Selasa, 26 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Indeks bursa saham Mesir naik

Posted:

Indeks bursa saham Mesir naik

MOHAMMED MORSI (tiga dari kanan) duduk di dalam studio sebuah stesen televisyen di Kaherah kelmarin.


KAHERAH - Stesen televisyen pemerintah melaporkan indeks bursa saham Mesir ditutup tinggi dengan rekod kenaikan 7.5 peratus susulan deklarasi kemenangan seorang calon pro-Islam pada pilihan raya Presiden negara berkenaan.

Pihak berkuasa menghentikan dagangan di bursa Mesir selama setengah jam semalam selepas indeks EGX100 menokok lebih 5 peratus bagi mengelakkan perubahan ketara berlaku dalam pasaran.

Beberapa penganalisis berkata, kenaikan itu didorong oleh deklarasi kemenangan selepas persaingan sengit melibatkan calon pilihan pergerakan Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi dan bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq.

Ramai bimbang pengumuman keputusan pilihan raya tersebut akan mencetuskan keganasan tetapi tindak balas rakyat setakat ini adalah sambutan kemenangan Morsi oleh para penyokongnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Morsi mengadakan satu pertemuan terutup dengan pemerintah tentera, Fil Marsyal Hussein Tantawi dan Perdana Menteri, Kamal Al-Ganzouri semalam ketika beliau memulakan perbincangan bagi membentuk pentadbirannya.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas beliau berikrar untuk menjadi Presiden kepada semua rakyat Mesir.

Morsi kelmarin menjadi Presiden pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya bebas di Mesir.

Mereka dijangka berbincang mengenai upacara angkat sumpah Presiden Mesir dengan tarikh bagi majlis tersebut masih belum ditetapkan.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menyatakan bahawa Israel berharap dapat menjalin kerjasama di masa hadapan dengan pentadbiran baharu Mesir di bawah kepimpinan Morsi.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan pentadbiran baharu berdasarkan perjanjian damai antara Mesir dan Israel," kata Netanyahu kepada wartawan semasa beliau melawat Presiden Rusia, Vladimir Putin. - Agensi

Hidupan laut di kawasan bencana nuklear dijual

Posted:

Hidupan laut di kawasan bencana nuklear dijual

BEBERAPA paket sotong kurita dijual di sebuah pasar raya di Soma.


TOKYO - Sejumlah hidupan laut yang ditangkap di luar pantai Fukushima, timur laut Jepun mula dijual semalam selepas bencana nuklear melanda negara itu pada Mac tahun lepas.

Menurut sebuah agensi perikanan di wilayah Fukushima, hanya sotong kurita dan siput kong dibenarkan dijual kerana ia bebas daripada bahan radiaokatif.

Hidupan laut itu ditangkap pada Jumaat lalu.

Penjualan beberapa spesies ikan lain dari Fukushima masih disekat kerana bimbang tentang pencemaran radioaktif.

Kelulusan untuk jualan ikan masih samar kerana tahap radiasinya melebihi had yang ditetapkan kerajaan.

Gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada 11 Mac tahun lalu menyebabkan loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi mengalami kebocoran radioaktif.

"Saya mendapati pasar raya tempatan telah menjual (hidupan laut itu) pada pukul 3 petang," kata seorang pegawai di bahagian penjualan di agensi perikanan itu, Hirofumi Konno di bandar Soma.

Beliau berharap ketam akan dijual tidak lama lagi.

Menurutnya, sejumlah orang membeli hidupan laut tersebut bagi memberi tanda sokongan kepada nelayan tempatan. - Agensi

Bieber akan rakam lagu dengan One Direction

Posted:

Bieber akan rakam lagu dengan One Direction

ANGGOTA-ANGGOTA One Direction terdiri daripada Zayn (kiri) yang berdiri di sebelah Horan, Styles, Tomlinson dan Payne.


LONDON - Bintang pop remaja, Justin Bieber mendedahkan bahawa dia akan merakamkan sebuah lagu bersama kumpulan nyanyian terkenal dari Britain, One Direction, lapor portal berita Irish Central semalam.

"Anggota-anggota One Direction hebat. Kami mempunyai masa yang gembira apabila kami bersama. Mereka datang ke rumah saya dan kami bersantai di sekitar kolam renang sambil mendengar muzik.

"Kami berbincang mengenai kolaborasi saya bersama mereka untuk menghasilkan sebuah lagu dalam album kedua mereka," kata Bieber ketika diwawancara stesen radio Perbadanan Penyiaran British.

Kumpulan One Direction dianggotai Niall Horan, 18, Zayn Malik, 19, Louis Tomlinson, 20, Harry Styles, 18, dan Liam Payne, 18. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan