Jumaat, 6 Julai 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Pilihan raya Libya esok

Posted: 05 Jul 2012 04:22 PM PDT

Rakyat bakal pilih anggota dewan perhimpunan kebangsaan

Tripoli: Rakyat Libya akan mengundi esok (Sabtu) bagi memilih anggota dewan perhimpunan kebangsaan, badan pertama dipilih sejak bekas pemimpin yang digulingkan, Muammar Gaddafi, bertanggungjawab mengetuai negara yang sedang melalui perubahan kritikal. Perhimpunan kebangsaan itu dijangka menggantikan Majlis Peralihan Kebangsaan dan memantau pembentukan perlembagaan baru, yang pertama selepas perang saudara selama beberapa bulan yang menggulingkan Gaddafi.
"Semua persoalan asas akan diputuskan oleh sekumpulan 200 orang yang dipilih. "Ia amat penting. Kita tidak menulis sesuatu perlembagaan setiap hari," kata pengarang urusan Libya Herald, Sami Zaptia.

Kongres Kebangsaan Umum akan dipilih yang bakal melantik kerajaan sementara baru dan sebuah panel untuk merangka sebuah perlembagaan baru bagi negara Afrika Utara yang kaya dengan minyak itu.

Sebaik saja perhimpunan mengadakan sesi pertama, Majlis Peralihan Kebangsaan yang menerajui Libya sejak penyingkiran dan kematian Gaddafi tahun lalu, perlu meletak jawatan.

Ketua misi pemantau Kesatuan Eropah, Alexander Graf Lambsdorff, berkata undian yang dijangka diadakan pada 19 Jun tetapi ditangguhkan atas sebab teknikal, menandakan satu peluang bersejarah.
"Pilihan raya ini adalah peluang pertama bagi rakyat Libya untuk memilih wakil mereka dalam pilihan raya kebangsaan selepas beberapa dekad," katanya.

"Ia menandakan satu langkah bersejarah untuk negara dan penduduknya. Memberikan peranan utama kepada Kongres Kebangsaan Umum dalam melantik badan untuk merangka perlembagaan, pilihan raya ini adalah amat penting."

Perdana Menteri Libya, Abdurrahim El-Keib berkata tidak akan ada belas ihsan terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keamanan pilihan raya terbabit. - AFP/Agensi

Air bersih Indonesia teruk

Posted: 05 Jul 2012 04:17 PM PDT

Kerajaan kena bina loji bersih air di kawasan gambut

Pekanbaru: Indonesia mempunyai air minuman paling teruk di Asia Tenggara, kata penyelidik air bersih di Institut Penyelidikan Indonesia (LIPI), kelmarin. "Hanya 30 peratus penduduk di bandar raya ini mempunyai sumber air bersih," kata penyelidik berkenaan, Ignasius DA Sutapa yang dipetik akhbar Jakarta Globe, semalam.
"Jumlah itu menurun kepada hanya 10 peratus di kebanyakan kawasan kampung."

Sasaran PBB

Indonesia perlu memastikan bahawa sebanyak 50 peratus daripada penduduknya mempunyai akses kepada air minuman bersih jika negara itu berharap untuk memenuhi sasaran yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Negara yang menyertainya komited untuk membuktikan bahawa secara keseluruhan kesihatan, alam sekitar dan kualiti hidup memfokus kepada lapan sasaran isu seperti kemiskinan, malaria, HIV dan kelaparan.
"Sasaran untuk mendapatkan air bersih di Indonesia adalah terlalu besar bagi syarikat air tempatan, PDAM sendiri untuk mencapainya," kata Ignasius lagi.

Kerajaan perlu fokus kepada membina lebih banyak loji membersihkan air di kawasan gambut seperti Sumatera, Kalimantan dan Papua.

"Bagi kebanyakan kawasan gambut, air adalah tidak terlalu bersih untuk digunakan.

"Program penapisan air gambut kini berjalan di perkampungan Tanjung Leban, di Bengkalis, Riau yang berjaya menyediakan air minuman bersih kepada penduduk tempatan," katanya. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan