 juta).

Apartmen di tingkat 53 hingga 65 bangunan itu merupakan kediaman tertinggi di Britain.

Dibina dengan kos £450 juta (RM2.22 bilion), Shard akan dibuka sebagai tarikan pelancong pada Februari depan. Setakat ini lebih 17,500 orang mendaftar secara dalam talian untuk melawat dek pemandangan bangunan tersebut manakala tiket bagi tujuan tersebut boleh ditempah bermula hari ini. – AFP

Juruterbang punca nahas pesawat

Posted:

Juruterbang punca nahas pesawat

SEORANG pegawai penyiasat BEA, Alian Bouillard (kiri) memberikan penerangan tentang punca nahas pesawat Air France di Le Bourget, Perancis semalam.


LE BOURGET, Perancis - Para penyiasat agensi BEA yang menyiasat kemalangan udara Perancis menyatakan kesilapan juruterbang dan kegagalan peralatan yang memberikan data silap sebagai punca sebuah pesawat syarikat penerbangan Air France terjunam ke dalam Lautan Atlantik pada tahun 2009.

Agensi itu turut mencadangkan supaya juruterbang diberikan latihan yang lebih baik dan undang-undang perakuan pesawat dilaksanakan dengan lebih ketat.

Dalam nahas itu seramai 229 orang terbunuh.

Pendedahan itu dibuat pada satu sidang akhbar tentang punca nahas tersebut di sini semalam.

Pesawat itu terbang dari Rio de Janeiro ke Paris dan terhempas semasa ribut.

Laporan siasatan itu menyatakan salah seorang juruterbang itu di kokpit menaikkan muncung pesawat Airbus A330 itu yang sepatutnya menurun sebelum ia terhempas.

Dia bertindak sedemikian kerana sensor memberikan data yang silap tentang kedudukan pesawat berkenaan. - Agensi

Pelancong diminta tidak pakai skirt pendek

Posted:

Pelancong diminta tidak pakai skirt pendek

GAMBAR fail menunjukkan sejumlah pelancong asing menaiki sebuah perahu di Tasik Nagin, Srinagar pada 30 Ogos 2007.


SRINAGAR, India - Sebuah kumpulan Islam di Kashmir India semalam memberi amaran kepada para pelancong supaya mereka tidak memakai skirt pendek dan pakaian yang mendedahkan tubuh badan di wilayah itu.

Kumpulan tersebut, Jamaat-e-Islami meminta lembaga pelancongan di wilayah itu supaya menyokong pendirian mereka.

Menurutnya, para pelancong perlu diberitahu lebih awal supaya berpakaian sopan ketika berada di Kashmir bagi mengelakkan mereka mencetuskan kemarahan golongan ekstremis agama.

"Sejumlah pelancong, terutamanya warga asing, memakai skirt pendek dan pakaian menjolok mata yang bercanggah dengan etika dan budaya tempatan serta tidak dapat diterima dalam masyarakat yang bertamadun," kata jurucakap Jamaat-e-Islami, Zahid Ali.

Sejumlah pelancong kembali mengunjungi wilayah Kashmir yang ditadbir India sejak dua tahun lalu selepas keganasan antara pihak pemisah Islam semakin berkurangan di rantau berkenaan.

Majoriti penduduk wilayah tersebut terdiri daripada orang Islam.

Kashmir terkenal kerana memiliki panorama yang indah seperti rumat bot, banjaran gunung dan tasik. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan