Jumaat, 6 Julai 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


2 pelajar sewa helikopter ke sekolah

Posted: 05 Jul 2012 01:47 PM PDT

LONDON: Hanya kerana tidak mahu ketinggalan hadir dalam parti akhir tahun sekolah mereka, dua sahabat menyewa sebuah helikopter apabila rancangan awal menggunakan limosin tidak berjaya.

Pada awalnya, Chloe Webb dan Lauren Huggett mahu menyewa sebuah limosin untuk ke sekolah yang terletak hanya kira-kira 13 kilometer dari rumah mereka.


Bagaimanapun, rancangan itu tidak kesampaian apabila didapati semua limosin sewa di Gloucestershire habis ditempah.

Kekecewaan dua sahabat berusia 16 tahun itu ternyata tidak kekal lama apabila bapa Lauren, Jason Huggett, tampil membantu dengan menyewa sebuah helikopter untuk mereka.


Untuk mendapatkan perkhidmatan itu, Huggett dikenakan bayaran 500 (RM2,465).


Justeru, kehadiran Chloe dan Lauren ke parti sekolah mereka di Whitminster Inn ternyata mengejutkan semua pihak yang hadir di situ. Dua sahabat itu menaiki helikopter dua enjin Robinson R44 dari padang permainan di Cashes Green, Stroud, sebelum dibawa terbang kira-kira setengah jam ke tempat parti berkenaan dilangsungkan. Kata Chloe, ia adalah pengalaman yang hebat dan menyeronokkan. "Kami dibawa bersiar-siar selama setengah jam sebelum diturunkan di kawasan lapang bersebelahan khemah parti sekolah kami dilangsungkan.

"Semua kawan kami sangat terkejut dan tidak percaya kami datang menaiki helikopter," katanya. Lauren pula berkata, walaupun rancangan mereka untuk menyewa limosin gagal, apa yang dialaminya semalam ternyata jauh lebih menyeronokkan. Bagi Chloe, parti itu penting kerana ia menandakan berakhirnya sesi pembelajarannya di Sekolah Archway di Stroud.


Dia kini bercadang mengikuti kursus terapi kecantikan di Kolej Gloucestershire Selatan dan Stroud, manakala Lauren akan meneruskan pengajiannya di Archway.

Sementara itu, media melaporkan, parti akhir tahun serba meriah yang biasanya diadakan di Amerika Syarikat seperti banyak dipaparkan dalam siri High School Musical kini semakin banyak diadakan di Britain. Ibu bapa sering dipujuk untuk membelanjakan wang yang banyak bagi membiayai kos menyiapkan pakaian, dandanan rambut serta pelbagai aksesori lain. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06


Kereta Rolls-Royce 100 tahun dijual hampir RM24 juta

Posted: 05 Jul 2012 01:45 PM PDT

LONDON: Satu daripada kereta terbaik pernah dihasilkan Rolls-Royce dijual pada harga hampir 5 juta (RM24.7 juta) dalam satu lelongan, lapor media semalam.

Kereta unik berwarna perak dikenali sebagai The Corgi kerana bentuknya menyerupai kereta mainan pada era 1960-an ditempah khas pemilik asalnya.


Ketika ia dibina kira-kira 100 tahun lalu, nilai pasaran The Corgi hanya kira-kira 1,000 (RM4,900).

Pada awalnya, pakar kereta antik menjangkakan The Corgi akan dijual pada harga maksimum 2 juta (RM10 juta).


Bagaimanapun, persaingan antara dua pembida di majlis lelongan itu mendorong harga The Corgi melonjak naik kepada 4.7 juta (RM23.2 juta) ketika lelongan itu diadakan di Sussex Barat.


Kakitangan firma lelongan Bonhams, James Knight, berkata bidaan semalam adalah persaingan penjualan kereta paling lama pernah disaksikannya. The Corgi dilelong selepas pemiliknya seorang warga Amerika Syarikat meninggal dunia.

Kereta itu kemudian dibeli seorang warga asing tidak dikenali. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06


Tiada ulasan:

Catat Ulasan